Tanaman Vanilla di Kebun Durian?

Tanaman vanilla dengan pod yang belum matang

Saya sebenarnya telah mula membiak dan menanam pokok vanilla pada pertengahan tahun 2019. Sulur vanilla dibeli dari Sibu, Sarawak. 

Kemungkinan besar juga sulur-sulur itu dibawa dari Kalimantan, Indonesia. Sebagaimana yang diketahui, Indonesia merupakan negara ketiga pengeksport vanilla terbesar di dunia. 

Tanaman vanilla masih baru di Malaysia. Masih tidak banyak ladang komersil di negara ini, yang ada pada pengetahuan saya ialah Borneo Vanilla di Sabah dan Vanilla Temerloh di Pahang.

buah vanilla
Pod-pod vanilla yang siap untuk dijual

Vanilla berasal daripada Amerika Tengah iaitu Mexico dan Guatemala. Ia di bawa ke Eropah oleh pedagang-pedagang Sepanyol pada kurun ke -19 dan kemudiannya berkembang di Eropah sebagai tanaman rempah dengan nilai yang tinggi. 

Digunakan oleh kaum Aztec dan kaum-kaum kuno yang lain sebagai rempah, herba dan air minuman ia hanya boleh dipolinasi oleh sejenis spesis lebah yang hanya terdapat di pergunungan Mexico.

Oleh kerana ini, sulur vanilla yang ditanam di luar Mexico tidak menghasilkan buah walaupun berbunga kerana tidak dapat dipolinasi sehinggalah seorang pengkaji berbangsa Belgium berjaya menemui kaedah polinasi bunga secara manual. 

Vanilla dipanggil sulur dan bukannya pokok kerana ia merupakan tanaman memanjat dan berasal dari keluarga yang sama dengan orkid. 

Jenis vanilla yang dikomersilkan di dunia ialah Vanilla planifolia dan Vanilla tahitensis.

Sulur vanilla mengambil masa selama 3 tahun untuk mula berbunga. Buahnya akan matang selepas 8-9 bulan dan kemudiannya dipetik untuk proses pengeringan dan fermentasi. Semasa dipetik, buah vanilla masih berwarna hijau dan tidak mempunyai bau harum vanilla. 

Bau vanilla akan mula diperolehi setelah proses pengeringan dan fermentasi yang menghasilkan ‘essential oil’. Essential oil vanilla merupakan koktel 200+ kompaun organik dan masih tidak dapat dihasilkan secara artificial. 

Bau vanilla yang telah biasa kita hidu dari aiskrim berperisa vanilla, roti atau minuman masih jauh jika dibandingkan dengan bau vanilla yang sebenar dari podnya. 

Keratan 3 node yang telah bertunas (1 node di dalam tanah)

Membiakkan Keratan Vanilla

Vanilla hanya boleh dibiakkan daripada keratan. Keratan terbaik adalah yang mempunyai ciri-ciri dibawah:

  1. Diambil pada panjang 4 meter daripada tunas
  2. Keratan dimana node-node nya belum pernah mengeluarkan bunga, buah ataupun tunas
  3. Keratan tidak terlalu kecil diameternya (diameter yang kecil akan mengeluarkan tunas baru yang kecil dan tidak kuat)

Keratan vanilla boleh dipotong pada jarak 2 node, 3 node, 1 meter atau 2 meter. Walaupun begitu, ini hanya standard panjang keratan yang biasa untuk penyediaan keratan anak benih. Penanam boleh memotong mengikut panjang keratan yang di kehendaki. 

Jenis-Jenis Tajar Untuk Vanilla

Istilah ‘tajar’ dipinjam daripada perkataan Indonesia yang bermaksud objek panjatan iaitu objek atau sesuatu yang digunakan oleh sulur vanilla untuk memanjat dan membesar. Terdapat 2 jenis tajar:

  1. Tajar mati
  2. Tajar hidup

Tajar mati ialah seperti paip PVC yang dibalut dengan cocopeat/sabut kelapa, tiang konkrit, kayu, batu bata yang disusun meninggi, kayu buluh atau apa-apa objek buatan manusia.

Tajar hidup pula ialah apa-apa jenis pokok tumpang. 2 jenis pokok tumpang yang disyorkan untuk menjadi tajar hidup ialah pokok Glyceridia sepium dan pokok koko. Pokok moringa juga boleh digunakan cuma pokok ini ialah pokok yang besar.

Pokok glyceridia dan pokok koko adalah pokok yang membesar dengan cepat dan tidak besar (bukan pokok saka atau balak). Kelebihan yang lain ialah kedua-dua pokok ini senang bertunas apabila dipangkas. 

Daun pokok glyceridia juga boleh dibuat ‘forage’ untuk binatang ternakan kerana mempunyai kandungan protein yang tinggi.

Pokok glyceridia sepium di halaman rumah

Cara Saya Menanam Vanilla Di Kebun

Oleh kerana pokok Glyseridia sepium masih belum matang, pokok-pokok durian kampung yang ada di kebun saya digunakan untuk sulur vanilla memanjat sementara waktu. 

Cara saya menanam sulur vanilla pada batang pokok durian boleh ditonton di channel Youtube disini

vanilla vines
Sulur-sulur vanilla yang akan dipindahkan ke kebun

Pembajaan dan Kawalan Penyakit

Pokok vanilla daripada keluarga orkid ini tidak memerlukan pembajaan yang banyak semasa fasa vegetatif. Baja yang saya gunakan adalah 100% organik termasuk foliar FAA dan cuka kayu. Penggunaan baja kimia tidaklah disyorkan. 

Dari aspek penyakit dan serangan serangga pula, vanilla tidak diserang oleh kumbang, belalang, siput atau apa-apa jenis kutu dan hama (setakat pengalaman saya dan hasil diskusi dengan penanam vanilla lain). 

Walaupun begitu, pokok vanilla mudah terkena reput/busuk batang terutamanya ketika musim hujan. Musim sebegini juga pokok vanilla terdedah kepada serangan kulat yang memerlukan semburan racun kulat berkala. 

Apa Yang Dipelajari Selepas Setahun

Pengalaman saya selepas setahun menanam sulur vanilla yang dapat dikongsikan untuk para pembaca ialah:

  1. Keratan yang panjang (1 meter) akan mengeluarkan tunas yang lebih besar jika dibandingkan dengan keratan yang pendek. 
  2. Membiak daripada keratan vanilla yang pendek adalah lambat untuk mengeluarkan tunas. Ada di antara keratan-keratan saya (2 node) mengambil masa sehingga 7 bulan untuk mula bertunas dan ada yang reput sebelum bertunas. 
  3. Baka vanilla planifolia Andrews terbaik ialah kultivar vanilla unggul (Vania 1 dan Vania 2) yang berasal dari Indonesia. Baka ini dihasilkan oleh pemerintah Indonesia dan diagihkan kepada petani-petani vanilla pada akhir tahun 1990 dan awal tahun 2000. 
  4. Sulur vanilla tidak memerlukan penjagaan yang rumit, jauh dibandingkan dengan pokok durian 🙂
  5. Sulur vanilla tidak tahan kepada cahaya terus matahari  oleh itu ia perlu diberikan teduhan. 
  6. Keratan benih vanilla sukar didapati dan kalau boleh didapati ia dijual dengan harga yang tinggi, contohnya RM100 untuk 3 sulur bersaiz 1 kaki. 
Share this

13 thoughts on “Tanaman Vanilla di Kebun Durian?

  • May 9, 2021 at 2:31 pm
    Permalink

    Hi. Boleh ke kalau saya nak datang kebun tuan untuk melawat dan tengok pokok vanilla? Terasa minat nak tanam vanilla ni…

    Reply
    • May 10, 2021 at 1:43 am
      Permalink

      Hi Cik Fatin……boleh saja kalau nk datang selagi cik Fatin boleh merentas negeri dalam keadaaan MCO sekarang ni. Unless cik Fatin mmg ada di Perak sekarang.

      Reply
      • May 12, 2021 at 7:46 am
        Permalink

        Boleh saya dapatkan alamat kebun dan no telepon tuan..selepas mco nanti saya nak berbincang serta melawat sambil belajar ditempat tuan.
        Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

        Reply
        • May 12, 2021 at 4:34 pm
          Permalink

          Kebun saya di Batu 6, Jln pahang, Tapah Perak.
          No. telefon sy 019-210 1045.

          Reply
  • July 3, 2021 at 6:46 am
    Permalink

    Terima kasih sudi berkongsi ilmu.. terasa seperti minda bebas bila baca posting Tuan di sini walaupun sebenarnya masih berkurung akibat pikepot yg tak abis2 ni

    Reply
  • July 30, 2021 at 7:38 am
    Permalink

    T.kasih kongsi cara penanaman .

    Reply
  • October 1, 2021 at 2:43 am
    Permalink

    Salam Tuan,
    Saya ingin melawat kebun tuan kerana saya dlm peringkat awal membuka kebun seluas 1.5 ekar bagi tanaman durian di Gerik, Perak.
    Namun begitu, saya tinggal di Ipoh, Perak.

    Terima kasih

    Reply
    • October 10, 2021 at 4:30 am
      Permalink

      Salam Tuan Azrul, tuan boleh email kepada sy nombor tuan utk sy hubungi. Emailkan kepada sy di globalfmsb@yahoo.com. Sy akan telefon semula.

      Reply
  • January 31, 2022 at 1:13 am
    Permalink

    Terima kasih share penanaman pokok vanilla ini, saya berminat juga menanam pokok vanilla ni. Ini kerna cara pe njagaan juga tak serumit tanaman lain. Cuma harapan saya jika tuan dapat sharekan, pemborong yg boleh membeli hasil2 tanaman vanilla ni yg terdapat di seluruh malaysia.

    Reply
    • March 15, 2022 at 8:33 am
      Permalink

      Yang boleh beli bulk ialah tuan Faisal (Vanilla Temerloh) dan Mr. Leo (Vanilla Kinarut). Itu saja yg saya tau setakat ni.

      Reply
  • February 15, 2022 at 11:57 am
    Permalink

    Salam Tuan,

    Pokok vanilla tak akan menumpang makanan daripada pokok (tajar hidup) yg dipanjat ker Tuan?

    Reply
    • March 15, 2022 at 8:26 am
      Permalink

      Waalaikum salam,

      Sulur vanilla x ambik nutrient dari pokok tumpang. Ia akan mengeluarkan akar2 yg menuju ke tanah untuk cari sumber nutrien.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *