7 Langkah Penyediaan Kawasan Kebun Durian

pembersihan tanah

Penyediaan kawasan merupakan elemen kos terbesar untuk sebuah projek penanaman durian. Perancangan rapi perlu dibuat untuk mendapatkan anggaran kos perbelanjaan yang sehampir mungkin dengan kos sebenar, mengelakkan pertikaian dan keperluan ‘double work’ atau kerja berulang.

Sebaiknya, kerja ini dirancang pada waktu musim panas untuk mengelakkan hakisan tanah, memudahkan excavator atau backhoe bergerak dan memudahkan proses pembakaran sisa-sisa hutan. 

Artikel ini akan membincangkan langkah-langkah dan aspek-aspek kritikal di dalam penyediaan kawasan ladang atau kebun sebelum penanaman dilakukan.  

Mengetahui sempadan tanah yang sebenar ialah langkah pertama sebelum apa-apa kerja yang lain. Juru ukur yang bertauliah perlu diambil untuk membuat kerja ukur di lapangan. 

Tujuan kerja ukur tanah adalah:

  1. Untuk mencari batu sempadan dan jika dijumpai untuk mengesahkan batu sempadan ditanam di lokasi koordinat yang tepat. 
  2. Untuk menggantikan batu sempadan yang telah hilang.
  3. Penandaan sempadan untuk memudahkan pemandu excavator/backhoe melihat garis sempadan supaya tanah jiran tidak diceroboh atau diganggu. 
  4. Untuk mengambil peluang membuat tinjaun mana pokok sedia ada yang hendak dikekalkan dan yang mana untuk ditebang.
  5. Membuat visualisasi keadaan lanskap, orientasi teres dan laluan jalan kebun yang perlu dilakukan selepas ini. 

Aktiviti pertama ialah untuk bergerak dari titik batu sempadan pertama yang telah dikenalpasti mengikuti garisan sempadan ke titik yang berikutnya. 

Praktis yang baik ialah membuat penandaan untuk setiap jarak 20m atau kurang dengan kayu pancang dan bendera. 

Apabila telah sampai ke batu sempadan yang berikutnya, buat penandaan yang sama dan simpan koordinat untuk rujukan (di dalam format WGS84).

Idea yang baik ialah untuk mengambil gambar setiap batu sempadan dengan garis penglihatan ke arah suatu objek (landmark) yang dapat dilihat dari jarak jauh. 

Jika batu sempadan telah rosak, hilang atau teralih dari koordinat sebenar, juru ukur akan menandakan lokasi titik stesen itu dengan paip besi/PVC atau apa-apa kaedah penandaan lain. 

 

1.1 Juru Ukur Kerajaan (JUPEM)

Perlu difahami bahawa batu sempadan yang baru hanya boleh diletakkan oleh juru ukur kerajaan sahaja dengan cara tuan tanah membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Daerah di mana permohonan ini akan dimajukan kepada Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia (JUPEM).  

Jadual bayaran ukur untuk juru ukur kerajaan yang meliputi skop kerja ukur keluasan, penentuan sempadan, penggantian dan penanaman tanda sempadan dll. boleh dilihat di laman web JUPEM di sini

batu sempadan
Penanda konkrit yang telah disembur cat

Walaupun begitu disebabkan saya mempunyai lebihan penanda konkrit untuk projek sebelum ini, penandaan baru telah dibuat dengan menggali dan menanam penanda-penanda konkrit yang baru ini. 

Aktiviti-aktiviti ini diulangi sehinggalah ke batu sempadan yang terakhir. 

1.2 Kos Juru Ukur Berlesen (Swasta)

Faktor-faktor yang menyumbangkan jumlah harga untuk juru ukur adalah seperti berikut:

  1. Keluasan tanah 
  2. Keadaan geografi atau muka bentuk bumi
  3. Lokasi tanah (berhampiran jalan besar, bandar atau perkampungan)
jadual bayaran juru ukur
2. Kerja Pembersihan dan Membuat Teres
teres kebun durian
Teres yang telah siap

Bergantung kepada keadaan muka bumi tanah, excavator diperlukan untuk membersihkan tanah yang berbukit atau curam. 

Penanam perlu mencari kontraktor excavator dengan pemandu yang mempunyai pengalaman membuat teres. 

Sesetengah pemandu excavator atau backhoe hanya berpengalaman dalam menggali parit dan kolam atau sawah

Membuat teres pada bukit memerlukan pengalaman pemandu yang berbeza untuk memastikan potongan bukit menjadi rata dan jarak antara teres sama.  

Semasa kerja-kerja pembersihan, tunggul-tunggul pokok beserta akar-akar utama perlu digali dan dialihkan. Sisa tunggul dan akar ini jika tidak dibuang akan memyebabkan risiko anai-anai dan penyakit kulat akar putih merebak pada pokok durian. 

Jika terdapat rumpun buluh di dalam tanah, ia perlu digali dengan sebersihnya tanpa meninggalkan cebisan pangkal buluh. 

Di artikel ini saya menceritakan pengalaman saya untuk menghapuskan buluh secara manual apabila cebisan pangkal buluh bertunas dan membesar semula. 

 

Tunggul pokok getah yang perlu digali dan dibuang

Semasa penyediaan kawasan, sisa-sisa hutan yang lain termasuklah daun, dahan, ranting hendaklah dilonggokkan kepada beberapa bahagian dan dikeringkan selama beberapa minggu sebelum dibakar. 

Proses pembakaran hendaklah dilakukan secara perlahan-lahan untuk mengelakkan pengesanan ‘hot spot’ oleh Jabatan Alam Sekitar

Pastikan juga pembakaran diawasi dan dipastikan api/bara telah mati sepenuhnya sebelum pulang dari kawasan. 

 

ukuran teres

Tuan tanah perlu berbincang dengan pemandu excavator untuk mencari orientasi teres yang terbaik. Pertimbangan seperti kedudukan rumah kebun, jalan masuk, jalan dari teres ke teres, kawasan tangki simpanan air dan arah matahari perlu diambil kira. 

Teres tidak dibuat mendatar sebaliknya dengan sedikit kecerunan untuk membolehkan air hujan melalui sebelah dalam teres dan tidak turun melalui tepi teres yang akan menyebabkan hakisan pada cerun teres yang masih longgar tanahnya. 

Pokok akan ditanam pada jarak 4 kaki daripada tepi teres sebagai rizab laluan kenderaan kebun keluar dan masuk membawa input pertanian, hasil kebun dan kerja-kerja lain. 

3. Membuat Lining Untuk Lubang Tanam
lubang penanaman
Lubang tanam yang telah digali

Selepas setiap satu teres siap, excavator perlu menggali lubang penanaman sebelum dibolehkan bergerak ke kawasan lain untuk membuat teres yang baru. 

Saiz lubang penanaman secara praktikalnya akan mengikut saiz ‘bucket’ yang dipasang pada excavator. 

Jika penggalian dilakukan secara manual, saiznya adalah 2 kaki atau sekurang-kurangnya 2 kali saiz polybeg anak benih durian yang bakal dibeli. 

Jarak antara satu lubang tanam ke lubang tanam yang lain ialah sekurang-kurangnya 30 kaki. Ini mengambil kira diameter kanopi pokok durian dewasa yang sebaiknya tidak bersentuh antara pokok ke pokok bersebelahan.   

4. Penanaman Penutup Bumi

Langkah yang berikutnya ialah menanam tanaman tutup bumi. Ini penting untuk menstabilkan tanah secepat mungkin dalam usaha untuk mengelakkan hakisan dan tanah runtuh. 

Berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya, saya telah membincangkan 2 jenis penutup bumi yang paling sesuai untuk sebuah kebun durian di artikel ini

5. Menggali Parit Sempadan

Ada penanam-penanam di Raub, Pahang semasa penyediaan kawasan kebun, mereka menggali parit sedalam 6 kaki di perimeter kebun mereka. Ia bertujuan untuk:

  1. Mengelakkan kemasukan binatang liar
  2. Sebagai memudahkan saliran air semasa musim hujan dan mengelakkan banjir
  3. Untuk menghalang akar-akar pokok sawit, pokok getah atau pokok hutan memasuki tanah kebun durian dan bersaing untuk nutrien. 
penyediaan kawasan

Dapat dilihat pada gambar di atas keadaan akar pokok-pokok getah yang mencerobohi tanah baru kebun durian. Akar-akar ini perlu diputuskan untuk mengelakkan persaingan mendapatkan baja dengan anak-anak benih durian yang bakal ditanam. 

Saya tidak menggali parit di kebun saya semasa penyediaan kawasan kerana tanah saya adalah tanah hutan dan tidak di sempadani oleh ladang getah. 

6. Membina Jalan Ladang

Pembinaan jalan ladang semasa penyediaan kawasan adalah satu topik tersendiri. Di artikel ini saya menerangkan cara saya membina jalan ladang termasuk perkongsian kos yang terlibat untuk membeli batu crusher run, sewa lori batu dan excavator. 

7. Membina Pagar

Jenis pagar yang hendak dibina bergantung kepada ancaman yang ada dikebun dan juga kos pelaburan yang mampu dibelanjakan oleh pekebun. 

Jenis pagar yang biasa dipasang disenaraikan dibawah: 

  1. Pagar chain link
  2. Pagar zink
  3. Pagar elektrik
  4. Pagar kawat dawai
  5. Pagar cyclone

Untuk membincangkan dengan lebih terperinci mengenai setiap jenis pagar dan kos yang diperlukan untuk keluasan kebun yang sama, saya akan menulis artikel yang berasingan tidak lama lagi. 

Semoga artikel penyediaan kawasan untuk kebun durian ini bermanfaat untuk pembaca sekalian. Sila subscribe, share atau komen diruang di bawah. 

Share this

17 thoughts on “7 Langkah Penyediaan Kawasan Kebun Durian

  • June 16, 2021 at 4:28 am
    Permalink

    salam, boleh saya dptkan contoh perbelanjaan opex capex untuk kebun durian. terima kasih

    Reply
    • June 17, 2021 at 5:35 am
      Permalink

      Waalaikum salam,

      Boleh beri saya email, sy akan hantarkan.

      Reply
      • July 6, 2021 at 5:11 am
        Permalink

        Boleh share dengan saya sekali? Terima kasih

        Reply
      • August 12, 2021 at 3:34 pm
        Permalink

        boleh share dengan saya sekali tuan.email saya

        Reply
      • September 9, 2021 at 5:37 am
        Permalink

        Apa yg saya ada ialah template untuk rekod perbelanjaan. Semua harga dan kos boleh dimasukkan sendiri bergantung kepada perbelanjaan sendiri. Saya akan email sebentar lagi. Terima kasih kerana membaca blog saya tuan azman.

        Reply
  • June 29, 2021 at 11:20 pm
    Permalink

    Salam, apa saiz parit di antara baris pokok durian yg sesuai utk tanah landai? Ada kah 2’x3’ atau 3’x3’ atau saiz lain. Tkasih

    Reply
    • July 2, 2021 at 12:47 pm
      Permalink

      Waalaikum salam,
      Saya kurang tahu berkenaan dengan perparitan di antara baris pokok-pokok durian. Mungkin ada pembaca lain yang membaca komen ini dapat memberikan percerahan.

      Reply
  • September 20, 2021 at 9:42 am
    Permalink

    salam tuan,

    kos untuk bersihkan dan ratakan tanah berbukit yang berhutan ambil masa berapa lama ye?

    sebab sewaan jentera ikut kadar harian, anggaran untuk 1 ekar ambil masa berapa lama ye?

    Reply
    • September 25, 2021 at 3:05 am
      Permalink

      waalaikum salam,

      Tanah satu ekar termasuk buat teres pada hemat saya akan mengambil masa lebih dari 7 hari. Kalau lebih dari 7 hari tuan jgn bayar sewa harian tp negotiate untuk bayar lump sum. Lebih murah.

      Reply
  • November 26, 2021 at 2:02 pm
    Permalink

    Salam tuan, saya bercadang untuk menanam jarak 40ka × 40ka dan 25ka antara teres. Cara tanaman ini berbentuk empat segi atau tiga segi sama? Adakah ini bersesuaian?

    Reply
    • December 16, 2021 at 8:59 am
      Permalink

      Ini dikira tiga segi kerana pokok teres atas dan teres bawah ditanam ‘staggered’ atau berselang. Sesuai sebab sy pun gunakan kaedah staggered ini di teres2 di dalam kebun saya.

      Reply
  • February 3, 2022 at 3:14 am
    Permalink

    Salam tuan,
    Saya nak bertanya kalau tanah ada pokok2 getah yg tua dan perlukan pembeli pokok kayu getah, tuan boleh kenalkan dgn siapa2 ke? Tanah sy di area muallim.

    Reply
    • March 15, 2022 at 8:31 am
      Permalink

      Waalaikum salam,

      Saya tidak kenal mana2 broker yg akan ambil kayu getah. Yg saya tau kalau tanya terus pada sawmill mmg depa x mau ambil sbb hal lesen. Kena melalui broker atau org tengah utk jual.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *