Pembajaan Pokok Durian Yang Perlu Diketahui

Ramai bakal penanam durian atau penanam baru yang bertanyakan apakah baja yang terbaik untuk pokok durian membesar dengan sempurna dan mengeluarkan buah yang banyak. Disini saya akan berkongsi kaedah pembajaan pokok durian yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan kaedah tambahan yang saya praktikkan di kebun saya. 

Berikut ialah rutin pembajaan pokok durian yang disyorkan. Mari kita fahamkan bersama. 

jadual pembajaan pokok durian

Pada tahun pertama hingga pokok berumur 4 tahun, baja NPK yang diperlukan ialah 15:15:15. Pada tahun ke-5 iaitu ketika pokok (dengan pembesaran yang normal) dijangka mula berbuah, baja NPK yang diperlukan ialah 12:12:17:2. Mengapa terdapat perbezaan?

Ketika pokok dalam fasa matang dan persediaan untuk tahun pertama berbunga, baja dengan kandungan nitrogen (N) dan fosforus (P) dikurangkan kerana secara fisiologinya pokok tidak berada di fasa vegetatif tumbesaran lagi. 

NIlai potassium (K) diperlukan dalam jumlah yang lebih iaitu 17 disebabkan elemen ini digunakan oleh pokok untuk pengeluaran bunga, pembentukan dan pembesaran buah. 

Nilai 2 pula ialah nilai untuk Trace Elements atau TE. TE ialah apa-apa nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang kecil tetapi dalam ketiadaannya pokok tidak akan menghasilkan buah yang baik. Contoh TE yang biasanya dilabel oleh pengeluar baja ialah boron, magnesium atau sulfur. 

Dapat difahamkan bahawa kaedah ini menggunakan kedua-dua baja kompoun kimia NPK dan baja organik. Pembajaan sebaiknya diaplikasikan secara berselang seli. 

Kaedah Pembajaan Pokok Durian Di Kebun Saya

Untuk pokok-pokok saya kaedah pembajaan ini diubah dengan membuat penambahan. Tujuannya ialah untuk cuba meningkatkan pembesaran pokok, menguatkan pokok daripada serangan penyakit, merawat pokok yang sakit dan sebagai pengalaman kepada saya. Penambahan yang dilakukan ialah:

  1. Semburan foliar Fastgrow
  2. Semburan mono-potassium phosphate (MKP)
  3. Semburan cuka kayu
  4. Menabur neem cake
  5. Semburan plant booster dan Fish Amino Acid (FAA)
FastGrow

Fastgrow ialah ialah baja cecair foliar yang dikeluarkan oleh FastGrow Fertilizer Sdn. Bhd. Asalnya dirumuskan sebagai baja cecair untuk sawit tetapi kini telah dikembangkan untuk tanaman-tanaman lain termasuklah sayuran.

Apa yang membuatkan Fastgrow istimewa ialah ia mengaplikasikan teknologi kosmetik dimana bancuhan baja cecair ini boleh menyerap melalui batang dan dahan pokok.

Saya sudah menggunakan baja cecair foliar ini selama 2 tahun dan mendapati ia menggalakkan pertumbuhan tunas-tunas baru dengan cepat. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih belum lagi menghabiskan botol Fastgrow 1 liter pertama yang dibeli 2 tahun lepas. 

Berharga dalam lingkungan RM120.00 untuk sebotol 1 liter, penggunaannya amat jimat dengan arahan label 60ml untuk 20L air. 

Mono-potassium Phosphate - MKP

MKP merupakan sejenis garam. Jenama yang saya gunakan ialah Ag-Tech dan diimport dari Eropah. Mempunyai nilai NPK 0-52-43 baja ini memberi faedah kepada pokok dengan menggalakkan pertumbuhan akar dan pucuk baru. Untuk pokok dewasa yang sedang berbuah, MKP memberikan manfaat dengan penghasilan buah yang baik.

Kepekatan bancuhan yang saya gunakan untuk anak durian di bawah 1 tahun ialah 2.0 EC (electrical conductivity) diukur dengan alat EC meter.  

Untuk pokok durian yang berumur 1-2 tahun saya menggunakan kepekatan 4.5 EC.

Bancuhan terbaik ialah dengan menggunakan air suling (bacaan 0 EC) tetapi untuk operasi kebun dengan jumlah bancuhan yang besar, ini tidak praktikal. 

Persediaan dengan bancuhan air paip akan memberikan bacaan pada EC meter sebelum MKP dicampurkan kerana air paip mempunyai ketidaktulenan.

Aplikasi MKP adalah sebagai semburan foliar. Pembaca boleh merujuk cara untuk menyediakan larutan semburan MKP di artikel ini

Cuka Kayu

Cuka kayu tidak didefinasikan sebagai baja, ia lebih kepada vitamin untuk pokok. Cuka kayu dihasilkan daripada membakar kayu atau buluh di dalam relau atau tanur di mana cecair terkondensasi daripada stim yang terhasil dikumpul. Cecair ini disebut cuka kayu. 

Telah digunakan lebih 100 tahun di Jepun untuk kegunaan pertanian dan penternakan, cuka kayu berfungsi sebagai hormon pembesaran, meningkatkan imuniti tumbuhan dan mempunyai ciri-ciri anti-kulat. 

Kaedah kegunaan ialah dengan membancuhkan 1:300 isipadu air dan aplikasi ialah dengan cara semburan foliar. Untuk pokok-pokok durian yang pertama kali hendak disembur dengan cuka kayu, bancuhan sebaiknya perlu dicairkan lagi sebagai membiasakan pokok.   

Cuka kayu juga boleh digunakan sebagai semburan anti-kulat organik dengan cara memyediakannya pada kepekatan yang lebih tinggi iaitu 1:70 atau 1:100. 

 

liquid fertilizers
Cuka kayu (tiga dari kiri) dan Fastgrow (empat dari kiri)
Neem Cake

Sepertimana cuka kayu, neem cake bukanlah baja tetapi adalah ‘soil amendment’ atau perawat tanah. Dihasilkan daripada biji pokok neem, ia mempunyai ciri-ciri anti-serangga, merencatkan pertumbuhan kulat di dalam tanah, merencatkan nematod parasitik dan meningkatkan sistem pertahanan dalaman pokok.

Walaupun tidak diklasifikasikan sebagai baja, neem cake mempunyai analisis NPK 5-1-1 dan membantu meningkatkan kandungan bahan organik dalam tanah. 

Aplikasi adalah dengan cara membuat longkang di keliling radius kanopi pokok durian dan kemudian di tabur dan ditutup semula dengan tanah atau sungkupan. 

Video aplikasi neem cake yang saya lakukan pada pokok-pokok durian boleh dilihat di sini

neem cake
Neem cake (kiri) dan baja tinja ayam proses (kanan)
Plant Booster & FAA

Plant booster juga tidak dikategorikan sebagai baja tetapi penggalak pembesaran semulajadi. Resepi standard untuk membuat plant booster telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian beberapa tahun yang lepas dan boleh dipelajari online. 

Plant booster dihasilkan daripada proses penapaian beberapa bahan sayuran, telur, susu, buahan-buahan, gula perang dan yis. Merupakan cecair oren dan berkelodak serta berbau masam apabila siap untuk digunakan.  

FAA dihasilkan daripada ikan yang diperam dengan ditambah sedikit air, gula merah atau molasses dan serum EM daripada proses penapaian air basuhan beras. Kandungan asid amino yang tinggi hasil daripada pecahan molekul protein ikan memberikan manfaat yang baik untuk pembesaran pokok. 

Untuk kedua-dua plant booster dan FAA, cecair yang terhasil perlu dicarikan terlebih dahulu (biasanya 10ml untuk 1L air) untuk mengelakkan risiko overdos kepada anak benih pokok durian. 

Masa Terbaik Untuk Semburan Foliar

Apabila bercakap tentang pembajaan pokok durian, ramai yang faham dengan menabur baja NPK atau organik sahaja. Kaedah ini membolehkan pokok menyerap nutrien melalui akar. 

Pokok juga menyerap nutrien melalui daunnya. Oleh kerana kita telah banyak membincangkan berkenaan dengan semburan cecair foliar, ada baiknya jika saya berkongsi pengetahuan berkenaan perkara di atas.

Pihak Jabatan Pertanian telah menerangkan di dalam kursus-kursus pertanian yang dianjurkan oleh mereka dengan menyatakan masa yang terbaik untuk semburan foliar ialah ketika awal pagi semasa daun masih lagi basah dengan embun. 

Di Semenanjung Malaysia waktu ini adalah daripada awal pagi hingga pukul 8.30 pagi. 

Penjelasan untuk waktu semburan ini ialah kerana ketegangan permukaan dalam konteks pembasahan yang lebih bagus. 

Sebab lain ialah kerana liang-liang stomata berada dalam keadaan terbuka penuh yang membolehkan semburan foliar diserap dengan lebih menyeluruh oleh daun melalui stomata ke sistem pokok. 

 

stomata
Liang stomata dalam keadaan tutup

Pada pukul 9.00 pagi matahari sudah mulai menyinar dan menyebabkan permukaan daun mula panas. Ini seterusnya menyebabkan liang-liang stomata menutup. Reaksi ini ialah mekanisma pokok untuk mengurangkan kehilangan air melalui evaporasi. 

Penanam juga perlu memahami bahawa bilangan liang-liang stomata banyak terletak di bahagian bawah daun jika dibandingkan dengan bahagian atas daun oleh itu bawah daun perlu disembur dengan sempurna. 

Jika jumlah bancuhan foliar tidak cukup atau untuk mengurangkan kos baja cecair foliar maka penanam boleh menyembur bahagian bawah daun sahaja. 

Adakah Semburan Foliar Perlu Untuk Pokok Durian?

Pada pengalaman saya, semburan foliar adalah perlu. Ini disebabkan oleh faktor-faktor yang dibincangkan di bawah:

  1. Semburan foliar mempunyai sumbangan unsur-unsur nutrien yang tidak ada pada baja kompaun NPK granul
  2. Ketika musim kemarau/kering pembajaan secara taburan granul dan serbuk kurang berkesan
  3. Semburan foliar dapat menyokong untuk memberi nutrien kepada pokok yang ditanam di tanah berpH rendah (asid) atau berpH tinggi (alkali) sementara pH tanah diperbaiki  

Kebanyakan semburan cecair foliar bukanlah baja (makro nutrien) tetapi mikro nutrien, hormon penggalak tumbesaran, vitamin, amino asid dll. Elemen-elemen ini biasanya tidak terdapat di dalam kandungan baja kompoun NPK.

Keperluan yang kedua ialah ketika musim kemarau di mana pembajaan butiran NPK tidak berkesan kerana kekurangan hujan untuk melarutkan baja ke dalam tanah. Baja NPK yang berada di permukaan tanah yang lama akan teroksida dan mengurangkan keberkesanannya.

Sesetengah penanam mungkin akan menanam baja granul dengan membuat lubang-lubang poket atau longkang di keliling kanopi tetapi dengan taburan hujan yang rendah pada musim kemarau baja akan mengambil masa yang lama untuk larut dan terserap ke dalam tanah.

Tanah yang berasid (seperti kebanyakan kes tanah di Malaysia) akan merencatkan penyerapan nutrien oleh akar. 

Di artikel ini saya kongsikan keputusan ujian tanah termasuk ujian pH daripada sampel tanah saya yang dilakukan di MARDI Serdang. 

Semburan foliar NPK dapat membantu menyokong keperluan nutrien pokok ketika tanah distabilkan dengan kapur pertanian atau dolomite. 

Dalam kes semburan foliar MKP yang tidak mengandungi unsur nutrien Nitrogen, penanam boleh mencampurkan MKP dengan potassium nitrat (KNO3) untuk melengkapkan keperluan unsur utama N, P dan K.

Salah satu jenama KNO3 di pasaran
Pertimbangan Pembajaan Yang Lain

Kos pembajaan pokok durian ialah kos kedua terbesar selepas kos gaji pekerja untuk mana-mana kebun atau ladang. Bagi seorang penanam durian, titik keseimbangan perlu dicari antara pembelian baja NPK kimia yang berkos mahal dengan baja organik yang lebih murah.

Dalam kebanyakan kes, kedua-dua baja kimia dan organik digunakan secara berselang-seli dengan 60% adalah kimia dan 40% organik. Terdapat penanam-penanam yang cuba untuk mengaplikasikan penggunaan 30% kimia dan 70% organik (atau-semi-organik).

 

baja organik
Baja 100% organik yang saya gunakan sekarang (harga RM25)

Apabila merancang untuk mengaplikasikan pembajaan organik yang lebih, penanam perlu faham jumlah dan berat baja organik yang digunakan dalam setahun akan jauh lebih tinggi daripada jumlah baja kimia NPK untuk mendapatkan perkembangan yang sama pada pokok.

Untuk jangka waktu panjang, mengaplikasikan baja organik dan bahan pemulih tanah yang lain akan memperbaiki tanah dan tidak sahaja memberi nutrien pada pokok-pokok.

Bagi manfaat penanam-penanam baru, pokok durian terutamanya pokok-pokok yang masih muda amat sensitif kepada klorida dan lebih suka kepada potassium daripada sulphate-of-potash (SOP) dan bukan muriate-of-potash (MOP) yang lebih murah. 

Sebagai ‘rule of thumb’, penanam perlu peka dengan kehadiran unsur klorida di dalam kandungan baja sebelum membeli. Baja untuk pokok sawit dan pokok getah secara umumnya adalah tidak sesuai untuk pokok durian. 

Apakah rutin pembajaaan pokok durian yang anda lakukan sekarang? Kongsikan komen anda di ruang komen di bawah. 

Share this

34 thoughts on “Pembajaan Pokok Durian Yang Perlu Diketahui

  • January 23, 2021 at 11:53 am
    Permalink

    As-salam tuan.. Blh saya minta jadual penuh pembajaan butir & foliar yg tuan gunakan?? Terima kasih tuan yg budiman

    Reply
    • January 23, 2021 at 1:17 pm
      Permalink

      Wassalam,
      Jadual pembajaan butir lebih kurang sama dgn yg disyorkan oleh jabatan pertanian cuma mungkin kekerapan saya lebih sedikit kerana sy menggunakan 60% organik. Untuk foliar pula:
      1. Minggu pertama – Fastgrow (spray btg)
      2. Minggu ke-2 – Cuka kayu (1:250) + MKP (2.5 EC)
      3. Minggu ke-3 – Fastgrow (spray btg)
      4. Minggu ke-4 – Fish Amino Acid (homemade)
      Selang 2 bulan saya akan siram EM atau Superbacti pada tanah.
      Jika ada keperluan utk spray racun kulat/serangga pada mana2 minggu, sy akan spray foliar dahulu dan kemudian selepas itu spray racun.

      Reply
      • January 30, 2021 at 1:38 pm
        Permalink

        Terima kasih tuan sgt membantu

        Reply
      • March 19, 2021 at 3:10 pm
        Permalink

        Assalammualaikum..

        Berkenaan dgn jadual pembajaan daripada Jab.Pertanian… adakah jadual pembajaan seperti ini…

        Untuk pokok 1-2 tahun
        NPK- 6 kali setahun
        Organik- 6 kali setahun
        Bulan 1 : 0.5kg NPK15-15-15
        Bulan 2 : 20kg,??? Organik
        Bulan 3 : 0.5kg NPK15-15-15
        Bulan 4 : 20kg,??? Organik
        Bulan 5 : 0.5kg NPK15-15-15
        Bulan 6 : 20kg,??? Organik
        Bulan 7 : 0.5kg NPK15-15-15
        Bulan 8 : 20kg,??? Organik
        Bulan 9 : 0.5kg NPK15-15-15
        Bulan 10 : 20kg,??? Organik
        Bulan 11 : 0.5kg NPK15-15-15
        Bulan 12 : 20kg,??? Organik

        Mohon pencerahan.. terima kasih.

        Reply
        • March 20, 2021 at 12:00 pm
          Permalink

          Salam,
          Kuantiti baja ialah berat baja/pokok/tahun. Manakala bilangan aplikasi setiap pokok dlm setahun ialah 6 kali. Maka dengan itu:

          Berat baja NPK utk setiap aplikasi per pokok ialah = 0.5/6 = 0.08 kg
          Berat baja organik utk setiap aplikasi per pokok ialah = 20/6 = 3.3 kg

          Jadi,

          Bulan 1 : NPK 0.08kg, organik 3.3kg
          Bulan 2 : NPK 0, organik 0kg (tiada pembajaan)
          Bulan 3 : NPK 0.08kg, organik 3.3kg
          Bulan 4 : NPK 0, organik 0kg (tiada pembajaan)
          Bulan 5 : NPK 0.08kg, organik 3.3kg
          Bulan 6 : NPK 0, organik 0kg (tiada pembajaan)
          Bulan 7 : NPK 0.08kg, organik 3.3kg
          Bulan 8 : NPK 0, organik 0kg (tiada pembajaan)
          Bulan 9 : NPK 0.08kg, organik 3.3kg
          Bulan 10 : NPK 0, organik 0kg (tiada pembajaan)
          Bulan 11 : NPK 0.08kg, organik 3.3kg
          Bulan 12 : NPK 0, organik 0kg (tiada pembajaan)

          Atau,

          Bulan 1 : NPK 0.08kg, organik 0kg
          Bulan 2 : NPK 0, organik 3.3kg
          Bulan 3 : NPK 0.08kg, organik 0kg
          Bulan 4 : NPK 0, organik 3.3kg
          Bulan 5 : NPK 0.08kg, organik 0kg
          Bulan 6 : NPK 0, organik 3.3kg
          Bulan 7 : NPK 0.08kg, organik 0kg
          Bulan 8 : NPK 0, organik 3.3kg
          Bulan 9 : NPK 0.08kg, organik 0kg
          Bulan 10 : NPK 0, organik 3.3kg
          Bulan 11 : NPK 0.08kg, organik 0kg
          Bulan 12 : NPK 0, organik 3.3kg

          Dengan kata lain, untuk pokok yg berumur bawah 2 tahun baja NPK yang digunakan adalah amat sedikit. Konsep ini selari dengan pemahaman bahawa anak pokok durian yang masih muda tidak sesuai diberikan baja NPK. Kalau kita tgk juga normal practice yang baik…..anak benih durian yang berumur bawah 1 tahun hanya diberikan baja organik dan tidak diberikan baja NPK langsung. Harap membantu.

          Reply
          • September 5, 2021 at 3:59 pm
            Permalink

            assalamualaikum tuan bagaimana pula kaedah dan kuantiti baja untuk pokok yg sudah berbuah hingga pokok tua yg masih berbuah.mohon pencerahan.

          • September 9, 2021 at 9:35 am
            Permalink

            Tuan Azrul, kaedahnya sama. Hanya perlu menganggarkan umur pokok dan menggunakan berat baja yg dicadangkan seperti dalam jadual.

        • May 8, 2021 at 11:43 pm
          Permalink

          Assalammualaikum tuan. Untuk jadual semasa bulan 1 i.e 0.08kg npk dan 3.3 kg organik , adakah digaul sekali dan ditabur keliling kanopi atau diselangkan beberapa hari. Bolehkah baja organik digantikan dengan semi organik?. Terima kasih tuan atas maklum balas.

          Reply
          • May 10, 2021 at 1:48 am
            Permalink

            Gaul sekali pun boleh atau diselangkan pun boleh. Secara praktikalnya dan untuk menjimatkan masa dan tenaga, gaul sekali lebih jimat masa dan tenaga. Secara teorinya, pokok akan makan baja NPK dahulu (itu sbbnya baja NPK/kimia akan memberikan respon yg lebih cepat kpd pokok) dan kemudian baru pokok makan baja organik. Baja organik hanya akan menampakkan kesan pada pokok kebiasannya pada minggu ke-3 lepas pembajaan.

  • March 22, 2021 at 9:37 am
    Permalink

    Hi May i know the 15.15.15. how much the price ?/

    Qty about 100 bag

    Reply
    • March 23, 2021 at 7:24 pm
      Permalink

      Hi Jacky. I don’t sell any fertilizers and also the price of any fertilizer has slight differences depending on the location of where you’re buying it. As far as my experience goes, the cheapest farm input (ferts, foliar sprays, insecticides, fungicides and other farm tools) is still Raub.

      Reply
  • March 23, 2021 at 2:19 am
    Permalink

    Salam,

    Saya mempunyai pokok durian kampung yang berumur 30 tahun ke atas, adakah saya perlu mengikut sukatan 9kg NPK, 40kg organik per tahun atau lebih lagi? Terimakasih

    Reply
    • March 23, 2021 at 7:20 pm
      Permalink

      Boleh ikut sukatan 9kg NPK, 40kg organik sebagai minimum. Jika boleh 15% lebih daripada ini lebih baik.

      Reply
        • April 12, 2021 at 3:17 pm
          Permalink

          Saya mempunyai beberapa pokok musangking yang berumur 4 tahun pd bulan Julai 2021 yg mengalami masallah hawar daun selama 12 bulan atau lebihSaya gunakan Chitosan+ Monceren utk merawat dan kini semua pokok semakin pulih.
          Soalan:-
          Boleh kah pembajaan mengunakan NPK 12+12+12 mulai dari sekarang dlm pada pokok dlm proses pemulihan?

          Reply
          • April 14, 2021 at 2:52 am
            Permalink

            Jawapannya boleh mula membaja. Terima kasih kerana membaca.

        • January 26, 2022 at 9:16 am
          Permalink

          Cuka kayu digunakan berapa ml bersamaan 1 liter air.untuk durian 4 tahun berapa kali setahun.

          Reply
          • March 15, 2022 at 8:38 am
            Permalink

            Nisbah bancuhan ialah 300:1. Jadi kalau 1L air bermaksud perlu campur dgn 3.3 ml cuka kayu.

            Kekerapan tidak terlalu penting, kalau mampu boleh spray sekerap yg mungkin cuma sy syorkan paling kerap sekali seminggu.

  • April 11, 2021 at 3:03 am
    Permalink

    Salam tuan, boleh minta pencerahan sama ada pokok durian tua boleh dibaja masa pokok berbunga dan masa buah tengah membesar ? Seandainya boleh, jadual pembajaannya macam mana ? Terima kasih

    Reply
    • April 14, 2021 at 3:08 am
      Permalink

      Wassalam. Nasihat saya stop membaja semasa pokok berbunga. Mula membaja setelah buah sebesar bola ping pong. Jadualnya ialah 2 minggu sekali.

      Reply
  • May 30, 2021 at 12:06 am
    Permalink

    Assalammualaikum,
    Baja organik yg digunakan tu adalah sama dengan baja kopi (888).Kalau guna baja kopi,berapa banyak yg diperlukan utk anak durian berumur 2 – 3 tahun.

    Reply
    • May 31, 2021 at 1:53 pm
      Permalink

      Tabur minimum 8kg sepokok setahun tuan. Berapa kali kekerapan bergantung pada kesesuaian, contohnya boleh tabur 1.3 kg selang sebulan (8kg dibahagikan dgn 6 bulan).

      Reply
      • June 1, 2021 at 2:55 pm
        Permalink

        Terima kasih kerana memberi pencerahan

        Reply
        • July 2, 2021 at 4:37 pm
          Permalink

          Assalamualaikum tuan,
          -apakah beza EM dan FAA?
          -bolehkah keduanya dicampur dan digunakan sekali? (sembur pokok dan siram tanah).
          – sekiranya selepas kita tabur baja 555 atau baja kimia 161616 bolehkah kita sembur EM pada baja tadi?

          Reply
          • July 3, 2021 at 11:50 am
            Permalink

            Waalaikumsalam,
            EM – bahan-bahan yg digunakan ialah kangkung, betik, belacan dan lain-lain (boleh rujuk Google utk kandungan bahan yg lengkap)
            – Activating microbe ialah dgn menggunakan yis
            – Merupakan cecair yg mengandungi hormon pembesaran dan pelbagai nutrien.

            FAA – bahan-bahan yg digunakan ialah hanya isi dan bahagian2 ikan.
            – Activating microbe ialah serum dan dibuat hasil daripada penapaian air basuhan beras.
            – Merupakan cecair yg mengandungi amino asid dan mineral.
            EM dan FAA boleh dicampur samada untuk semburan atau siraman tanah. Larutkan 2x ganda berbanding ukuran larutan biasa.
            Boleh sembur EM pada baja, tiada kesan negatif cuma pada saya lebih baik apply baja biji (organik atau kimia) pada masa yg berasingan untuk pokok makan berasingan.

          • August 14, 2021 at 2:56 pm
            Permalink

            Asslm… Saya masih baru dlm penanaman pokok durian. Dalam usia 5/6 bulan kebanyakan daun pokok seperti terbakar dan terbantut…. apakah cara penyelesaiannya..?

          • September 1, 2021 at 1:32 pm
            Permalink

            Waalaikum salam, boleh beri gambar kepada email sy di globalfmsb@yahoo.com untuk saya buat permerhatian yg tepat.

  • September 29, 2021 at 12:49 am
    Permalink

    Salam tuan. Huraian dan penerangan tuan terbaik , amat senang difahami . Sumbangan bakti tuan pastinya diberkati Allah. Di sini saya mohon sedikit pencerahan mengenai penggunaan baja organik. Katalah saya menggunakan baja 555 atau 888, adakah dosejnya sebanyak 3.3kg juga ? Atau baja organik tahi ayam ayau kambing sahaja yang dosejnya sebanyak itu. Semoga saya mendapat pencerahan secepat mungkin. Terima kasih, wassalam.

    Reply
    • October 10, 2021 at 4:37 am
      Permalink

      Waalaikum salam, Yer, dosejnya sebanyak 3.3 kg juga secara am. Kalau dikira secara teori, baja organik tahi ayam atau tahi kambing mempunyai kandungan NPK yg lebih rendah dari 555 dan 888. Jadi bila kita menggunakan 555/888 kita sebenarnya sudah sedikit overdos bila dibandingkan dgn baja tahi ayam/kambing. Namun begitu, baja organik sukar untuk memberikan kesan overdose kerana ia organik. Pokok hanya akan menyerap kandungan baja yg ia perlu sementara lebihan baja itu berfungsi untuk memperbaiki tanah.

      Reply
  • November 7, 2021 at 4:33 pm
    Permalink

    Tuan,

    Saya tak jumpa baja sebatian NPK 15-15-15 atau 16-16-16 atau 17-17-17 yang menggunakan SOP. Boleh tuan berikan jenama baja yang menggunakan SOP?

    Reply
    • November 11, 2021 at 7:59 am
      Permalink

      Baja tumbesaran seperti 15 x 3, 16 x 3 atau 17 x 3 jarang yang SOP based. Yang saya tau hanya jenama Durian Emas (15 x). Kebiasaannya SOP based hanya untuk baja buah (nilai K tinggi). Baja buah SOP based ada beberapa jenama (Garsoni, Niforsk, Soya Fish, Agrobridge 12-12-17 dll.)

      Tuan tidak perlu overthinking. Untuk pokok2 durian, ciri-ciri ‘chloride-free’ lebih penting dari SOP atau MOP. Pokok2 durian yang masih dalam pertumbuhan vegetatif lebih sensitif kepada kandungan chloride dan tidak membezakan sangat samada unsur potassium dtg dari sulphate atau muriate.

      Reply
  • January 12, 2022 at 4:17 pm
    Permalink

    Salam. Tuan .
    Sy br mula 1 minggu menanam durian …dlm keluasa tanah 1.5 ekar, tinggi pokok dlm 3′ .. soalan .. bilakah masa yg sesuai utk memulakan pembajaan.. apakah jenis baja yg disarankan..

    Reply
    • January 14, 2022 at 8:47 am
      Permalink

      Boleh mula membaja selepas 3 minggu. Pokok-pokok yg berumur bawah setahun disarankan untuk menggunakan baja organik sepenuhnya. Jika ingin menggunakan baja NPK maka boleh dibuat dengan dos yang kecil.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *