Tips & Cara Tanam Bunga Kantan

cara tanam bunga kantan
Pokok bunga kantan di kebun

Bunga kantan digunakan dalam masakan laksa, masak asam pedas, laksam, nasi kerabu dan beberapa masakan Melayu yang lain.

Kenaikan harga bunga kantan di pasar atau supermarket di bandar-bandar besar menandakan potensi besar untuk tanaman ini dikomersilkan oleh para pekebun. 

Di artikel ini saya akan berkongsi cara tanam bunga kantan di kebun saya termasuk jenis tanah yang sesuai, keperluan cahaya matahari, pembajaan dan tips untuk memastikan pokok bunga kantan sentiasa berbunga. 

Pokok bunga kantan sukar untuk dibiakkan melalui cambahan biji benih. Itu pun kalau biji benih dapat diperolehi. Dimana biji bunga kantan ini boleh diperolehi bergantung, kebiasaannya dicari di kawasan kampung-kampung. 

Dalam hampir semua percubaan saya sebelum ini, biji benih bunga kantan tidak akan bercambah walaupun selepas sebulan ditanam. 

 

biji bunga kantan
Biji benih bunga kantan

Cara terbaik menanam bunga kantan ialah melalui rizomnya. Rizom ini boleh dibeli online, dari pekebun kecil pokok kantan atau digali sendiri dimana pokok bunga kantan boleh didapati.

rizom bunga kantan
Rizom bunga kantan yang baru digali untuk dijual

Harga untuk rizom bunga kantan pada waktu blog ini ditulis adalah berbeza-beza bergantung kepada tempat. Belian secara online di Shopee berharga RM4-5 untuk sebatang rizom. Yer, memang agak mahal. 

Saya telah membeli 2 rumpun pokok bunga kantan daripada seorang pekebun di Bangi Lama, Selangor. 

Kaedah jualan beliau ialah dengan pergi ke kebunnya, pilih rumpun mana yang dikehendaki dan beliau akan memberitahu harga. Harga satu rumpun pokok bunga kantan ialah di antara RM50 – RM100 bergantung kepada saiz. 

Beliau kemudiannya akan menggali pokok kantan yang dipilih dan dibungkus di dalam beg plastik seperti gambar di bawah. 

pokok bunga kantan

Rizom bunga kantan boleh bertahan lebih dari 3 minggu di tempat yang sejuk dan kering. Oleh itu, tiada masalah semasa proses penghantaran jika tidak dapat pergi ke kebun secara terus. 

Selepas sampai ke destinasi, batang rizom akan direndam di dalam air dicampur dengan air kisaran bawang merah selama 12 jam untuk merangsang rizom. 

Rumpun pokok kantan yang telah dipecahkan dan direndam

Cara Tanam Bunga Kantan

Lokasi penanaman yang dipilih mestilah mempunyai kelembapan tanah yang baik dengan kandungan organik yang tinggi. Sebaiknya ditanam di kawasan yang mendapat cahaya matahari penuh. 

Apabila ditanam di kawasan yang terlindung, pokok kantan akan membentuk rumpun yang longgar dan tidak padat. 

Gali lubang sedalam akar rizom ke pangkal batang yang mula berwarna hijau. 

Penyediaan lubang penanaman yang baik ialah dengan menaburkan CIRP dan kompos terlebih dahulu sebelum dikambus semula dengan tanah. 

Jarak tanam rizom sebaiknya ialah 10 kaki di antara rizom. Satu lubang ditanam dengan 2 atau 3 batang pokok kantan. 

Menanam dengan hanya 1 batang pokok kantan di dalam satu lubang akan menyebabkan akar asalnya sedikit dan saiz rizom yang kecil. Ini akan mengurangkan ‘survivability’ pokok kantan dan mungkin menyebabkan ia mati sebelum ia dapat ‘establish’ di atas tanah.  

baris pokok kantan
Baris pokok kantan yang siap ditanam

Kawalan Penyakit dan Makhluk Perosak

Pada pemerhatian saya, pokok bunga kantan tidak mempunyai serangga makhluk perosak disebabkan baunya. Ia juga tidak dijangkiti oleh penyakit kulat dan penyakit bawaan patogen virus yang lain. 

Namun begitu, ia mempunyai satu makhluk perosak iaitu sejenis ulat bulu yang memakan daunnya.   

Jika terdapat serangan makhluk perosak atau jangkitan penyakit maka rawatan secara semburan organik perlu dibuat untuk mengelakkan kontaminasi racun pada bunganya. 

Pembajaan dan Memetik Hasil

Pembajaan sewaktu pertumbuhan vegetatif sebaiknya mengunakan baja organik. Baja organik yang saya gunakan iaitu baja Champion 555 dibincangkan di artikel ini

Semasa pembesaran, daun-daun tua dan batang yang telah kering hendaklah dipangkas dan dibersihkan untuk memastikan kebersihan dan mengelak pembiakan serangga perosak.

Ketika pokok telah mengeluarkan batang bunga, taburkan dengan baja sebatian NPK yang mempunyai kandungan potassium yang tinggi seperti 16-5-22.  

Pokok bunga kantan akan matang dan mula mengeluarkan bunga selepas setahun batang rizom ditanam. Masa memetik bunga ialah apabila bunga terasa sedikit lembut apabila ditekan. 

Bunga kantan yang sedia untuk dijual

Kesimpulannya, cara tanam bunga kantan tidak sukar kerana pokok ini tidak memerlukan penjagaan yang khusus seperti pokok buah-buahan. 

Walaupun begitu, ia dapat memberikan pulangan yang lumayan jika penanamannya diusahakan secara sederhana besar.

Saya ingin mendengar pengalaman anda diruang komen di bawah jika anda menanam pokok ini di kebun anda. 

Share this

7 thoughts on “Tips & Cara Tanam Bunga Kantan

  • December 15, 2020 at 10:03 am
    Permalink

    Setakat ini semua bahan bacaan saya berhubung penanaman pokok bunga kantan tidak jauh berkisar dari persediaan tanah yg lembab, gembur dan rata. Malah ada yg berpendapat pokok ditanam atas batas.
    Saya adalah seorang pekebun bandar yg hanya mampu berkebun dikawasan rumah yg mempunyai kawasan sangat terhad. Dikawasan terhad ini saya ada menanam pokok bunga kantan di tepi pagar konkrit. Saya berpengalaman pernah berlaku pokok kantan saya tumbuh merebak kekawasan jiran. Ini bermakna rhizome boleh melepasi pagar konkrit. Pendapat saya, pokok kantan boleh ditanam dan membiak di kawasan yg berbatu sekiranya ujud tompok2 tanah diantara batu2.

    Reply
  • March 7, 2021 at 7:10 am
    Permalink

    Saya Pn Mek dari Sabak Bernam Selangor mula mengusahakan tanaman bunga kantan bermula pkp yang pertama dan sekarang Alhamdulillah setakat ni nampak pokok pokoknya subur kerana tanahnya yang sesuai dan saya letakkan banyak baja organik.

    Kantan yang ditanam berkeluasan dua setengah ekar dan terletak berhampiran dengan rumah.Ianya terdiri dari dua warna iaitu pink dan merah hati.

    Saya berpendapat tanaman ini mempunyai potensi untuk dikomersialkan kerana pada masa masa tertentu mendapat permintaan yang tinggi di pasaran

    Doakan peminat peminat bunga kantan agar usaha saya menanam berjaya dan menbuahkan hasil

    Reply
    • March 7, 2021 at 4:53 pm
      Permalink

      Saya doakan kita semua berjaya Pn. Mek. Memang betul bunga kantan ada potensi untuk dikomersilkan selain dari tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran yang biasa kita dengar.

      Reply
  • April 15, 2021 at 10:15 pm
    Permalink

    InshaAllah akan berkongsi pengalaman selepas ini.

    Sebelum Saya dapatkan benih kantan di Mardi berharga rm8 satu polibeg.

    Kawasan tanaman saya adalah tanah terbiar di tepi padang perumahan,berdekatan dengan bawah tiang elektrik.

    Saya lihat banyak kawasan2 bawah laluan kabel TNB boleh digunakan untuk tanaman bunga kantan.

    Jika dapat dilakukan melalui kaedah koperasi dengan modal lebih besar,mungkin boleh dibuat serbuk bunga kantan yang mana,produk boleh tahan lama & harga boleh tinggi kerana packaging yg international.

    Terima kasih atas perkongsian.

    Untuk dapatkan benih kantan boleh hubungi 012-9582210

    Reply
    • August 24, 2021 at 12:19 pm
      Permalink

      Tuan boleh contact saya untuk order benih 0195237567

      Reply
  • June 10, 2021 at 2:06 am
    Permalink

    Asslamualiakum..saya nak bertanya adakah sesuai ditanam di tanah gambut

    Reply
    • June 10, 2021 at 9:32 am
      Permalink

      Waalaikum salam, durian tak sesuai ditanam di tanah gambut tuan. Tanah gambut terlalu masam dan kandungan airnya tinggi. Akar pokok durian tak tahan tanah yang basah, senang kena reput akar.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *