Cara Penggunaan Baja MKP Untuk Elakkan Overdose

Kegunaan baja mono-potassium phosphate atau baja MKP telah dibincangkan di artikel saya sebelum ini. Kali ini saya akan berkongsi bagaimana saya menyediakan bancuhan dan mengukur kepekatan MKP untuk semburan foliar di kebun durian.  

baja MKP
Antara jenama MKP di pasaran

Penggunaan MKP sebagai aplikasi foliar perlu diukur untuk mengelakkan overdos kepada pokok. Kesan overdos ialah daun dan pucuk yang kelihatan terbakar atau kering. 

Oleh kerana itu, penggunaan MKP perlu melalui persediaan yang betul. Ukuran kepekatan dos MKP memerlukan alat analitik yang dipanggil EC (electro-conductivity) meter. Meter ini boleh dibeli di kedai pertanian, kedai alatan makmal atau secara online. 

Alat ini mengukur konduktiviti elektrik cecair dalam unit uS/cm (micro Siemens per cm) atau ppm (parts per million). 

EC meter full
EC meter dengan pin kalibrasi dan manual

Baja ini merupakan sejenis garam, berwarna putih dan mempunyai tahap kelarutan yang tinggi di dalam air. Digunakan juga sebagai baja tabur oleh sesetengah penanam durian namun saya akan membincangkan aplikasi MKP sebagai semburan foliar. 

Langkah-langkah membancuh adalah seperti berikut:

  1. Penanam perlu menetapkan jumlah isipadu untuk bancuhan dan target kepekatan akhir MKP di dalam isipadu bancuhan tersebut. 
  2. Ukur kepekatan mineral sedia ada di dalam air paip/air takungan hujan/air kolam dll. dengan EC meter
  3. Masukkan sedikit serbuk MKP ke dalam air paip/air takungan hujan/air kolam dll.
  4. Ambil ukuran air bancuhan menggunakan alat EC meter
  5. Tambahkan serbuk MKP sehingga ukuran menunjukkan target kepekatan yang dikehendaki untuk semburan foliar.  
1. Isipadu Semburan dan Kepekatan Akhir

Jumlah isipadu yang hendak disembur bergantung kepada penanam sendiri dengan mengambil kira bilangan dan saiz pokok yang hendak disembur. Nombor isipadu ini hanya perlu sebagai rekod untuk bancuhan yang seterusnya. 

Setahu saya, tiada rujukan untuk kepekatan standard foliar MKP bagi aplikasi pokok durian (anak pokok atau dewasa)  namun saya menggunakan carta baja AB hidroponik sebagai rujukan: 

Jika dilihat, sayuran berdaun disyorkan untuk menggunakan kepekatan EC (electrical conductivity) yang bernilai rendah. Kita dapat juga melihat bahawa bagi tanaman sayuran berbatang seperti terung, tomato dan kacang buncis mempunyai nilai EC yang lebih tinggi

Jika diambil kira anak benih durian bersaiz 2 kaki tinggi, kita boleh membuat pertimbangan mudah nilai EC yang sesuai berada dalam julat 2.5 – 5.0. Sebagai ‘safety buffer’ atau langkah selamat untuk mengelakkan risiko ‘leaf burn’ pada anak poko durian, saya mengambil nilai 2.5 EC target kepekatan.   

2. Ukur Kepekatan Mineral Sedia Ada

Disebabkan air yang digunakan untuk membancuh bukan air suling (≈ 0 EC), ukuran pada EC meter akan memberikan bacaan tertentu. Air paip, air takungan hujan, air sungai, air kolam dll akan mempunyai kandungan mineral terlarut di dalamnya.

Bacaan sebelum membancuh ini perlu ditolak dengan bacaan selepas serbuk MKP dibancuh.  

Nota:

1. Gunakan unit uS/cm dan bukan ppm

2. Dalam kes EC meter saya, pembacaan adalah 000 X 10 (nilai bacaan didarabkan dengan 10)

3. Baca nilai atas, nilai bawah ialah suhu air

Dapat dilihat pada paparan, bacaan adalah 010 x 10 = 100 uS/cm

3. Masukkan Serbuk MKP & Bancuh

Untuk demonstrasi ini, saya memasukkan 4 gram serbuk MKP ke dalam 1 liter air paip. Bancuh serbuk sehingga terlarut sepenuhnya. 

4. Ambil Ukuran Air Bancuhan MKP

Seperti sebelumnya, ukuran dibaca seperti berikut:

263 x 10 = 2,630 uS/cm

 

Nilai sebenar kepekatan MKP di dalam bancuhan ialah:

Kepekatan selepas – Kepekatan sebelum = Kepekatan akhir 

Iaitu, 2,630 uS/cm – 100 uS/cm = 2,530 uS/cm 

Bacaan kepekatan akhir ini ialah dalam unit uS/cm dan unit yang dibuat perbandingan di dalam carta hidroponik ialah EC. Penukaran unit uS/cm kepada EC ialah dengan membahagikan nilai dengan 1,000.

Oleh itu, 2,530 ÷ 1,000 = 2.53 EC

5. Tambahan Serbuk MKP Untuk Mencapai Kepekatan Dikehendaki

Dengan demonstrasi ini, saya telah menyediakan 1L bancuhan semburan foliar MKP dengan kepekatan 2.53 EC iaitu sama dengan target kepekatan yang dipilih. Dengan ini, saya tidak perlu membuat apa-apa penambahan serbuk MKP lagi.

Andai kata kepekatan yang diperlukan ialah 4.5 EC contohnya, saya akan menambahkan serbuk MKP sedikit demi sedikit dan membuat bacaan EC pada setiap penambahan sehingga saya mendapat bacaan yang dikehendaki. 

Daripada demonstrasi ini dapat direkodkan bahawa 4 gram baja MKP dibancuhkan dengan 1L air akan menyediakan kepekatan 2.5 EC. 

Daripada sini juga (menggunakan jenis air yang sama) saya boleh meningkatkan isipadu semburan dengan mengekstrapolasi berat serbuk MKP tanpa membuat bacaan setiap kali penambahan dilakukan. 

Sila tinggalkan komen atau perbincangan berkenaan dengan artikel ini di bawah. 

Share this

13 thoughts on “Cara Penggunaan Baja MKP Untuk Elakkan Overdose

  • March 26, 2021 at 9:24 am
    Permalink

    Assalamualaikum. Jika baja MKP digunakan sebagai baja tabur, bagaimanakah cara taburannya? Terima kasih.

    Reply
  • March 27, 2021 at 3:35 am
    Permalink

    Assalamualaikum. Apakah kaedah yang betul untuk guna baja MKP sebagai baja tabur? Terima kasih.

    Reply
    • April 1, 2021 at 2:04 am
      Permalink

      Wassalam, sy sebelum ini pernah menggunakan baja MKP sebagai baja tabur utk pokok mangga harumanis sy. Dan 2 hari kemudian pokok itu mati…..hahaha.

      Sy rasa telah overdose, lg pun tabur tanpa ukuran berat yg sesuai kerana sy tiada panduan berapa berat yg betul. Daripada situ sy tidak pernah apply secara tabur utk pokok durian sy. Not worth the risk. Applikasi utk pokok2 durian adalah secara foliar seperti sy sy ceritakan dlm blog saya.

      Mungkin tuan/puan boleh explore lg sukatan berat yg sesuai utk kaedah tabur. Tq

      Reply
    • November 5, 2021 at 3:05 pm
      Permalink

      Sya selalu gunakan mkp sewaktu musim buah utk penuhkan keperluan kalium utk pokok… Sya guna 100g /20liter… Utk menguatkan tangkai buah n menyekat pucuk baru yg boleh sebabkan pokok buang putik buah… Sya guna kadang 1-2mgu sekali cara foliar… Betulkah cara sya…? Tapi buah memang byak start pakai mkp.. Sebwlum nih sepokok dlm 26-30 bji sepokok… Selepas pakai dapat 80-120bji sepokok… Tak tahu pulak boleh guna utk pokok kecil… Berapa g sesuai utk bancuhan 20liter ya.. Sya guna mkp brand yara… Ada beli baja dap juga nak tinggi phosphate utk akar… Mana lebih baik… Dap atau mkp utk pokok kecil

      Reply
      • November 11, 2021 at 8:04 am
        Permalink

        Saya bancuh MKP untuk anak2 pokok durian tidak timbang berapa gram untuk setiap isipadu air tetapi saya kira dosing/kepekatan bancuhan dengan mengukur konduktiviti. Untuk pokok2 kecil saya pakai 2.5-4.5 EC.

        Saya tiada pengalaman guna DAP lagi setakat ini.

        Reply
  • April 11, 2021 at 10:16 am
    Permalink

    Bsgaimana nak mengira kalium untuk dapatkan 20 % dari unsur . Berapa gm/l untuk dptkan 20% unsur K drp kandungan MKP.

    Reply
    • April 14, 2021 at 2:58 am
      Permalink

      Serbuk MKP telah menjadi kompoun atau campuran, tidak boleh diasingkan lagi unsur-unsurnya. Untuk mendapatkan kalium atau nama lainnya potassium sebagai nutrien berasingan, tuan perlu membeli baja tunggal atau ‘straight fertilizer’. Setahu saya straight fertilizer hanya dikeluarkan oleh Yara dan AGTech di Malaysia.

      Reply
  • July 9, 2021 at 5:35 am
    Permalink

    kekerapan penyemburan 7 hari/1 kali @ 14hr/1kali bagi pokok durian umur 0- 1 tahun?

    Reply
    • July 9, 2021 at 2:33 pm
      Permalink

      Untuk pokok 0-1 tahun hanya spray 3-4 minggu sekali sudah memadai.

      Reply
    • September 10, 2021 at 6:39 am
      Permalink

      Kebanyakan web. menyebbut MKP sbg baja buah, tapi tuan menyebut contoh penggunaan pd sayur berdaun dan anak durian tinggi 2 kaki.

      Blh beri penjelasan?

      Reply
      • November 11, 2021 at 8:53 am
        Permalink

        MKP mempunyai 0 kandungan nitrogen tetapi kandungan fosforus dan potassium yg tinggi. Ini menunjukkan baja MKP bertujuan untuk merangsang pembentukan bunga dan perkembangan buah. Namun begitu, bila dicampur dengan KNO3 (potassium nitrat), ia akan menjadi baja NPK yang lengkap ketiga-tiga kandungan nitrogen, fosforus dan potassium.

        Sy menggunakan foliar MKP sebagai kaedah untuk ‘supplement’ nutrien pokok dgn cara memberikan pokok makan nutrien fosforus dan potassium melalui serapan daun. Kaedah ini saya buat pada musim kemarau (ketika keadaan kurang air untuk baja granul melarut dalam tanah dan diserap oleh akar). Kita sebenarnya hanya bermain dengan komposisi nutrien, tidak kisah lah dalam bentuk granul atau serbuk atau cecair foliar, bergantung kepada objektif yang kita mahukan.

        Reply
  • October 26, 2021 at 2:03 pm
    Permalink

    terima kasih atas pencerahan hasil dari ilmu dan pengalaman sendiri. satu soalan mohon penjelasan. pokok berumur satu tahun itu bagaimana dikira ? dari tarikh tanam atau umur anak pokok itu sendiri. pokok yang ketinggiannya 4 kaki, tapi baru ditanam, bagaimana ianya diklasifikasikan ? Allahlah akan membayar harga sumbangan yang tuan berikah. tk.

    Reply
    • October 31, 2021 at 1:00 pm
      Permalink

      Umur anak pokok dikira bermula daripada pecah tunas selepas dikahwinkan.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *