2 Cara Hapus Pokok Buluh Di Kebun Durian (Tanpa Menggali)

Pada peringkat awal saya mempunyai 5 rumpun buluh di dalam kebun. Semasa pembersihan tanah dan membuat teres, 1 rumpun telah ditinggalkan untuk hidup. Rumpun ini ditinggalkan sebagai sumber buluh untuk membuat infrastruktur atau bahan kegunaan kebun (kayu pancang dll.) pada masa hadapan.

Artikel ini membincangkan cara hapus pokok buluh yang kembali bertunas dan membesar tanpa menggunakan excavator atau backhoe.

Ramai yang berpendapat buluh mempunyai kegunaan yang banyak dan boleh dikomersilkan. Saya telah meninggalkan 1 rumpun untuk hidup dan memusnahkan yang lain atas sebab:
 
  1. Ia memberikan persaingan kepada anak-anak pokok durian untuk mendapatkan air dan sumber nutrien untuk pembesaran pokok.
  2. Rumpun buluh yang besar dan matang akan melindungi anak-anak pokok durian daripada mendapatkan cahaya matahari dan membantutkan pembesaran pokok.
  3. Kebun kelihatan tidak kemas, tidak menarik dan memberikan pendapat kepada pelawat-pelawat bahawa kebun ini tidak terjaga.
  4. Ia membawa risiko keselamatan kerana rumpun-rumpun buluh kebiasaannya menjadi sarang ular dan binatang-binatng berbisa yang lain.
Rumpun-rumpun buluh yang ada di kebun saya bukan daripada spesis buluh yang kecil. Ia adalah buluh hutan, berdiameter besar dan mempunyai saiz rumpun 4-6 meter untuk rumpun yang matang.
 
Selepas 2 tahun mengerjakan tanah ini, rumpun-rumpun buluh yang baru dan sedang membesar dengan pantas ini harus dimusnahkan sebelum ia menjadi tidak terkawal.
 
Saya tidak akan membincangkan cara hapus pokok buluh dengan menggali rizom atau menggunakan parang dan memesin kerana kaedah-kaedah ini terlalu memenatkan dan berisiko. 
Penggunaan racun sodium chlorate
Kaedah pertama ialah menggunakan racun khusus untuk membunuh pokok buluh. Racun ini boleh dibeli di kedai-kedai input pertanian atau di pejabat pertanian daerah. Bahan aktif racun ini ialah sodium chlorate. 
 
Arahan pada label ialah untuk membancuh 1kg (1 paket) racun kepada 2 liter air dan diaplikasikan dengan cara semburan. Warna kehijauan pada bancuhan saya di bawah ialah di sebabkan oleh lumut daripada sumber air saya.
Bancuhan racun buluh dan air takungan hujan
Saya mengubahsuai kaedah aplikasi racun dengan hanya menjirus bancuhan pada pangkal pokok buluh. Sebabnya ialah kaedah ini lebih selamat oleh kerana tiada wap racun yang tersebar di udara yang mungkin disedut oleh saya walaupun saya memakai mask. 

Racun ini akan memberikan kesan permulaan pada pangkal buluh.
Jirus bancuhan racun ke pangkal buluh
Sebelum menjirus bancuhan racun, pastikan tiada anak-anak pokok durian atau pokok-pokok buahan yang terletak terlalu dekat. 
 
Jika rumpun buluh itu berada di cerun (dalam kes saya), pastikan tiada pokok-pokok buahan lain di bawah cerun. Racun ini akan mengalir dan menyerap ke bawah dan akan membunuh pokok-pokok yang lain.
 
Jika ada pokok-pokok buahan lain yang telah ditanam berdekatan, maka jirusan dilakukan perlahan-lahan atau penanam boleh mencuba kaedah lain yang akan diterangkan kemudian.
 
Pastikan untuk membasahkan pangkal buluh sebanyak yang mungkin dengan bancuhan racun. Rumpun buluh ini akan mati perlahan-lahan dan selepas hampir 2 minggu ia akan kelihatan begini.
Pokok buluh yang telah mati
Aktiviti yang biasanya dilakukan selepas ini ialah untuk membakar rumpun buluh yang telah kering ini. Jika dibiarkan, buluh akan mengambil masa yang lama untuk mereput.
 
Menabur hampas kelapa
Kaedah lain ialah dengan menggunakan hampas kelapa yang ditaburkan dengan tebal pada pangkal rumpun buluh. 
 
Kaedah aplikasi ini memerlukan jumlah hampas kelapa yang banyak dan cara untuk memperolehi hampas kelapa dalam jumlah yang banyak ialah dengan mencarinya di kedai-kedai runcit barang basah atau penjual santan kelapa.
 
Saya tidak membayar apa-apa untuk hampas kelapa ini cuma apabila pulang ke rumah, ia perlu diasingkan daripada sampah-sampah plastik atau kertas dan diletakkan di dalam guni kemudian diikat. 
 
Kebiasaannya peruncit akan memberikan hampas dalam beg plastik sampah yang mudah koyak. 
Hampas kelapa ditabur pada pangkal buluh
Ketika blog ini ditulis,saya baru sahaja menaburkan hampas kelapa ke atas pangkal rumpun buluh untuk membuktikan teori orang-orang kampung berkenaan kaedah ini. Semakin banyak kuantiti hampas kelapa yang ditaburkan adalah semakin baik.
 
Satu kebimbangan kaedah ini ialah kemungkinan babi hutan akan tertarik dengan bau hampas kelapa dan akan masuk ke kebun.
cara hapus pokok buluh
Satu lagi pangkal buluh ditaburkan dengan hampas kelapa
Kesannya dapat dilihat selepas 5 atau 7 hari seperti yang dinasihatkan kepada saya dengan syarat ada hujan. Tidak dapat dipastikan kenapa hampas kelapa menjadi racun kepada rumpun buluh tetapi saya merasakan ia ada kaitan dengan saki baki minyak kelapa pada hampas itu.
 
Saya akan berkongsi pemerhatian berkenaan dengan kaedah ini selepas lawatan ke kebun yang akan datang.
 
Kemaskini pada 11/11/2020:
 
Lawatan lanjutan ke kebun selepas menabur hampas kelapa pada sebulan yang lalu menunjukkan cara hapus pokok buluh sebegini tidak berkesan. 
 
Mungkin juga hampas kelapa yang ditabur dimakan oleh babi hutan sebelum kaedah ini dapat memberikan kesan positif. 
 
Cara hapus pokok buluh dengan menggali pangkal?
Ada beberapa sebab mengapa dan sebab yang pertama ialah ia tidak ergonomik untuk dilakukan. Dalam kes kebun saya, rumpun buluh yang kembali hidup terletak di cerun-cerun teres.
 
Untuk saya berdiri di sebelah rumpun buluh dan mengerjakannya dengan cangkul, pijakan kaki saya di cerun adalah tidak stabil. Ini mewujudkan risiko kerana saya mungkin tergelincir dan terjatuh ke teres yang bawah.
 
Sebab yang kedua ialah pangkal buluh adalah besar dan keras. Pangkal rizom ini perlu dipecah-pecahkan kepada bahagian kecil sebelum ia dapat digerak dan dialihkan daripada dalam tanah.
 
Untuk memecahkan pangkal rizom buluh, kapak atau chainsaw perlu digunakan. Sekali lagi, pijakan kaki yang tidak stabil membuatkan aktiviti ini berisiko.
 
Sebab yang ketiga ialah walaupun pangkal rizom buluh dapat dipecahkan, wujud risiko tidak semua pecahan rizom buluh digali dan dibuang. Kemungkinan ada saki baki rizom yang tertinggal walaupun kecil. Rizom buluh akan kembali mengeluarkan tunas, mula merebak dan membesar.
 
Menggali dan membuang pangkal buluh menyebabkan tanah pada cerun terdedah kepada hakisan oleh hujan. Ini adalah sebab keempat mengapa saya tidak membuang rumpun buluh dengan cara menggali.
 
Pangkal buluh masih berdaya hidup walaupun ia tidak kelihatan mengeluarkan tunas-tunas baru. Kebiasaannya ia akan menunjukkan kehidupan dan mengeluarkan tunas baru pada musim hujan.
 
Pokok buluh yang ada di kebun saya bukan jenis buluh lemang yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. 
 
Apakah jenis buluh yang ada di kebun anda dan adakah ia dibiarkan hidup atau dihapuskan? Sila komen diruangan di bawah. Sekian. 
Share this

4 thoughts on “2 Cara Hapus Pokok Buluh Di Kebun Durian (Tanpa Menggali)

  • February 12, 2021 at 11:37 am
    Permalink

    Terima kasih atas perkongsian.
    Kebiasaannya, selepas meracun rumpun buluh, dan pokok buluh telah mati dan dibakar, berapa lama perlu dibiar sekitar situ sebelum boleh ditanam pokok lain?

    Reply
    • February 12, 2021 at 1:21 pm
      Permalink

      Saya kurang pasti berapa lama. Yang terbaik ialah untuk tunggu sehingga rumput/semak telah tumbuh semula dan tambah tempoh seminggu ke hadapan. Dikebun saya rumpun buluh berada di kawasan cerun teres oleh itu saya tidak menanam apa-apa di kawasan bekas rumpun buluh.

      Reply
  • July 18, 2021 at 12:39 am
    Permalink

    Cara saya lain pula.saya tabur racun garam di sekeliling rumpun buluh tetapi kesannya amat mengecewakan.hanya beberapa batang sahaja yang mati.yang lainnya masih hidup subur.jadi saya akan mencuba cara tuan pula.harap ianya akan berjaya. Terima kasih di atas perkongsian tuan.

    Reply
    • July 19, 2021 at 6:52 pm
      Permalink

      Salam Tuan,
      Garam biasa tidak cukup beracun. Perlu guna garam racun buluh.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *