Bina Rumah Kebun? – Kaedah Saya

rumah kebun

Selain daripada kos pagar dan kerja tanah, pembinaan rumah kebun juga ialah di antara kos tertinggi untuk membangunkan sebuah kebun durian. Saya akan berkongsi langkah-langkah yang saya buat untuk membina rumah di kebun saya.

Kerja tanah yang dilakukan termasuk membuka jalan baru untuk ke tapak rumah kebun, menambak dan meratakan tanah. Saya telah menyewa backhoe selama 5 hari untuk kerja-kerja ini dengan kos sewa sebanyak RM450 sehari (harga sewa backhoe sudah naik). 

backhoe kerja tanah
Selepas membuka access road yang baru, backhoe memulakan kerja membersihkan dan meratakan tapak rumah

Oleh kerana tapak rumah terletak bersebelahan dengan sungai, batu-batu besar (boulder) yang didapati semasa aktiviti meratakan tanah dikumpulkan untuk disusun sebagai asas (foundation) dan juga disusun sebagai penahan tanah (barrier) pada cerun dalam usaha mengelakkan hakisan. 

Batuan sungai yang disusun ditepi tebing sungai sebagai penahan tanah daripada hakisan

Batuan yang lebih besar daripada gambar diatas disusun sebagai ‘foundation’. Ini berfungsi untuk mengelakkan mendapan tanah. 

Jalan Baru Ke Tapak Rumah

Jalan baru ke tapak rumah di perlukan kerana cadangan tapak rumah terletak di kawasan lembah dan tidak boleh dimasuki daripada kawasan teres berbukit yang laluannya telah roboh 2 tahun yang lepas.

Laluan teres ini masih belum dibaiki sehingga sekarang untuk mengelakkan ketidakstabilan tanah.  

jalan kebun
Laluan kebun yang baru

Laluan baru ini lebih panjang jaraknya daripada jalan kebun yang pertama. Jumlah batu crusher run yang telah diguna untuk menurap ialah 5 lori penuh (6-tyre tipper). 

Kawalan Hakisan Tapak Rumah

Seperti juga kawasan bukit yang telah diteres yang terdedah kepada hakisan tanah, kawasan tapak rumah kebun yang terletak bersebelahan dengan tebing sungai juga terdedah kepada hakisan. Sejak 2 bulan ini hujan turun setiap petang di kebun.

Saya telah membeli sod cowgrass di Sg. Buloh, nurseri yang sama ketika saya mula menanam rumput untuk mengelakkan hakisan di bukit yang baru diteres hampir 3 tahun yang lepas.  

Untuk Isuzu D-max dengan penutup belakang seperti spesifikasi saya, jumlah sod yang boleh dimuatkan ialah sebanyak 350 keping. 

 

cowgrass sod
Menunggu pekerja nurseri memunggah sod cowgrass ke dalam pick-up 4X4.

Setibanya di kebun, sod terus dipunggah keluar dan ditanam terus  oleh pekerja-pekerja Orang Asli. Untuk sod saiz 2′ x 1′, ia boleh bertahan dan tidak kering jika masih belum ditanam dan tidak disiram selama 3 hari. 

Ini lebih baik daripada rumput yang dibeli di dalam kepingan plastik yang perlu disiram setiap hari.

Saya menanam terus ke tanah pada hari yang sama sod dipotong sebagai langkah kecemasan di sebabkan hujan lebat setiap hari yang mengundang hakisan tanah di tapak tumah kebun.  

Sebahagian daripada keluasan tapak rumah yang telah diratakan dan akan ditanam dengan rumput.

Kerja menanam rumput dilakukan oleh 2 orang pekerja. Pada kebiasaannya, upah untuk kerja sehari di kebun ialah RM60. Oleh kerana kerja bermula pada pukul 2.30 petang, saya membayar upah sebanyak RM40 kepada dua Orang Asli ini.  

Sod cowgrass mula-mula ditanam di kawasan cerun tapak rumah yang lebih terdedah kepada hakisan tanah

Pelan Rumah Kebun

- Rumah Kontena 20'

Pada asalnya saya ingin menggunakan dua kontena bersaiz 20′ yang diletakkan bertingkat. Namun begitu, selepas mendapatkan anggaran harga-harga yang terlibat, saya memutuskan untuk tidak meneruskan idea ini.

Ini kerana kos kontena yang naik terlalu mahal untuk menjustifikasikan penggunaan kontena. Anggaran kos adalah seperti dibawah: 

1. Harga kontena 20′ (seunit) ialah RM8,700. Untuk 2 unit = RM17,400

2. Kos sewa crane sehari = RM1,500 

3. Kos modifikasi 2 unit kontena = RM14,000

Dengan ini anggaran kos ialah RM32,000. 

Harga ini jauh menyimpang daripada matlamat asal penggunaan kontena sebagai kabin atau rumah kebun yang sepatutnya murah (suatu masa dahulu). Adalah lebih berbaloi jika saya menambah RM15,000 untuk sebuah rumah batu yang jauh lebih selesa, lebih luas, lebih cantik dan tahan jauh lebih lama.   

Dapat dilihat di bawah ialah pelan asal rumah kontena 2 tingkat ketika perancangan asal. Pelan kontena dilukis sendiri menggunakan online software ‘Floor Plan Creator’ yang boleh digunakan secara percuma di internet.   

Pelan tingkat bawah
Pelan tingkat atas
- Rumah Batu

Di bawah ialah pelan susunatur rumah batu. Dengan mengukur tanah yang telah ditambak, dan selepas menolak keluasan untuk parking kereta, keluasan rumah yang sesuai ialah 20′ X 35′. 

Pelan rumah kebun setingkat
rumah kebun
Pelan paip untuk bilik air dan singki dapur

Anggaran kasar rumah kebun ini menurut kontraktor saya ialah RM70,000. Pembaca mungkin bertanya mengapa saya memerlukan 2 bilik tidur. Jawapannya bilik tidur yang kedua ialah untuk ibu bapa. 

Menggunakan 4 orang pekerja binaan, kontraktor telah memulakan proses pembinaan. Anggaran masa yang diperlukan untuk menyiapkan rumah kebun tersebut ialah 3 bulan. 

rumah kebun
Rumah yang sedang dibina di dalam hutan

Sekarang ialah bulan Jun 2021, saya bercadang untuk pindah daripada Kuala Lumpur dan menetap sepenuh masa di kebun dan melakukan kerja-kerja kebun untuk menyara keperluan kehidupan sendiri pada akhir tahun ini. 

Yer…..saya akan meninggalkan kehidupan di bandar, meletakkan jawatan sebagai jurutera industri minyak dan gas untuk pulang ke kampung. 

Situasi pandemik sekarang dengan ‘lockdown’ yang tidak berkesudahan, kerajaan yang semak hilang sokongan rakyat, para pemimpin yang ‘clueless’ dan hilang idea telah mewujudkan keperluan untuk saya mula hidup berdikari, meninggalkan kehendak materialistik di bandar dan bercucuk tanam untuk menjamin keperluan makanan saya sendiri. 

…..bersambung

Update terbaru pada 19/7/2021:

Kontraktor saya telah memulakan semula pembinaan pada minggu ini selepas berjaya mendapatkan bahan mentah binaan. Saya sedang berlumba dengan masa sekarang. 

rumah kebun

Jika terdapat komen atau pertanyaan, sila taip komen anda di ruangan bawah. Sekian. 

Update terbaru 13/9/2021:

Struktur utama rumah dalaman dan luaran telah siap. Pemasangan longkang dan ‘apron’ akan dibuat. 

rumah kebun

Update terbaru 9/10/2021:

Rumah kebun saya telah siap kerja batu akhirnya setelah halangan-halangan yang terdahulu (lockdown dan ketiadaan bahan mental pembinaan). 

Namun begitu, masih terdapat baki kerja-kerja iaitu pendawaian elektrik, pemasangan alatan elektrik, pemasangan lantai ‘laminated flooring’ dan awning. 

Rumah ini tidak mempunyai bekalan elektrik TNB dan saya tidak bercadang untuk memohon pemasangan tiang-tiang TNB oleh kerana kos dan pilihan saya untuk tidak bergantung kepada bekalan elektrik kerajaan (off-grid). 

Saya telah membeli sebuah generator petrol berkuasa 3.5 KVA untuk penjanaan kuasa elektrik sementara. Pada tahun hadapan saya merancang untuk merekabentuk dan memasang sistem solar sebagai bekalan elektrik utama rumah. 

Sistem mikro-turbin juga ada di dalam perancangan saya yang akan menggunakan kuasa air daripada sungai di sebelah rumah. 

rumah kebun
Pandangan tepi rumah kebun yang siap

Saya kongsikan di dalam channel Youtube saya di sini ‘walkthrough’ ruang dalaman rumah. 

Jika terdapat sebarang komen atau pertanyaan dari pembaca, boleh ditinggalkan di  ruang bawah. 

Share this

34 thoughts on “Bina Rumah Kebun? – Kaedah Saya

  • July 7, 2021 at 5:54 pm
    Permalink

    Asslm Tn.
    Teruskann penulisan tn. Saya rasa seronok dan ada rasa ceria apabila membaca cerita dan pengalaman yg dikongsikan dr Tn. Alhamdulillah.. moga Tn dan keluarga diberikan kekuatan dan semangat untuk berada di rumah baru.

    Reply
    • July 8, 2021 at 5:44 am
      Permalink

      Waalaikum salam,

      Terima kasih kerana sudi membaca tuan.

      Reply
    • July 24, 2021 at 8:02 am
      Permalink

      Alhamdulilah..
      Saya dah jumpa blog kebun durian yang betul.. Semoga tulisan tuan terus menjadi inspirasi Dan motivasi Untuk Saya. Salute Untuk tuan..

      Reply
      • July 26, 2021 at 5:20 pm
        Permalink

        Terima kasih kerana membaca Cik Sazila.

        Reply
  • July 9, 2021 at 4:34 am
    Permalink

    sama la kita…dah start tapi slow sikit

    Reply
    • July 11, 2021 at 6:13 am
      Permalink

      Salam Tuan Syed,
      Projek saya skrg juga perlahan disebabkan oleh supply bahan binaan yg sukar didapati kerana kilang2 bahan binaan bnyk yg tutup disbbkan PKPD. Perlu mencari saki-baki bahan mentah yg ada di kedai2 hardware dan gudang2. Harga pun nampaknya sudah naik boleh tahan.

      Reply
  • July 16, 2021 at 5:36 am
    Permalink

    Semoga Allah permudahkan segala urusan tuan . …syukur Alhamdulilah kalau ada kebun sendiri … Terasa indahnya duduk di kampung berbanding tingal dibandar..

    Reply
    • July 17, 2021 at 10:52 pm
      Permalink

      T.kasih ats prkongsian binaan rumah. Saya baru rata tanah nk buat rumah d dusun brsebelahan Sg Sempeneh Bt Kurau. Byk.ilmu tuan…semoga tuan sekeluarga dirahmati ALLAH.

      Reply
  • July 21, 2021 at 8:59 am
    Permalink

    Terbaiklah tuan, berbekalkan minat & semangat mengerjakan tanah kebun tuan buat keputusan berhenti kerja makan gaji dan balik duduk di kebun tanah sendiri. saya setuju keputusan tuan, saya pun sama macam tuan juga, tanah kebun dah ada cumanya sekarang tengah plan nk dirikan sebuah pondok kebun utk keselesaan ketika berkebun. Tengah dok buat kira-kira samada nak guna kabin kontena atau upah tukang buat guna batu bata simen. Syabas tuan, semoga berjaya dengan perancangan yg dibuat..

    Reply
    • July 22, 2021 at 6:52 am
      Permalink

      Salam Tn Rosli,

      Kalau boleh saya bertanya, tanah dimana tu?

      Reply
  • July 28, 2021 at 4:27 am
    Permalink

    Teruskan update yerr saya nk lihat rumah ini bila sudah siap kelak, dn penting juga rancangan kebun atau usaha pertanian yg tuan nk lakukan di tanah ini saya suka dn ada perancangan spt ini juga cuma belom dapat tanah yang sesuai masih tercari cari lagi

    Reply
    • August 2, 2021 at 11:51 am
      Permalink

      Teruskan usaha tuan……biar dibasahi keringat dan digigit pacat (kalau ada). Terima kasih kerana sudi membaca.

      Reply
  • September 2, 2021 at 4:47 am
    Permalink

    Alhamdulillah, input yg sangat berguna dikongsi bersama.
    Moga diberi kesenangan atas segala usaha tuan.

    Reply
    • September 2, 2021 at 5:52 am
      Permalink

      Terim kasih kerana sudi membaca tuan.

      Reply
  • September 2, 2021 at 6:23 am
    Permalink

    MasyaAllah. Saya sedang mencari artikel berkenaan pembinaan rumah dalam dusun durian sebab saya juga bercadang duduk di dusun sebagaimana tuan. Izinkan saya mengambil contoh rumah yang tuan bina ya. Teruskan menulis.

    Reply
  • September 2, 2021 at 10:06 am
    Permalink

    Informative and kesantian cara penulisan admirable.
    Terima Kasih and look foward to read more.

    Semuga ilmu di sampaikan di berkati – insyallah.

    Reply
    • October 31, 2021 at 9:24 pm
      Permalink

      Perkongsian pengalaman yg menarik. Sedikit sebyk sy tlh dpt menimba ilmu drp tn. Terima kasih

      Reply
  • September 14, 2021 at 12:37 pm
    Permalink

    Terima kaseh atas perkongsian pengalaman penaman durian.

    Reply
  • October 21, 2021 at 1:34 pm
    Permalink

    Salam tuan,

    Tahniah kerana telah berjaya mengatasi cabaran2 awal dalam mengusahakan kebun tuan.
    Saya baru membeli sebuah kebun kecil dalam kawasan yg tak begitu jauh dari kebun tuan, dan ingin mendapatkan pandangan serta nasihat tuan bila keadaan mengizinkan saya untuk mengusahakan kebun tersebut.

    Saya berbesar hati sekiranya tuan dapat hubungi saya di alamat email yg saya sertakan ini.

    Terima kasih,
    Razali

    Reply
    • November 3, 2021 at 5:54 am
      Permalink

      Waalaikum salam,

      Saya sudah hantar email pada tuan.

      Reply
  • October 31, 2021 at 9:26 pm
    Permalink

    Perkongsian pengalaman yg menarik. Sedikit sebyk sy tlh dpt menimba ilmu drp tn. Terima kasih

    Reply
  • November 6, 2021 at 3:03 pm
    Permalink

    Seronok sy baca perkongsian tuan,
    Sy pun masih bekerja di industri oil & gas. Sy dlm proses membeli sebidang tanah di Sg Gumut bagi tujuan penanaman durian & rumah rehat.
    Info2 yg tuan kongsi sgt berguna untuk sy proses pembelajaran sy dalam bidang ini. Terima kasih

    Reply
  • November 18, 2021 at 3:23 am
    Permalink

    Tq. Atas perkongsian ini tuan. Kami juga sdg membersihkan kawasan kebun utk membina rumah kos sederhana. Namun masih tercari2 design sesuai mengikut citarasa kami. Teruskan penulisan tuan. Sedikit sebyk boleh saya ambil ilmu dr tuan. Halalkan ilmu ya tuan.

    Reply
    • November 22, 2021 at 8:20 am
      Permalink

      Sama-sama Pn Norhayati. Terima kasih kerana sudi membaca.

      Reply
  • November 20, 2021 at 2:39 am
    Permalink

    Saya harap tuan boleh memberi maklumat tentang cara meracun dan membaja berterusan.saya menguruskan kebun durian d pokok sena kedah.ada 28 pokok yg berlainan jenis.pokok2 durian premium pun ada.cuma agak sukar nk urus.

    Reply
    • November 22, 2021 at 8:19 am
      Permalink

      Apa yang menyebabkan sukar nk urus sebenarnya tuan? Kurang masa, tiada pekerja, terlalu berbukit, input pertanian tidak cukup dll?

      Reply
  • November 20, 2021 at 5:06 am
    Permalink

    Salam, saya pun bercadang untuk buat rumah di kebun durian di Ulu Slim. Sedang cari rekabentuk yang sesuai. TK atas artikel yg berguna ini.

    Reply
    • November 22, 2021 at 8:17 am
      Permalink

      Sama-sama Tuan Pauzi dan terima kasih kerana membaca.

      Reply
  • December 4, 2021 at 5:33 am
    Permalink

    Salam. Boleh saya dapatkan nombor contractor tuan? Berhajat untuk bina rumah kampung di tapah.

    Reply
    • December 16, 2021 at 8:49 am
      Permalink

      Waalaikum salam Tuan,

      Kontraktor saya tak buat rumah dah. Dia nk balik Indonesia terus 20hb Disember ni.

      Reply
  • January 2, 2022 at 7:36 am
    Permalink

    Salam tuan, berape habis kos keseluruhan bina rumah kebun tuan tu, saya pun cadang nak bina rumah di kampung,tapi tanahmya rendah,kalau nak tambak kos tinggi juga, macam tuan bina rapat dengan tebing.tq

    Reply
    • January 5, 2022 at 9:38 am
      Permalink

      Jumlah saya ialah 72K. Tidak termasuk wiring elektrikal.

      Nasihat saya kalau perlu tambak maka tambak. Tidak berbaloi kalau rumah kena banjir.

      Rumah saya tapaknya ialah bedrock yg kemudiannya saya ratakan dengan tanah utk levelling.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *