Bina Rumah Kebun? – Kaedah Saya

rumah kebun

Selain daripada kos pagar dan kerja tanah, pembinaan rumah kebun juga ialah di antara kos tertinggi untuk membangunkan sebuah kebun durian. Saya akan berkongsi langkah-langkah yang saya buat untuk membina rumah di kebun saya.

Kerja Tanah

Kerja tanah yang dilakukan termasuk membuka jalan baru untuk ke tapak rumah kebun, menambak dan meratakan tanah. Saya telah menyewa backhoe selama 5 hari untuk kerja-kerja ini dengan kos sewa sebanyak RM450 sehari (harga sewa backhoe sudah naik). 

backhoe kerja tanah
Selepas membuka access road yang baru, backhoe memulakan kerja membersihkan dan meratakan tapak rumah

Oleh kerana tapak rumah terletak bersebelahan dengan sungai, batu-batu besar (boulder) yang didapati semasa aktiviti meratakan tanah dikumpulkan untuk disusun sebagai asas (foundation) dan juga disusun sebagai penahan tanah (barrier) pada cerun dalam usaha mengelakkan hakisan. 

Batuan sungai yang disusun ditepi tebing sungai sebagai penahan tanah daripada hakisan

Batuan yang lebih besar daripada gambar diatas disusun sebagai ‘foundation’. Ini berfungsi untuk mengelakkan mendapan tanah. 

Jalan Baru Ke Tapak Rumah

Jalan baru ke tapak rumah di perlukan kerana cadangan tapak rumah terletak di kawasan lembah dan tidak boleh dimasuki daripada kawasan teres berbukit yang laluannya telah roboh 2 tahun yang lepas.

Laluan teres ini masih belum dibaiki sehingga sekarang untuk mengelakkan ketidakstabilan tanah.  

jalan kebun
Laluan kebun yang baru

Laluan baru ini lebih panjang jaraknya daripada jalan kebun yang pertama. Jumlah batu crusher run yang telah diguna untuk menurap ialah 5 lori penuh (6-tyre tipper). 

Kawalan Hakisan Tapak Rumah

Seperti juga kawasan bukit yang telah diteres yang terdedah kepada hakisan tanah, kawasan tapak rumah kebun yang terletak bersebelahan dengan tebing sungai juga terdedah kepada hakisan. Sejak 2 bulan ini hujan turun setiap petang di kebun.

Saya telah membeli sod cowgrass di Sg. Buloh, nurseri yang sama ketika saya mula menanam rumput untuk mengelakkan hakisan di bukit yang baru diteres hampir 3 tahun yang lepas.  

Untuk Isuzu D-max dengan penutup belakang seperti spesifikasi saya, jumlah sod yang boleh dimuatkan ialah sebanyak 350 keping. 

 

cowgrass sod
Menunggu pekerja nurseri memunggah sod cowgrass ke dalam pick-up 4X4.

Setibanya di kebun, sod terus dipunggah keluar dan ditanam terus  oleh pekerja-pekerja Orang Asli. Untuk sod saiz 2′ x 1′, ia boleh bertahan dan tidak kering jika masih belum ditanam dan tidak disiram selama 3 hari. 

Ini lebih baik daripada rumput yang dibeli di dalam kepingan plastik yang perlu disiram setiap hari.

Saya menanam terus ke tanah pada hari yang sama sod dipotong sebagai langkah kecemasan di sebabkan hujan lebat setiap hari yang mengundang hakisan tanah di tapak tumah kebun.  

Sebahagian daripada keluasan tapak rumah yang telah diratakan dan akan ditanam dengan rumput.

Kerja menanam rumput dilakukan oleh 2 orang pekerja. Pada kebiasaannya, upah untuk kerja sehari di kebun ialah RM60. Oleh kerana kerja bermula pada pukul 2.30 petang, saya membayar upah sebanyak RM40 kepada dua Orang Asli ini.  

Sod cowgrass mula-mula ditanam di kawasan cerun tapak rumah yang lebih terdedah kepada hakisan tanah

Pelan Rumah Kebun

- Rumah Kontena 20'

Pada asalnya saya ingin menggunakan dua kontena bersaiz 20′ yang diletakkan bertingkat. Namun begitu, selepas mendapatkan anggaran harga-harga yang terlibat, saya memutuskan untuk tidak meneruskan idea ini.

Ini kerana kos kontena yang naik terlalu mahal untuk menjustifikasikan penggunaan kontena. Anggaran kos adalah seperti dibawah: 

1. Harga kontena 20′ (seunit) ialah RM8,700. Untuk 2 unit = RM17,400

2. Kos sewa crane sehari = RM1,500 

3. Kos modifikasi 2 unit kontena = RM14,000

Dengan ini anggaran kos ialah RM32,000. 

Harga ini jauh menyimpang daripada matlamat asal penggunaan kontena sebagai kabin atau rumah kebun yang sepatutnya murah (suatu masa dahulu). Adalah lebih berbaloi jika saya menambah RM15,000 untuk sebuah rumah batu yang jauh lebih selesa, lebih luas, lebih cantik dan tahan jauh lebih lama.   

Dapat dilihat di bawah ialah pelan asal rumah kontena 2 tingkat ketika perancangan asal. Pelan kontena dilukis sendiri menggunakan online software ‘Floor Plan Creator’ yang boleh digunakan secara percuma di internet.   

Pelan tingkat bawah
Pelan tingkat atas
- Rumah Batu

Di bawah ialah pelan susunatur rumah batu. Dengan mengukur tanah yang telah ditambak, dan selepas menolak keluasan untuk parking kereta, keluasan rumah yang sesuai ialah 20′ X 35′. 

Pelan rumah kebun setingkat
rumah kebun
Pelan paip untuk bilik air dan singki dapur

Anggaran kasar rumah kebun ini menurut kontraktor saya ialah RM70,000. Pembaca mungkin bertanya mengapa saya memerlukan 2 bilik tidur. Jawapannya bilik tidur yang kedua ialah untuk ibu bapa. 

Menggunakan 4 orang pekerja binaan, kontraktor telah memulakan proses pembinaan. Anggaran masa yang diperlukan untuk menyiapkan rumah kebun tersebut ialah 3 bulan. 

rumah kebun
Rumah yang sedang dibina di dalam hutan

Sekarang ialah bulan Jun 2021, saya bercadang untuk pindah daripada Kuala Lumpur dan menetap sepenuh masa di kebun dan melakukan kerja-kerja kebun untuk menyara keperluan kehidupan sendiri pada akhir tahun ini. 

Yer…..saya akan meninggalkan kehidupan di bandar, meletakkan jawatan sebagai jurutera industri minyak dan gas untuk pulang ke kampung. 

Situasi pandemik sekarang dengan ‘lockdown’ yang tidak berkesudahan, kerajaan yang semak hilang sokongan rakyat, para pemimpin yang ‘clueless’ dan hilang idea telah mewujudkan keperluan untuk saya mula hidup berdikari, meninggalkan kehendak materialistik di bandar dan bercucuk tanam untuk menjamin keperluan makanan saya sendiri. 

…..bersambung

Update terbaru pada 19/7/2021:

Kontraktor saya telah memulakan semula pembinaan pada minggu ini selepas berjaya mendapatkan bahan mentah binaan. Saya sedang berlumba dengan masa sekarang. 

rumah kebun

Jika terdapat komen atau pertanyaan, sila taip komen anda di ruangan bawah. Sekian. 

Update terbaru 13/9/2021:

Struktur utama rumah dalaman dan luaran telah siap. Pemasangan longkang dan ‘apron’ akan dibuat. 

rumah kebun

Update terbaru 9/10/2021:

Rumah kebun saya telah siap kerja batu akhirnya setelah halangan-halangan yang terdahulu (lockdown dan ketiadaan bahan mental pembinaan). 

Namun begitu, masih terdapat baki kerja-kerja iaitu pendawaian elektrik, pemasangan alatan elektrik, pemasangan lantai ‘laminated flooring’ dan awning. 

Rumah ini tidak mempunyai bekalan elektrik TNB dan saya tidak bercadang untuk memohon pemasangan tiang-tiang TNB oleh kerana kos dan pilihan saya untuk tidak bergantung kepada bekalan elektrik kerajaan (off-grid). 

Saya telah membeli sebuah generator petrol berkuasa 3.5 KVA untuk penjanaan kuasa elektrik sementara. Pada tahun hadapan saya merancang untuk merekabentuk dan memasang sistem solar sebagai bekalan elektrik utama rumah. 

Sistem mikro-turbin juga ada di dalam perancangan saya yang akan menggunakan kuasa air daripada sungai di sebelah rumah. 

rumah kebun
Pandangan tepi rumah kebun yang siap

Saya kongsikan di dalam channel Youtube saya di sini ‘walkthrough’ ruang dalaman rumah. 

Jika terdapat sebarang komen atau pertanyaan dari pembaca, boleh ditinggalkan di  ruang bawah. 

6 Ilmu Penting Berkenaan Racun Kulat & Racun Serangga

racun kulat

Pada artikel ini saya akan berkongsikan tentang ilmu racun. Pengetahuan mengenai racun samada racun kulat atau racun serangga adalah di antara ilmu terpenting untuk seseorang penanam durian. 

Dalam tahun pertama selepas menanam anak pokok, para pekebun akan menghadapi serangan serangga dan penyakit kulat yang adakalanya kronik terutamanya kepada anak-anak pokok durian klon yang agak manja. Di artikel ini saya telah bincangkan tentang penyakit-penyakit pokok durian. 

Motivasi pekebun juga akan menjadi lemah dan mula berputus asa kerana anak pokok durian yang dahulunya cantik, daun yang hijau dan mengeluarkan tunas yang banyak kini menunjukkan tanda-tanda sakit.

Saya akan kongsikan pengalaman di lapangan dan melalui pembacaan saya di artikel ini. 

Jenis-Jenis Racun

Sepanjang hayat seseorang penanam mengerjakan kebun atau ladang duriannya, dia akan menggunakan 3 jenis kategori racun: 

jenis-jenis racun

Untuk artikel ini, saya tidak akan membincangkan mengenai racun rumpai kerana saya tidak menggunakan racun rumpai di kebun saya dan pada hemat saya ilmu racun serangga dan racun kulat lebih penting untuk dibincangkan di sini. 

- Apakah Racun Sistemik?

Racun sistemik ialah racun yang bila disembur akan diserap oleh tisu-tisu pokok melalui daun dan bergerak ke dalam sistem pokok. 

Ia akan memberikan pertahanan kepada pokok terhadap serangan kulat yang telah menembusi permukaan daun, bunga, dahan dan ranting pokok. 

Untuk racun serangga sistemik pula, fungsinya adalah sama. Serangga perosak akan mati apabila daun atau mana-mana bahagian pokok dimakan atau dihisap jusnya. 

Oleh itu, jangan berasa hairan apabila kumbang, bena putih, kutu thrips dll. tidak mati serta-merta apabila racun disembur terus kepadanya.

- Apakah Racun Sentuh?

Seperti namanya, racun sentuh berfungsi dengan cara menghapuskan fisiologi kulat (spora, miselium dll) apabila ia disentuh.

Kesan racun ini bersifat lokal dan permukaan kulat yang tidak terkena semburan tidak akan mati.   

Racun sentuh lebih berfungsi untuk memberikan perlindungan umum kepada pokok selagi sisa baki racun masih ada dipermukaan daun atau bahagian pokok. 

Oleh itu, untuk aplikasi racun sentuh pekebun disyorkan untuk mencampurkan pelekat/wetting agent/adjuvant bagi mengekalkan sisa baki racun dengan lebih lama terutamanya pada musim hujan. 

Pelekat yang biasa saya gunakan ialah jenama FARMPOL.  

- Keperluan Kombinasi Racun Berlainan

Seorang penanam akan membeli jenis racun yang bersesuaian dengan jenis penyakit atau serangga perosak yang menyerang pokoknya.

Walaupun begitu, pemahaman yang penting untuk seorang penanam ialah satu jenis jenama racun atau jenis bahan aktif yang sama tidak boleh digunakan secara berterusan (saban minggu dan bulan).

Ini kerana, lama-kelamaan penyakit atau serangga perosak akan membina ketahanan/kekebalan terhadap bahan aktif racun tersebut.  

kedai racun serangga
Kedai bahan input pertanian dengan pelbagai jenis jenama racun

Adalah amat penting untuk seorang penanam mempunyai stok racun dengan bahan-bahan aktif yang berbeza di dalam stor kebunnya. Ini untuk membolehkan ‘rotation’ racun.

Secara umum untuk racun serangga, penanam perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3 jenis racun yang berbeza. Dalam konteks racun kulat pula, kombinasi bahan aktif sentuh (contact) dan bahan aktif sistemik perlu di ‘rotate’ oleh penanam.  

Apa yang saya praktikkan adalah seperti di bawah:

Infografik di atas adalah contoh kombinasi racun untuk jenis jangkitan kulat dan serangga perosak. Ini tidak termasuk serangga perosak dan penyakit kulat yang lain (contohnya; kulat akar putih dan cendawan angin).

Paling bagus ialah untuk mempunyai racun kulat jenis sentuh dan sistemik yang digunakan secara rotation di kebun. 

 

Penyediaan Bancuhan Racun

Alat-alat yang saya gunakan untuk membancuh racun ialah:

  1. Digital scale (untuk menimbang berat racun kulat)
  2. Picagari (untuk mengukur isipadu racun serangga)
  3. Bekas-bekas plastik yang sesuai (berskala)
  4. Sudu plastik

Saya tidak menggunakan sudu atau bekas timbangan yang biasanya diberikan oleh pengeluar racun kerana timbangan dengan digital scale adalah lebih tepat.

Sebab yang kedua ialah seringkali berat yang saya perlukan mengikut arahan label dan isipadu bancuhan tidak dapat diukur dengan skala yang terdapat pada sudu atau bekas timbangan. Contohnya berat 1.5g @ 11g dan sebagainya. 

- Pengiraan Berat & Isipadu

Katakan kita hendak menyediakan larutan bancuhan racun serangga white oil (jenama BRT Spray Oil) untuk satu tong spray berisipadu 16L. 

Arahan seperti yang tertera pada label ialah:

racun kulat

Dengan ini bancuhan perlu disediakan seperti berikut. AMARAN! Terdapat kiraan matematik dibawah 🙂

Kaedah kiraan ini terpakai untuk kedua-dua penyediaan racun cecair (menggunakan isipadu) dan racun serbuk/granul (menggunakan berat). 

Prosedur Meracun

Saya merasakan tidak kritikal untuk membincangkan berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan termasuk pemakaian PPE (personal protective equipment) yang perlu diamalkan oleh pekebun dan pekerja-pekerjanya. 

Langkah-langkah ini penanam sedia maklum. 

Lebih penting ialah untuk membincangkan masa yang sesuai untuk semburan racun. 

Racun jenis sistemik perlu disembur pada awal pagi hingga ke pukul 9.00 pagi. Ini adalah kerana pada waktu ini, liang-liang stomata daun membuka dengan maksimum untuk membolehkan penyerapan racun sistemik yang optimum. 

Ia juga bertujuan untuk mengelakkan kesan panas pada daun dan bahagian pokok. 

Untuk racun serangga pula, waktu yang paling sesuai ialah sebelah pagi juga kerana ketika ini serangga perosak masih belum cergas atau “alert”. Walaupun begitu, semburan boleh dibuat pada sebelah petang. 

Keserasian Campuran Racun

Soalan ini sering ditanya oleh para pekebun. Ini adalah kerana pekebun akan cuba mengurangkan masa dan tenaga untuk meracun dengan cara membancuh 2 racun yang berbeza di dalam tangki yang sama untuk membolehkan proses semburan dilakukan sekaligus. 

Terdapat 2 kombinasi untuk keserasian campuran:

  1. Racun dengan racun
  2. Racun dengan baja foliar
Untuk kombinasi yang pertama, rekomendasi jadual di bawah perlu dijadikan panduan bagi seorang penanam:
keserasian racun
Jadual 1 : sumber dari bumikita.id

Nota:

  1. Racun A (racun kulat atau racun serangga)
  2. Racun B (racun kulat atau racun serangga)

Produk racun yang paling biasa dan digunakan dengan meluas sebagai bahan yang dibancuhkan dengan air untuk aplikasi semburan ialah: 

  1.  WP = wettable powder
  2.  SL = soluble liquid
  3.  SC = soluble concentrate
  4.  EC =emulsifiable concentrate
  5. EW = emulsion, oil in water 

Terbaru, formulasi bukan serbuk tanpa pelarut merbahaya atau kurang pelarut merbahaya dan lebih stabil ialah:

  1. SC = soluble concentrate
  2. CS = capsule suspensions
  3. WG = wettable granules
  4. OD = oil dispersion (contohnya Solomon – Bayer)

Tidak semua singkatan definisi diterangkan di sini namun begitu jenis formulasi racun yang biasa terdapat dan boleh dibeli di kedai-kedai pertanian telah diterangkan. 

- Contoh Penggunaan Jadual 1

Katakan pokok durian kita diserang oleh 2 serangga perosak iaitu ulat pengorek buah dan kutu psyllid pada waktu yang sama. Racun ulat pengorek buah ialah Cypermethrine dan racun untuk kutu psyllid ialah BRT Spray Oil seperti gambar di bawah.

racun serangga & kulat

Untuk menjimatkan masa dan mengurangkan tenaga kerja, pekebun bercadang untuk membancuh kedua-dua racun ini sekaligus di dalam satu sprayer. Adakah ini dibolehkan?

Mari kita kaji……

Berpandukan pada label di setiap bekas racun, kita tahu bahawa :

white oil
Label pada racun BRT Spray Oil menunjukkan ia adalah formulasi EC
Label pada racun Cypermethrine menunjukkan ia adalah formulasi EW

Dengan ini kita dapat menyimpulkan bahawa mengikut rekomendasi Jadual 1 di atas, dua racun ini tidak boleh dicampur. Maka dengan itu, penanam perlu menyembur kedua-dua racun ini menggunakan tong semburan yang berlainan. 

Ini juga akan menyebabkan kedua-dua racun ini seboleh-bolehnya dijarakkan tempoh penyemburannya (selang beberapa hari). 

- Nota Tambahan

Pada pengalaman saya, kebanyakan racun serangga berkemungkinan tidak boleh dicampur (single mixing sahaja). Ini berlainan dengan racun kulat yang kebanyakannya boleh dicampur (double mix).

Mengapa saya katakan begini? 

Ini adalah kerana kebanyakan racun kulat merupakan formulasi WP (wettable powder) atau WG (wettable granule), dengan kata lain ia dalam bentuk serbuk atau granul dan memenuhi rekomendasi Jadual 1 di atas.

Kita juga dapat menyimpulkan, kombinasi racun serangga dan racun kulat boleh dicampur ke dalam tong semburan yang sama kerana kebanyakan racun serangga merupakan formulasi emulsi atau minyak. 

Berbeza pula dengan keserasian racun kulat/serangga dengan baja foliar, keserasian perlu dipastikan dengan merujuk kepada khidmat nasihat pengeluar baja foliar tersebut. 

Dalam kebanyakan kes yang berdasarkan kepada pengalaman saya yang terdahulu berhubung dengan pengeluar baja foliar, campuran foliar dan racun kulat dibolehkan dalam satu tong semburan. 

Harga Racun

Apabila berada di kedai racun atau kedai input pertanian, pekebun akan melihat pelbagai jenis racun dengan harga daripada RM30+ hinggalah kepada yang berharga hampir RM200 sebotol/pek. 

Kenapakah harga-harga racun ini mempunyai perbezaan yang jauh? Penjelasannya ialah:

  1. Jenama racun dikeluarkan oleh pengeluar racun atau konglomerat kimia pertanian, contohnya Bayer, Syngenta dan Monsanto.
  2. Racun diformulasi dengan kepekatan bahan aktif yang tinggi nisbah berbanding perawis lengainya. 
  3. Racun diformulasi dengan dua atau lebih bahan aktif. 

Penentuan racun mana yang hendak dibeli oleh pekebun bergantung kepada bajet kewangan, jenis penyakit pokok, jenis serangan serangga perosak dan pengalaman pekebun. 

Ia juga secara tidak langsung dipengaruhi oleh keperluan kombinasi racun yang telah saya jelaskan sebelum ini. 

Penggunaan Racun & Pensijilan MyGAP

MyGAP

Adalah tidak lengkap jika saya tidak mengaitkan pemahaman dan penggunaan racun dengan inisiatif MyGAP. 

Malaysian Good Agricultural Practice atau MyGAP ialah pensijilan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian & Industri Makanan kepada sektor tanaman yang memenuhi audit dan kriteria MyGAP.

Terdapat 9 faedah pensijilan MyGAP. Daripada jumlah ini, 4 adalah berkaitan dengan penggunaan dan kawalan racun iaitu :

  1. Menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan kerana kandungan residu racun makhluk perosak adalah di paras yang dibenarkan
  2. Mengurangkan pencemaran alam sekitar
  3. Mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak
  4.  Mengutamakan kaedah kawalan makhluk perosak bersepadu

Kepada pekebun-pekebun yang berniat untuk memperolehi pensijilan MyGAP, maklumat lanjut tentang syarat-syarat, penggunaan racun di kebun/ladang dan audit yang berkaitan boleh didapati di laman web kementerian di sini.

Pembaca boleh memuat turun Buku Ringkasan Maklumat Residu Racun Perosak Dalam Tanaman Makanan untuk mengetahui had residu racun maksimum untuk racun kulat dan racun serangga yang biasa dijual di pasaran. 

Diharapkan dengan artikel ini, pembaca dapat memahami dan memperolehi pengetahuan berguna tentang racun bukan sahaja di kebun durian tetapi di kebun-kebun lain juga. 

Jika ada persoalan atau isi kandungan yang tidak tepat di dalam artikel ini, pembaca dipersilakan untuk meninggalkan komen di bawah. Sekian. 

Rentas Daerah/Negeri ke Kebun Semasa PKP(B)?

Ramai yang tidak tahu bahawa dengan prosedur dan kaedah yang betul para pekebun dan peladang masih boleh pergi ke kebun dan ladang mereka diwaktu tempoh PKP atau PKPB. 

Saya sering melihat soalan berkenaan dengan perkara ini di Facebook dan media sosial yang lain berkenaan dengan para pekebun yang resah dan mengeluh kerana tidak dapat pergi ke kebun mereka di dalam tempoh PKP atau PKPB. 

Di sini saya akan menerangkan dengan ringkas kaedahnya menggunakan infografik. 

Saya ada membaca perbezaan prosedur pada langkah terakhir oleh beberapa orang pekebun dimana ada balai polis yang memerlukan borang rentas daerah/negeri di isi dan dicop/tandatangan oleh polis walaupun pengalaman yang saya lalui setakat ini tidak perlu. 

Apapun, nasihat dan prosedur balai polis ditempat anda berada perlulah diikuti dan digunapakai. 

Di bawah ialah contoh surat saya beserta cop-cop dan tandatangan yang berkaitan:

Semoga artikel ringkas ini bermanfaat untuk para pekebun yang mempunyai kebun di luar daerah dan negeri kediaman. 

Perkembangan terbaru:

Bermula pada 14 Julai 2021, para petani, peladang dan tuan punya kebun diperlukan untuk membuka akaun log-in di dalam sistem e-Gerak Tani untuk mendapatkan surat permohonan keterlibatan dalam ‘essential services’ rantaian makanan daripada Pejabat Pertanian Daerah.

Perbezaan utama surat yang terbaru ini ialah ia mempunyai kod QR dengan singkatan ‘PPN’ berwarna merah di bawah kod (sama dengan surat yang dikeluarkan oleh MITI bagi syarikat-syarikat dan industri). 

surat jabatan pertanian
Surat terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian melalui permohonan e-Gerak Tani

Selepas mendaftar user name dan password, keterangan mengenai peladang dan kebun serta beberapa dokumen sokongan seperti gambar kebun, geran, kad pengenalan perlu diisi dan dimuat-naik ke dalam sistem. 

Tempoh kelulusan minimum saya tidak berapa pasti kerana saya hanya menyemak permohonan saya melebihi 10 hari. Kemungkinan masa untuk kelulusan adalah jauh lebih cepat daripada tempoh ini. 

Jika pembaca-pembaca mempunyai pengalaman yang berbeza untuk proses ini saya mengalu-alukan perkongsian anda di ruangan komen di bawah. Sekian.

Tanaman Vanilla di Kebun Durian?

Tanaman vanilla dengan pod yang belum matang

Saya sebenarnya telah mula membiak dan menanam pokok vanilla pada pertengahan tahun 2019. Sulur vanilla dibeli dari Sibu, Sarawak. 

Kemungkinan besar juga sulur-sulur itu dibawa dari Kalimantan, Indonesia. Sebagaimana yang diketahui, Indonesia merupakan negara ketiga pengeksport vanilla terbesar di dunia. 

Tanaman vanilla masih baru di Malaysia. Masih tidak banyak ladang komersil di negara ini, yang ada pada pengetahuan saya ialah Borneo Vanilla di Sabah dan Vanilla Temerloh di Pahang.

Pengenalan Kepada Vanilla

buah vanilla
Pod-pod vanilla yang siap untuk dijual

Vanilla berasal daripada Amerika Tengah iaitu Mexico dan Guatemala. Ia di bawa ke Eropah oleh pedagang-pedagang Sepanyol pada kurun ke -19 dan kemudiannya berkembang di Eropah sebagai tanaman rempah dengan nilai yang tinggi. 

Digunakan oleh kaum Aztec dan kaum-kaum kuno yang lain sebagai rempah, herba dan air minuman ia hanya boleh dipolinasi oleh sejenis spesis lebah yang hanya terdapat di pergunungan Mexico.

Oleh kerana ini, sulur vanilla yang ditanam di luar Mexico tidak menghasilkan buah walaupun berbunga kerana tidak dapat dipolinasi sehinggalah seorang pengkaji berbangsa Belgium berjaya menemui kaedah polinasi bunga secara manual. 

Vanilla dipanggil sulur dan bukannya pokok kerana ia merupakan tanaman memanjat dan berasal dari keluarga yang sama dengan orkid. 

Jenis vanilla yang dikomersilkan di dunia ialah Vanilla planifolia dan Vanilla tahitensis.

Sulur vanilla mengambil masa selama 3 tahun untuk mula berbunga. Buahnya akan matang selepas 8-9 bulan dan kemudiannya dipetik untuk proses pengeringan dan fermentasi. Semasa dipetik, buah vanilla masih berwarna hijau dan tidak mempunyai bau harum vanilla. 

Bau vanilla akan mula diperolehi setelah proses pengeringan dan fermentasi yang menghasilkan ‘essential oil’. Essential oil vanilla merupakan koktel 200+ kompaun organik dan masih tidak dapat dihasilkan secara artificial. 

Bau vanilla yang telah biasa kita hidu dari aiskrim berperisa vanilla, roti atau minuman masih jauh jika dibandingkan dengan bau vanilla yang sebenar dari podnya. 

Keratan 3 node yang telah bertunas (1 node di dalam tanah)

Membiakkan Keratan Vanilla

Vanilla hanya boleh dibiakkan daripada keratan. Keratan terbaik adalah yang mempunyai ciri-ciri dibawah:

  1. Diambil pada panjang 4 meter daripada tunas
  2. Keratan dimana node-node nya belum pernah mengeluarkan bunga, buah ataupun tunas
  3. Keratan tidak terlalu kecil diameternya (diameter yang kecil akan mengeluarkan tunas baru yang kecil dan tidak kuat)

Keratan vanilla boleh dipotong pada jarak 2 node, 3 node, 1 meter atau 2 meter. Walaupun begitu, ini hanya standard panjang keratan yang biasa untuk penyediaan keratan anak benih. Penanam boleh memotong mengikut panjang keratan yang di kehendaki. 

Jenis-Jenis Tajar Untuk Vanilla

Istilah ‘tajar’ dipinjam daripada perkataan Indonesia yang bermaksud objek panjatan iaitu objek atau sesuatu yang digunakan oleh sulur vanilla untuk memanjat dan membesar. Terdapat 2 jenis tajar:

  1. Tajar mati
  2. Tajar hidup

Tajar mati ialah seperti paip PVC yang dibalut dengan cocopeat/sabut kelapa, tiang konkrit, kayu, batu bata yang disusun meninggi, kayu buluh atau apa-apa objek buatan manusia.

Tajar hidup pula ialah apa-apa jenis pokok tumpang. 2 jenis pokok tumpang yang disyorkan untuk menjadi tajar hidup ialah pokok Glyceridia sepium dan pokok koko. Pokok moringa juga boleh digunakan cuma pokok ini ialah pokok yang besar.

Pokok glyceridia dan pokok koko adalah pokok yang membesar dengan cepat dan tidak besar (bukan pokok saka atau balak). Kelebihan yang lain ialah kedua-dua pokok ini senang bertunas apabila dipangkas. 

Daun pokok glyceridia juga boleh dibuat ‘forage’ untuk binatang ternakan kerana mempunyai kandungan protein yang tinggi.

Pokok glyceridia sepium di halaman rumah

Cara Saya Menanam Vanilla Di Kebun

Oleh kerana pokok Glyseridia sepium masih belum matang, pokok-pokok durian kampung yang ada di kebun saya digunakan untuk sulur vanilla memanjat sementara waktu. 

Cara saya menanam sulur vanilla pada batang pokok durian boleh ditonton di channel Youtube disini

vanilla vines
Sulur-sulur vanilla yang akan dipindahkan ke kebun

Pembajaan dan Kawalan Penyakit

Pokok vanilla daripada keluarga orkid ini tidak memerlukan pembajaan yang banyak semasa fasa vegetatif. Baja yang saya gunakan adalah 100% organik termasuk foliar FAA dan cuka kayu. Penggunaan baja kimia tidaklah disyorkan. 

Dari aspek penyakit dan serangan serangga pula, vanilla tidak diserang oleh kumbang, belalang, siput atau apa-apa jenis kutu dan hama (setakat pengalaman saya dan hasil diskusi dengan penanam vanilla lain). 

Walaupun begitu, pokok vanilla mudah terkena reput/busuk batang terutamanya ketika musim hujan. Musim sebegini juga pokok vanilla terdedah kepada serangan kulat yang memerlukan semburan racun kulat berkala. 

Apa Yang Dipelajari Selepas Setahun

Pengalaman saya selepas setahun menanam sulur vanilla yang dapat dikongsikan untuk para pembaca ialah:

  1. Keratan yang panjang (1 meter) akan mengeluarkan tunas yang lebih besar jika dibandingkan dengan keratan yang pendek. 
  2. Membiak daripada keratan vanilla yang pendek adalah lambat untuk mengeluarkan tunas. Ada di antara keratan-keratan saya (2 node) mengambil masa sehingga 7 bulan untuk mula bertunas dan ada yang reput sebelum bertunas. 
  3. Baka vanilla planifolia Andrews terbaik ialah kultivar vanilla unggul (Vania 1 dan Vania 2) yang berasal dari Indonesia. Baka ini dihasilkan oleh pemerintah Indonesia dan diagihkan kepada petani-petani vanilla pada akhir tahun 1990 dan awal tahun 2000. 
  4. Sulur vanilla tidak memerlukan penjagaan yang rumit, jauh dibandingkan dengan pokok durian 🙂
  5. Sulur vanilla tidak tahan kepada cahaya terus matahari  oleh itu ia perlu diberikan teduhan. 
  6. Keratan benih vanilla sukar didapati dan kalau boleh didapati ia dijual dengan harga yang tinggi, contohnya RM100 untuk 3 sulur bersaiz 1 kaki. 

Tips & Cara Tanam Bunga Kantan

cara tanam bunga kantan
Pokok bunga kantan di kebun

Bunga kantan digunakan dalam masakan laksa, masak asam pedas, laksam, nasi kerabu dan beberapa masakan Melayu yang lain.

Kenaikan harga bunga kantan di pasar atau supermarket di bandar-bandar besar menandakan potensi besar untuk tanaman ini dikomersilkan oleh para pekebun. 

Di artikel ini saya akan berkongsi cara tanam bunga kantan di kebun saya termasuk jenis tanah yang sesuai, keperluan cahaya matahari, pembajaan dan tips untuk memastikan pokok bunga kantan sentiasa berbunga. 

Menanam Dari Biji Benih atau Rizom?

Pokok bunga kantan sukar untuk dibiakkan melalui cambahan biji benih. Itu pun kalau biji benih dapat diperolehi. Dimana biji bunga kantan ini boleh diperolehi bergantung, kebiasaannya dicari di kawasan kampung-kampung. 

Dalam hampir semua percubaan saya sebelum ini, biji benih bunga kantan tidak akan bercambah walaupun selepas sebulan ditanam. 

 

biji bunga kantan
Biji benih bunga kantan

Cara terbaik menanam bunga kantan ialah melalui rizomnya. Rizom ini boleh dibeli online, dari pekebun kecil pokok kantan atau digali sendiri dimana pokok bunga kantan boleh didapati.

rizom bunga kantan
Rizom bunga kantan yang baru digali untuk dijual

Harga untuk rizom bunga kantan pada waktu blog ini ditulis adalah berbeza-beza bergantung kepada tempat. Belian secara online di Shopee berharga RM4-5 untuk sebatang rizom. Yer, memang agak mahal. 

Saya telah membeli 2 rumpun pokok bunga kantan daripada seorang pekebun di Bangi Lama, Selangor. 

Kaedah jualan beliau ialah dengan pergi ke kebunnya, pilih rumpun mana yang dikehendaki dan beliau akan memberitahu harga. Harga satu rumpun pokok bunga kantan ialah di antara RM50 – RM100 bergantung kepada saiz. 

Beliau kemudiannya akan menggali pokok kantan yang dipilih dan dibungkus di dalam beg plastik seperti gambar di bawah. 

pokok bunga kantan

Rizom bunga kantan boleh bertahan lebih dari 3 minggu di tempat yang sejuk dan kering. Oleh itu, tiada masalah semasa proses penghantaran jika tidak dapat pergi ke kebun secara terus. 

Selepas sampai ke destinasi, batang rizom akan direndam di dalam air dicampur dengan air kisaran bawang merah selama 12 jam untuk merangsang rizom. 

Rumpun pokok kantan yang telah dipecahkan dan direndam

Cara Tanam Bunga Kantan

Lokasi penanaman yang dipilih mestilah mempunyai kelembapan tanah yang baik dengan kandungan organik yang tinggi. Sebaiknya ditanam di kawasan yang mendapat cahaya matahari penuh. 

Apabila ditanam di kawasan yang terlindung, pokok kantan akan membentuk rumpun yang longgar dan tidak padat. 

Gali lubang sedalam akar rizom ke pangkal batang yang mula berwarna hijau. 

Penyediaan lubang penanaman yang baik ialah dengan menaburkan CIRP dan kompos terlebih dahulu sebelum dikambus semula dengan tanah. 

Jarak tanam rizom sebaiknya ialah 10 kaki di antara rizom. Satu lubang ditanam dengan 2 atau 3 batang pokok kantan. 

Menanam dengan hanya 1 batang pokok kantan di dalam satu lubang akan menyebabkan akar asalnya sedikit dan saiz rizom yang kecil. Ini akan mengurangkan ‘survivability’ pokok kantan dan mungkin menyebabkan ia mati sebelum ia dapat ‘establish’ di atas tanah.  

baris pokok kantan
Baris pokok kantan yang siap ditanam

Kawalan Penyakit dan Makhluk Perosak

Pada pemerhatian saya, pokok bunga kantan tidak mempunyai serangga makhluk perosak disebabkan baunya. Ia juga tidak dijangkiti oleh penyakit kulat dan penyakit bawaan patogen virus yang lain. 

Namun begitu, ia mempunyai satu makhluk perosak iaitu sejenis ulat bulu yang memakan daunnya.   

Jika terdapat serangan makhluk perosak atau jangkitan penyakit maka rawatan secara semburan organik perlu dibuat untuk mengelakkan kontaminasi racun pada bunganya. 

Pembajaan dan Memetik Hasil

Pembajaan sewaktu pertumbuhan vegetatif sebaiknya mengunakan baja organik. Baja organik yang saya gunakan iaitu baja Champion 555 dibincangkan di artikel ini

Semasa pembesaran, daun-daun tua dan batang yang telah kering hendaklah dipangkas dan dibersihkan untuk memastikan kebersihan dan mengelak pembiakan serangga perosak.

Ketika pokok telah mengeluarkan batang bunga, taburkan dengan baja sebatian NPK yang mempunyai kandungan potassium yang tinggi seperti 16-5-22.  

Pokok bunga kantan akan matang dan mula mengeluarkan bunga selepas setahun batang rizom ditanam. Masa memetik bunga ialah apabila bunga terasa sedikit lembut apabila ditekan. 

Bunga kantan yang sedia untuk dijual

Kesimpulannya, cara tanam bunga kantan tidak sukar kerana pokok ini tidak memerlukan penjagaan yang khusus seperti pokok buah-buahan. 

Walaupun begitu, ia dapat memberikan pulangan yang lumayan jika penanamannya diusahakan secara sederhana besar.

Saya ingin mendengar pengalaman anda diruang komen di bawah jika anda menanam pokok ini di kebun anda. 

6 Pokok Buah Bernilai Tinggi Untuk Kebun Durian

Kebanyakan pekebun durian juga menanam pokok-pokok buahan tropika yang lain selain daripada durian. Buah bernilai tinggi bermaksud buah yang mempunyai harga pasaran yang lebih daripada buah-buahan yang lain selain durian dan nisbah harga kepada kos penjagaan yang besar.   

Di artikel ini saya akan membincangkan kebaikan mempunyai pokok buah-buahan lain dan jenis buah-buahan yang mempunyai nilai komersil yang tinggi yang boleh ditanam di kebun durian pembaca. 

Kenapa Tanam Pokok Buahan Lain Selain Durian?

Terdapat pelbagai sebab mengapa sesetengah kebun durian mempunyai pokok buah-buahan lain iaitu:

  1. Tanah kebun durian yang dimiliki sudah mempunyai pokok buah-buahan lain yang sedia ada.
  2. Minat pemilik tanah kepada pokok buah-buahan yang tertentu selain dari durian.
  3. Ditanam sebagai tanaman kontan sebelum pokok durian berbuah dan mengeluarkan hasil.
  4. Terdapat bahagian tanah kosong yang tidak sesuai untuk penanaman durian.
  5. Buah bernilai tinggi yang lain akan bertindak sebagai plan B jika harga pasaran durian jatuh pada masa hadapan.

Cadangan Pokok Buah Bernilai Tinggi

Di senaraikan di bawah pokok buah-buahan bernilai komersil tinggi yang boleh ditanam oleh pekebun durian.

1. Mesta (Garcinia mangoestana)

buah mesta

Sering tertukar oleh orang ramai sebagai buah manggis, buah mesta sebenarnya berbeza dengan manggis walaupun berada dalam keluarga yang sama. 

Buah mesta tidak mempunyai biji dan mempunyai isi yang lebih putih dan lebih rangup. 

Di kebun saya sebanyak 7 anak pokok mesta yang ditanam. Dari segi pasaran, buah mesta sukar dilihat dijual di Kuala Lumpur. Semasa artikel ini ditulis, harga pasaran buah mesta ialah 20% melebihi harga buah manggis.

Anak pokok mesta di kebun saya dibeli di sebuah nurseri di Jelebu, Negeri Sembilan dan Kajang, Selangor. 

Mula berbuah pada tahun ke-4 dan pada pengamatan saya ia mempunyai daya tahan kepada penyakit yang amat baik dan tidak diserang oleh serangga perosak. 

Daya tahan pada musim kemarau juga adalah bagus. Aspek negatif ialah pokok mesta membesar dengan agak perlahan.  

2. Durian belanda (Annona muricata)

buah bernilai tinggi

Harga pasaran durian belanda sedang meningkat dengan stabil disebabkan kesedaran tentang faedah kesihatan meminum jus dan juga teh durian belanda.

Pokok durian belanda akan membesar sehingga 10 meter dan mula berbuah pada umur 4 tahun dan boleh hidup sehingga 20 tahun dengan penjagaan yang rapi. 

Isu dengan pokok durian belanda ialah pendebungaan semulajadi yang sukar menyebabkan hasil buah yang kurang. Berdasarkan kajian, pendebungaan durian belanda hanya boleh dilakukan oleh spesis lebah tukang atau “carpenter bee”.

Melalui pembacaan saya, terdapat pekebun kecil durian belanda yang melakukan pendebungaan berbantu untuk meningkat hasil buah.   

3. Kundang (Bouea macrophylla)

Berwarna oren, mempunyai bau dan isi yang mirip buah mangga tetapi berbentuk bujur dan kecil. 

Tumbuh dengan liar di tebing sungai dan tali air di kampung-kampung suatu masa dahulu, namun sekarang sukar untuk dijumpai pokoknya. 

Pada pemerhatian saya, buah ini tidak dijual di pasar, gerai tepi jalan atau di supermarket sejak beberapa tahun yang lepas. 

Buah kundang jika dijual di negara ini, ia adalah buah yang diimport daripada Thailand. Harga terakhir (4-5 tahun lepas) yang saya jumpai ialah RM40 per kg.

Terdapat keraguan di kalangan penanam bahawa anak-anak benih pokok kundang yang kebanyakannya anak benih kahwin daripada Thailand tidak akan berbuah apabila ditanam di Malaysia. 

Walaupun begitu, potensinya sebagai buah bernilai tinggi pada masa hadapan menyebabkan saya telah menanam 3 anak pokok kundang. 

4. Cempedak (Artocarpus champeden)

Di dalam keluarga yang sama dengan buah nangka, cempedak goreng ialah salah satu makanan minum petang kegemaran rakyat tempatan. 

Pokok cempedak membesar sehingga 21 meter dan anak pokoknya sukar dijangkiti penyakit atau serangan perosak. 

Walaupun begitu, pokok dewasa cempedak mudah diserang oleh serangga pengorek batang (stem borer). 

Mula berbuah pada usia pokok 4 tahun. Terdapat banyak klon cempedak tetapi yang disyorkan untuk penanaman oleh Jabatan Pertanian ialah klon CH28, CH30 dan CH33. 

5. Sukun (Artocarpus altilis)

Berasal dari keluarga yang sama dengan cempedak, buah sukun boleh dibuat goreng tepung, kerepek atau direbus sebagai sayur. 

Pokok sukun membesar setinggi 20 meter dan berbuah sepanjang tahun. Walaupun begitu, waktu puncak berbuah ialah dari Januari – Februari dan Julai – Ogos. 

Pokok sukun mudah dijaga, tahan kepada serangan penyakit dan makhluk perosak. Ia juga tidak memerlukan pembajaan yang banyak.

Jika diperhatikan di gerai-gerai penjual goreng pisang, rata-rata penjual tidak menjual sukun goreng. Pendapat saya ialah kerana buah sukun sukar diperolehi di kawasan bandar. 

Buah sukun dipetik sebelum masak dan potensi masa hadapan untuk pasaran yang luas dan harga tinggi adalah cerah. 

6. Avocado (Persea americana)

avocado

Di Malaysia buah avocado masih belum ditanam secara besar–besaran untuk pasaran komersil. Rakyat negara ini masih belum biasa menggunakan buah avocado sebagai bahan masakan atau dimakan segar. 

Pokok avocado daripada anak benih cantuman mula mengeluarkan hasil pada umur 3-4 tahun. Tinggi pokok ialah di antara 15-20 meter dan terdapat juga jenis yang ‘dwarf’. 

Berasal dari selatan Mexico, avocado banyak ditanam di Amerika Utara, Australia dan Afrika Selatan. Kebanyakan buah avocado yang dijual di negara ini diimport daripada Afrika Selatan.

Walaupun buah avocado tidak mempunyai ramai peminat di negara ini, kesedaran mengenai khasiat avocado tidak mustahil akan menaikkan permintaan buah ini pada masa depan. 

 

Kesimpulan

Menanam pokok-pokok buahan tropika yang lain di samping pokok durian adalah pilihan penanam atau pemilik kebun itu sendiri. 

Perlu dijelaskan juga bahawa pokok buah-buahan tropika ini mempunyai keperluan penanaman yang mungkin sedikit berbeza begitu juga dengan kaedah pengurusan pokok.

Pertimbangan lain seperti keperluan pembajaan dan sensitiviti penyakit di antara pokok-pokok yang disebutkan di atas perlu diambil kira. 

Contohnya pokok cempedak (dan juga nangka) tidak digalakkan untuk ditanam berdekatan dengan pokok durian kerana pokok cempedak menarik kedatangan perosak pengorek batang (stem borer) yang akan menjangkiti pokok-pokok durian.

Di kebun saya pokok cempedak dan nangka hanya ditanam di kawasan sempadan tanah dan bukan di kawasan penanaman utama durian.

Pembelian anak benih pokok buah-buahan yang dibincangkan perlu juga menggunakan kaedah yang sama dengan pembelian anak benih pokok durian seperti yang dibincangkan di artikel ini.  

Apakah pokok-pokok buah-buahan lain yang ditanam di kebun durian anda? Sila komen di ruangan bawah. 

1 Ekar Berapa Pokok? (Jarak Tanam Durian)

susun atur pokok durian

Menentukan jarak tanam pokok adalah perkara yang amat penting ketika kebun mula-mula dibangunkan Sebarang kesilapan akan mempunyai implikasi masa depan yang tidak boleh diubah lagi.

Sesetengah penanam durian menanam dengan jarak yang terlalu dekat untuk memasukkan sebanyak mungkin anak benih pokok durian di dalam kebun mereka. Ketahui kaedah yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian disini. 

Jarak Tanam Durian Kaedah Segi Empat

Pejabat Pertanian mengesyorkan tanaman durian dilakukan seperti ukuran-ukuran yang berikut:

  1. 40 kaki X 40 kaki = 27 pokok
  2. 35 kaki X 35 kaki = 36 pokok
  3. 30 kaki X 30 kaki = 48 pokok

Pengiraan untuk setiap syor ini adalah seperti di bawah:

1 ekar (bersamaan dengan 43,560 kaki persegi) 

Bilangan pokok = 43,560 kaki persegi ÷ (luas jarak yang dipilih)

Sebagai contoh, jika luas jarak yang dipilih ialah 30 kaki X 30 kaki, maka:

BIlangan pokok untuk (30 X 30) = 43,560 ÷900 

= 48 pokok 

jarak tanam
Susunatur segi empat
Jarak Tanam Durian Kaedah Segi Tiga Sama

Berbeza dengan kaedah segi empat, susunan segi tiga sama adalah seperti rajah dibawah:

 

jarak tanam

Pengiraan untuk bilangan pokok dalam 1 ekar ialah:

(Keluasan kawasan seekar ÷ jarak tanaman)   x   1.154 

[4,046.9 m2 ÷ (9.14 m x 9.14 m)]   x  1.154

= 56 pokok

* 1.154 ialah faktor konstan tiga segi 

Dengan ini kita dapat menyimpulkan bahawa penanaman dengan susunatur segi tiga sama akan membolehkan 16% lebih pokok dapat ditanam pada keluasan yang sama iaitu seekar. 

Kenapa 30' x 30' Adalah Jarak Paling Minimum?

Jarak minimum telah mengambil kira ukuran jejari kanopi pokok dewasa. Sebagai contoh, 30 kaki adalah bersamaan dengan 9.14 meter (ukuran dari pokok ke pokok bersebelahan). Ini bermakna panjang jejari kanopi antara 2 pokok bersebelahan sebelum ia bersentuhan hanya 4.6 meter.

Bergantung kepada jenis klon pokok durian, diameter kanopi adalah di antara 10 meter ke 12 meter. Oleh itu bila dikaji semula, diameter kanopi yang melebihi 10 meter akan menyebabkan dahan pada 2 pokok bersebelahan bersentuh. Penanam mungkin perlu membuat pangkasan dahan jika ini berlaku.

Jarak tanam 40 kaki X 40 kaki dilihat adalah yang terbaik.     

Kebaikan Jarak Tanaman Lebih Jauh

Di antara kebaikan jarak tanaman yang lebih jauh ialah seperti di bawah:

  1. Pencahayaan sempurna sehingga ke seluruh kanopi daun yang akan mengekalkan pertumbuhan fasa reproduktif pokok. Ini bermaksud perkembangan buah pada dahan akan lebih sempurna.
  2. Membolehkan aliran udara yang baik seterusnya mengelakkan serangan atau jangkitan kulat yang biasanya menyerang daun-daun pokok durian.
  3. Mengurangkan mobiliti haiwan perosak seperti tupai dan monyet yang mudah untuk melompat dari dahan satu pokok ke pokok yang lain (menyebabkan pemasangan kepingan zink pada batang pokok tidak efektif)

Apakah kaedah dan jarak penanaman yang telah dipraktikkan di kebun atau ladang durian anda? Sila komen di bawah. 

Penjualan Durian – Tahun Pertama

Sekarang telah masuk bulan November dan pokok-pokok durian yang berbuah telah mula menggugurkan buah yang telah masak. Secara keseluruhannya, saya mempunyai 4 pokok yang berbuah pada tahun ini dengan 7 pokok lagi tidak berbunga. 

Artikel ini akan menceritakan pengalaman saya mengutip, membersihkan, ‘sorting’, penggredan dan menjual buah durian dari kebun pada harga ladang. Ini adalah tahun pertama saya terlibat dengan penjualan durian hasil kebun saya. 

buah durian
Kutipan pada sebelah petang untuk jualan keesokan hari

Di sebabkan saya tidak menunggu di dalam kebun pada waktu malam atau mengupah sesiapa untuk berbuat yang sama, jadual mengutip buah durian yang gugur dilakukan pada pukul 8 pagi dan pada pukul 4 petang setiap hari. 

Ini bermakna buah yang gugur selepas pukul 4 petang hanya akan dikutip pada pagi keesokannya. Buah akan berada di atas tanah dan telah gugur selama lebih 12 jam. 

Terbukti bahawa kekurangan kaedah ini di kebun saya ialah sejumlah buah akan dimakan oleh babi hutan. 

Pungutan Buah Durian

Buah-buah yang dikutip dikebun akan dibawa ke rumah untuk aktiviti yang selanjutnya seperti di bawah:

  1. Membersih kulit luaran
  2. Menimbang
  3. Penggredan dan ‘sorting’
  4. Memelihara kesegaran buah

Peraih akan datang pada tengahari untuk membeli buah yang dikutip pada pukul 8 pagi hari yang sama dan akan datang untuk kali kedua pada waktu petang selepas pukul 5 petang. 

Oleh kerana gred buah merupakan faktor terpenting yang menentukan harga buah, aktiviti ini di kira sebagai yang terpenting selepas kerja mengutip. 

Standard penggredan untuk durian kampung (saya tidak mempunyai buah durian klon ketika ini) akan dibincangkan di bawah. 

Penggredan Buah Durian

Gred A

Hanya untuk buah durian klon sahaja

Gred B

Diberikan kepada buah yang berat melebihi 2kg dan tidak mempunyai lubang akibat kerosakan oleh serangga atau kerosakan fizikal yang lain.

Gred C (hidup)

DIberikan kepda buah yang bertanya di bawah 2kg tetapi melebihi 1kg dan tidak mempunyai lubang akibat kerosakan oleh serangga atau kerosakan fizikal yang lain.

Gred C (mati)

DIberikan kepada buah dengan berat di bawah 1kg dengan lubang-lubang kerosakan oleh serangga atau kerosakan fizikal yang lain

 

Pendapat Berkenaan Standard Penggredan

Rompakan di siang hari, itulah pendapat saya mengenai standard penggredan sebegini yang terang-terangan tidak memberi keuntungan kepada penanam. Mengapa saya mengatakan begini ialah ketiadaan Gred A yang sepatutnya menawarkan harga yang paling tinggi kepada penanam. 

Sebab kedua ialah syarat Gred B sukar untuk dipenuhi. Kebanyakan durian kampung tidak akan mempunyai berat yang melebihi 2kg sebiji.

Standard penggredan sebegini hanya menguntungkan peraih untuk mengambil buah daripada penanam dengan harga ladang yang rendah.  

Pengajaran Tahun Pertama Menjual Durian

Pengalaman saya mengutip hasil dan menjual buah durian pada tahun pertama menyimpulkan beberapa penambahbaikan dan perancangan untuk tahun hadapan. Antaranya ialah:


1. Melakukan Pembajaan Mengikut Fasa Perkembangan 

Pada tahun hadapan, pembajaan akan dilakukan mengikut fasa pembuahan (sebelum berbunga, berbunga, perkembangan buah awal/tengah/akhir). Objektifnya adalah untuk mendapatkan lebih banyak buah dengan berat buah yang optimum.


2. Mengasap Pokok

Aktiviti ini dilakukan untuk mencegah daripada kumbang dan kupu-kupu dari bertelur dan menyebabkan buah rosak kerana ulat. Pada tahun ini, hampir 70% daripada kutipan buah berlubang dan rosak kerana kerosakan serangga yang menyebabkan kejatuhan gred buah. 

Proses mengasap akan dilakukan secara mingguan. Unggun api akan dihidupkan pada jarak selamat daripada pangkal setiap pokok. Hampas kelapa akan digunakan sebagai bahan menghidupkan api. 

Semburan racun secara berkala juga boleh digunakan sebagai langkah salingan dengan pengasapan. Di artikel ini saya telah kongsikan tentang pengetahuan dan penggunaan racun serangga yang betul.  


3. Jualan Terus Buah Durian

Dalam usaha untuk mendapatkan harga jualan yang paling tinggi, buah-buah durian saya akan dijual secara terus oleh saya sendiri. 

Untuk membolehkan penjualan durian secara terus, saya perlu merancang lokasi jualan dan keperluan logistik. Di samping itu juga kutipan buah harian perlu banyak dengan kualiti yang sebaik mungkin supaya bekalan buah untuk jualan harian mencukupi. 

jual durian
Buah yang baru dikutip dari kebun

Bagaimanakah standard penggredan buah durian di kawasan anda ? Sila kongsikan di ruangan komen di bawah. 

pembersihan tanah

7 Langkah Penyediaan Kawasan Kebun Durian

pembersihan tanah

Penyediaan kawasan merupakan elemen kos terbesar untuk sebuah projek penanaman durian. Perancangan rapi perlu dibuat untuk mendapatkan anggaran kos perbelanjaan yang sehampir mungkin dengan kos sebenar, mengelakkan pertikaian dan keperluan ‘double work’ atau kerja berulang.

Sebaiknya, kerja ini dirancang pada waktu musim panas untuk mengelakkan hakisan tanah, memudahkan excavator atau backhoe bergerak dan memudahkan proses pembakaran sisa-sisa hutan. 

Artikel ini akan membincangkan langkah-langkah dan aspek-aspek kritikal di dalam penyediaan kawasan ladang atau kebun sebelum penanaman dilakukan.  

1. Kerja Ukur Tanah

Mengetahui sempadan tanah yang sebenar ialah langkah pertama sebelum apa-apa kerja yang lain. Juru ukur yang bertauliah perlu diambil untuk membuat kerja ukur di lapangan. 

Tujuan kerja ukur tanah adalah:

  1. Untuk mencari batu sempadan dan jika dijumpai untuk mengesahkan batu sempadan ditanam di lokasi koordinat yang tepat. 
  2. Untuk menggantikan batu sempadan yang telah hilang.
  3. Penandaan sempadan untuk memudahkan pemandu excavator/backhoe melihat garis sempadan supaya tanah jiran tidak diceroboh atau diganggu. 
  4. Untuk mengambil peluang membuat tinjaun mana pokok sedia ada yang hendak dikekalkan dan yang mana untuk ditebang.
  5. Membuat visualisasi keadaan lanskap, orientasi teres dan laluan jalan kebun yang perlu dilakukan selepas ini. 

Aktiviti pertama ialah untuk bergerak dari titik batu sempadan pertama yang telah dikenalpasti mengikuti garisan sempadan ke titik yang berikutnya. 

Praktis yang baik ialah membuat penandaan untuk setiap jarak 20m atau kurang dengan kayu pancang dan bendera. 

Apabila telah sampai ke batu sempadan yang berikutnya, buat penandaan yang sama dan simpan koordinat untuk rujukan (di dalam format WGS84).

Idea yang baik ialah untuk mengambil gambar setiap batu sempadan dengan garis penglihatan ke arah suatu objek (landmark) yang dapat dilihat dari jarak jauh. 

Jika batu sempadan telah rosak, hilang atau teralih dari koordinat sebenar, juru ukur akan menandakan lokasi titik stesen itu dengan paip besi/PVC atau apa-apa kaedah penandaan lain. 

 

1.1 Juru Ukur Kerajaan (JUPEM)

Perlu difahami bahawa batu sempadan yang baru hanya boleh diletakkan oleh juru ukur kerajaan sahaja dengan cara tuan tanah membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Daerah di mana permohonan ini akan dimajukan kepada Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia (JUPEM).  

Jadual bayaran ukur untuk juru ukur kerajaan yang meliputi skop kerja ukur keluasan, penentuan sempadan, penggantian dan penanaman tanda sempadan dll. boleh dilihat di laman web JUPEM di sini

batu sempadan
Penanda konkrit yang telah disembur cat

Walaupun begitu disebabkan saya mempunyai lebihan penanda konkrit untuk projek sebelum ini, penandaan baru telah dibuat dengan menggali dan menanam penanda-penanda konkrit yang baru ini. 

Aktiviti-aktiviti ini diulangi sehinggalah ke batu sempadan yang terakhir. 

1.2 Kos Juru Ukur Berlesen (Swasta)

Faktor-faktor yang menyumbangkan jumlah harga untuk juru ukur adalah seperti berikut:

  1. Keluasan tanah 
  2. Keadaan geografi atau muka bentuk bumi
  3. Lokasi tanah (berhampiran jalan besar, bandar atau perkampungan)
jadual bayaran juru ukur
2. Kerja Pembersihan dan Membuat Teres
teres kebun durian
Teres yang telah siap

Bergantung kepada keadaan muka bumi tanah, excavator diperlukan untuk membersihkan tanah yang berbukit atau curam. 

Penanam perlu mencari kontraktor excavator dengan pemandu yang mempunyai pengalaman membuat teres. 

Sesetengah pemandu excavator atau backhoe hanya berpengalaman dalam menggali parit dan kolam atau sawah

Membuat teres pada bukit memerlukan pengalaman pemandu yang berbeza untuk memastikan potongan bukit menjadi rata dan jarak antara teres sama.  

Semasa kerja-kerja pembersihan, tunggul-tunggul pokok beserta akar-akar utama perlu digali dan dialihkan. Sisa tunggul dan akar ini jika tidak dibuang akan memyebabkan risiko anai-anai dan penyakit kulat akar putih merebak pada pokok durian. 

Jika terdapat rumpun buluh di dalam tanah, ia perlu digali dengan sebersihnya tanpa meninggalkan cebisan pangkal buluh. 

Di artikel ini saya menceritakan pengalaman saya untuk menghapuskan buluh secara manual apabila cebisan pangkal buluh bertunas dan membesar semula. 

 

Tunggul pokok getah yang perlu digali dan dibuang

Semasa penyediaan kawasan, sisa-sisa hutan yang lain termasuklah daun, dahan, ranting hendaklah dilonggokkan kepada beberapa bahagian dan dikeringkan selama beberapa minggu sebelum dibakar. 

Proses pembakaran hendaklah dilakukan secara perlahan-lahan untuk mengelakkan pengesanan ‘hot spot’ oleh Jabatan Alam Sekitar

Pastikan juga pembakaran diawasi dan dipastikan api/bara telah mati sepenuhnya sebelum pulang dari kawasan. 

 

ukuran teres

Tuan tanah perlu berbincang dengan pemandu excavator untuk mencari orientasi teres yang terbaik. Pertimbangan seperti kedudukan rumah kebun, jalan masuk, jalan dari teres ke teres, kawasan tangki simpanan air dan arah matahari perlu diambil kira. 

Teres tidak dibuat mendatar sebaliknya dengan sedikit kecerunan untuk membolehkan air hujan melalui sebelah dalam teres dan tidak turun melalui tepi teres yang akan menyebabkan hakisan pada cerun teres yang masih longgar tanahnya. 

Pokok akan ditanam pada jarak 4 kaki daripada tepi teres sebagai rizab laluan kenderaan kebun keluar dan masuk membawa input pertanian, hasil kebun dan kerja-kerja lain. 

3. Membuat Lining Untuk Lubang Tanam
lubang penanaman
Lubang tanam yang telah digali

Selepas setiap satu teres siap, excavator perlu menggali lubang penanaman sebelum dibolehkan bergerak ke kawasan lain untuk membuat teres yang baru. 

Saiz lubang penanaman secara praktikalnya akan mengikut saiz ‘bucket’ yang dipasang pada excavator. 

Jika penggalian dilakukan secara manual, saiznya adalah 2 kaki atau sekurang-kurangnya 2 kali saiz polybeg anak benih durian yang bakal dibeli. 

Jarak antara satu lubang tanam ke lubang tanam yang lain ialah sekurang-kurangnya 30 kaki. Ini mengambil kira diameter kanopi pokok durian dewasa yang sebaiknya tidak bersentuh antara pokok ke pokok bersebelahan.   

4. Penanaman Penutup Bumi

Langkah yang berikutnya ialah menanam tanaman tutup bumi. Ini penting untuk menstabilkan tanah secepat mungkin dalam usaha untuk mengelakkan hakisan dan tanah runtuh. 

Berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya, saya telah membincangkan 2 jenis penutup bumi yang paling sesuai untuk sebuah kebun durian di artikel ini

5. Menggali Parit Sempadan

Ada penanam-penanam di Raub, Pahang semasa penyediaan kawasan kebun, mereka menggali parit sedalam 6 kaki di perimeter kebun mereka. Ia bertujuan untuk:

  1. Mengelakkan kemasukan binatang liar
  2. Sebagai memudahkan saliran air semasa musim hujan dan mengelakkan banjir
  3. Untuk menghalang akar-akar pokok sawit, pokok getah atau pokok hutan memasuki tanah kebun durian dan bersaing untuk nutrien. 
penyediaan kawasan

Dapat dilihat pada gambar di atas keadaan akar pokok-pokok getah yang mencerobohi tanah baru kebun durian. Akar-akar ini perlu diputuskan untuk mengelakkan persaingan mendapatkan baja dengan anak-anak benih durian yang bakal ditanam. 

Saya tidak menggali parit di kebun saya semasa penyediaan kawasan kerana tanah saya adalah tanah hutan dan tidak di sempadani oleh ladang getah. 

6. Membina Jalan Ladang

Pembinaan jalan ladang semasa penyediaan kawasan adalah satu topik tersendiri. Di artikel ini saya menerangkan cara saya membina jalan ladang termasuk perkongsian kos yang terlibat untuk membeli batu crusher run, sewa lori batu dan excavator. 

7. Membina Pagar

Jenis pagar yang hendak dibina bergantung kepada ancaman yang ada dikebun dan juga kos pelaburan yang mampu dibelanjakan oleh pekebun. 

Jenis pagar yang biasa dipasang disenaraikan dibawah: 

  1. Pagar chain link
  2. Pagar zink
  3. Pagar elektrik
  4. Pagar kawat dawai
  5. Pagar cyclone

Untuk membincangkan dengan lebih terperinci mengenai setiap jenis pagar dan kos yang diperlukan untuk keluasan kebun yang sama, saya akan menulis artikel yang berasingan tidak lama lagi. 

Semoga artikel penyediaan kawasan untuk kebun durian ini bermanfaat untuk pembaca sekalian. Sila subscribe, share atau komen diruang di bawah. 

Cara Penggunaan Baja MKP Untuk Elakkan Overdose

Kegunaan baja mono-potassium phosphate atau baja MKP telah dibincangkan di artikel saya sebelum ini. Kali ini saya akan berkongsi bagaimana saya menyediakan bancuhan dan mengukur kepekatan MKP untuk semburan foliar di kebun durian.  

baja MKP
Antara jenama MKP di pasaran

Penggunaan MKP sebagai aplikasi foliar perlu diukur untuk mengelakkan overdos kepada pokok. Kesan overdos ialah daun dan pucuk yang kelihatan terbakar atau kering. 

Oleh kerana itu, penggunaan MKP perlu melalui persediaan yang betul. Ukuran kepekatan dos MKP memerlukan alat analitik yang dipanggil EC (electro-conductivity) meter. Meter ini boleh dibeli di kedai pertanian, kedai alatan makmal atau secara online. 

Alat ini mengukur konduktiviti elektrik cecair dalam unit uS/cm (micro Siemens per cm) atau ppm (parts per million). 

EC meter full
EC meter dengan pin kalibrasi dan manual
Kaedah Bancuhan Baja MKP

Baja ini merupakan sejenis garam, berwarna putih dan mempunyai tahap kelarutan yang tinggi di dalam air. Digunakan juga sebagai baja tabur oleh sesetengah penanam durian namun saya akan membincangkan aplikasi MKP sebagai semburan foliar. 

Langkah-langkah membancuh adalah seperti berikut:

  1. Penanam perlu menetapkan jumlah isipadu untuk bancuhan dan target kepekatan akhir MKP di dalam isipadu bancuhan tersebut. 
  2. Ukur kepekatan mineral sedia ada di dalam air paip/air takungan hujan/air kolam dll. dengan EC meter
  3. Masukkan sedikit serbuk MKP ke dalam air paip/air takungan hujan/air kolam dll.
  4. Ambil ukuran air bancuhan menggunakan alat EC meter
  5. Tambahkan serbuk MKP sehingga ukuran menunjukkan target kepekatan yang dikehendaki untuk semburan foliar.  
1. Isipadu Semburan dan Kepekatan Akhir

Jumlah isipadu yang hendak disembur bergantung kepada penanam sendiri dengan mengambil kira bilangan dan saiz pokok yang hendak disembur. Nombor isipadu ini hanya perlu sebagai rekod untuk bancuhan yang seterusnya. 

Setahu saya, tiada rujukan untuk kepekatan standard foliar MKP bagi aplikasi pokok durian (anak pokok atau dewasa)  namun saya menggunakan carta baja AB hidroponik sebagai rujukan: 

Jika dilihat, sayuran berdaun disyorkan untuk menggunakan kepekatan EC (electrical conductivity) yang bernilai rendah. Kita dapat juga melihat bahawa bagi tanaman sayuran berbatang seperti terung, tomato dan kacang buncis mempunyai nilai EC yang lebih tinggi

Jika diambil kira anak benih durian bersaiz 2 kaki tinggi, kita boleh membuat pertimbangan mudah nilai EC yang sesuai berada dalam julat 2.5 – 5.0. Sebagai ‘safety buffer’ atau langkah selamat untuk mengelakkan risiko ‘leaf burn’ pada anak poko durian, saya mengambil nilai 2.5 EC target kepekatan.   

2. Ukur Kepekatan Mineral Sedia Ada

Disebabkan air yang digunakan untuk membancuh bukan air suling (≈ 0 EC), ukuran pada EC meter akan memberikan bacaan tertentu. Air paip, air takungan hujan, air sungai, air kolam dll akan mempunyai kandungan mineral terlarut di dalamnya.

Bacaan sebelum membancuh ini perlu ditolak dengan bacaan selepas serbuk MKP dibancuh.  

Nota:

1. Gunakan unit uS/cm dan bukan ppm

2. Dalam kes EC meter saya, pembacaan adalah 000 X 10 (nilai bacaan didarabkan dengan 10)

3. Baca nilai atas, nilai bawah ialah suhu air

Dapat dilihat pada paparan, bacaan adalah 010 x 10 = 100 uS/cm

3. Masukkan Serbuk MKP & Bancuh

Untuk demonstrasi ini, saya memasukkan 4 gram serbuk MKP ke dalam 1 liter air paip. Bancuh serbuk sehingga terlarut sepenuhnya. 

4. Ambil Ukuran Air Bancuhan MKP

Seperti sebelumnya, ukuran dibaca seperti berikut:

263 x 10 = 2,630 uS/cm

 

Nilai sebenar kepekatan MKP di dalam bancuhan ialah:

Kepekatan selepas – Kepekatan sebelum = Kepekatan akhir 

Iaitu, 2,630 uS/cm – 100 uS/cm = 2,530 uS/cm 

Bacaan kepekatan akhir ini ialah dalam unit uS/cm dan unit yang dibuat perbandingan di dalam carta hidroponik ialah EC. Penukaran unit uS/cm kepada EC ialah dengan membahagikan nilai dengan 1,000.

Oleh itu, 2,530 ÷ 1,000 = 2.53 EC

5. Tambahan Serbuk MKP Untuk Mencapai Kepekatan Dikehendaki

Dengan demonstrasi ini, saya telah menyediakan 1L bancuhan semburan foliar MKP dengan kepekatan 2.53 EC iaitu sama dengan target kepekatan yang dipilih. Dengan ini, saya tidak perlu membuat apa-apa penambahan serbuk MKP lagi.

Andai kata kepekatan yang diperlukan ialah 4.5 EC contohnya, saya akan menambahkan serbuk MKP sedikit demi sedikit dan membuat bacaan EC pada setiap penambahan sehingga saya mendapat bacaan yang dikehendaki. 

Daripada demonstrasi ini dapat direkodkan bahawa 4 gram baja MKP dibancuhkan dengan 1L air akan menyediakan kepekatan 2.5 EC. 

Daripada sini juga (menggunakan jenis air yang sama) saya boleh meningkatkan isipadu semburan dengan mengekstrapolasi berat serbuk MKP tanpa membuat bacaan setiap kali penambahan dilakukan. 

Sila tinggalkan komen atau perbincangan berkenaan dengan artikel ini di bawah. 

Penyakit Pokok Durian & Cara Rawatan

Berdasarkan pengalaman sendiri sebagai penanam, terdapat beberapa jenis penyakit pokok durian yang sering menyerang terutamanya kulat yang boleh menyebabkan kematian pokok. Setiap serangan kulat yang berbeza memerlukan racun kulat yang berbeza bahan aktifnya. 

Saya akan mengkategorikan penyakit pokok durian kepada 2 kumpulan iaitu penyakit kulat dan penyakit serangga perosak. 

Ada di antara penyakit-penyakit yang dibincangkan di sini dihadapi sendiri oleh pokok-pokok durian di kebun saya dengan gambar-gambar yang sebenar pada daun atau bahagian lain pokok. 

Penyakit-penyakit Kulat:

Walaupun durian dikategorikan sebagai pokok tropika, serangan kulat biasanya terjadi terutamanya pada musim hujan atau pada musim dengan kelembapan yang tinggi dan panas sewaktu siang.

Daun-daun yang dijangkiti kulat ini tidak akan sembuh. Praktis yang baik adalah memotong daun-daun yang sakit dan kemudian dibakar. 

Daun-daun pokok yang telah gugur pada tanah keliling pangkal juga harus dikumpulkan dan dibuang/bakar. Ini adalah kerana spora kulat ini masih hidup pada sisa-sisa daun yang telah jatuh. 

Pengaliran udara pada kanopi pokok perlu diperbaiki dengan cara membuat pemangkasan. Pastikan aliran udara adalah baik dan tiada teduhan daripada pokok-pokok besar sekeliling yang lain.  

Hentikan pembajaan kimia NPK pada tempoh rawatan dan hanya mengaplikasikan baja organik pada pokok yang sedang dirawat. 

Penyakit pokok durian yang disebabkan oleh serangan kulat yang pertama saya bincangkan disini ialah hawar daun/pucuk. 

1. Hawar Daun/Pucuk
penyakit pokok durian

Berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman saya, pokok durian Musang King amat mudah diserang oleh  kulat Rhizoctonia solani atau dikenali sebagai hawar daun jika dibandingkan dengan klon-klon lain contohnya klon Duri Hitam dan klon IOI. 

Kulat ini menyerang daun dan pucuk. Pada daun ia kelihatan seperti tompokan air dengan corak rawak yang berwarna perang. Dalam kebanyakan kes, bahagian tompokan ini akan mengering. 

Pada pucuk/tunas pokok durian pula, kulat ini menyebabkan pucuk/tunas mengerekot dan akhirnya mengering. Pokok dalam kebanyakan kes akan mula mengeluarkan tunas-tunas baru di dahan-dahan yang lain secara rawak (survival mode). 

Kadar kematian pada anak-anak benih durian bersaiz 2 kaki ke bawah diperhatikan agak tinggi apabila dijangkiti dengan kulat R. solani

- Langkah Rawatan

– Penyebab penyakit: Keadaan yang lembap atau musim hujan dengan panas pada siang hari. Juga disebabkan oleh pengaliran udara yang tidak baik 

– Racun kulat bahan aktif: Pencycuron (jenama Monceren)

– Kepekatan bancuhan: 20g serbuk racun untuk 10L air

– Jadual semburan: Ulangi selepas 7 hari jika pokok masih tidak sembuh

2. Karat Daun
karat daun

Daun mempunyai tompok-tompok berwarna seperti karat. Penyakit ini disebabkan oleh lumut Cephaleuros virescen. Biasanya menyerang pada musim hujan atau pada keadaan sekeliling yang lembap dengan aliran udara yang tidak baik. 

Ia juga biasa dilihat pada daun-daun yang berada di dahan-dahan yang rendah atau hampir kepada tanah. 

Serangan karat daun diperhatikan konsisten pada klon-klon durian yang berbeza yang mempunyai keadaan sekeliling yang sama. 

- Langkah Rawatan

– Penyebab penyakit: Keadaan yang lembap atau musim hujan dengan panas pada siang hari. Juga disebabkan oleh pengaliran udara yang tidak baik 

– Racun kulat bahan aktif: Copper oxychloride (jenama Coprantol 870)

– Kepekatan bancuhan: 16g serbuk racun untuk 10L air

– Jadual semburan: Ulangi selepas 7 hari jika pokok masih tidak sembuh

 

3. Bintik Daun
phomopsis

Bintik-bintik hitam dan dikelilingi dengan bentuk cincin berwarna kuning. Penyakit ini disebabkan oleh kulat Phomopsis durionis.

Biasanya menjangkiti anak-anak benih durian yang berumur 1-3 bulan lepas cantuman pada pemerhatian saya. 

- Langkah Rawatan

– Penyebab penyakit: Keadaan yang lembap atau musim hujan dengan panas pada siang hari. Juga disebabkan oleh pengaliran udara yang tidak baik 

– Racun kulat bahan aktif: Carbendazim (jenama Bavistin atau Kombat)

– Kepekatan bancuhan: 25g serbuk racun untuk 10L air

– Jadual semburan: Ulangi selepas 7 hari jika pokok masih tidak sembuh

4. Cendawan Angin
cendawan angin

Jangkitan kulat ini disebabkan oleh spesis kulat Corticum salmonicolor. Pada permulaan serangan, kulat ini kelihatan sebagai jaringan miselium putih pada batang, dahan atau ranting.

Dalam keadaan yang lembap, ia akan bertukar kepada warna jingga atau merah jambu dan berbentuk gegelung. 

Dahan atau ranting yang dijangkiti jika tidak dirawat akan mati. Walaupun bagaimanapun, pokok tidak akan mati. 

Cendawan angin biasanya menjangkiti pokok-pokok matang berusia empat atau lima tahun ke atas yang mempunyai kanopi yang rendang dan berkembang dengan sempurna.

- Langkah Rawatan

Penyebab penyakit: Keadaan yang lembap berpanjangan atau pada musim hujan. ditambah pula oleh pengaliran udara yang tidak baik di dalam kawasan kanopi.

– Racun kulat bahan aktif: Mana-mana jenama racun kulat dengan bahan aktif copper, copper oxide, copper hydroxide, copper oxychloride atau triadimefon. 

– Kepekatan bancuhan: Bergantung syor pengeluar racun pada label 

– Jadual semburan: Ulangi selepas 7 hari jika pokok masih tidak sembuh

Bahagian dahan, batang atau ranting yang telah mati perlu dipotong dan dibakar. Luka pada bahagian potongan disapu dengan racun kulat atau tree dressing. 

Pengetahuan Berkenaan Racun Kulat - Penting!

Bagi seorang pekebun durian, ilmu berkenaan racun kulat dan pengalaman praktikal yang berikut adalah amat penting untuk dipelajari:

 

  1. Jenis racun kulat (sentuh atau sistemik, specific atau umum)
  2. Boleh mengenalpasti jenis kulat yang menyerang pokok
  3. Mengetahui bahan aktif atau ‘trade name’ racun untuk jenis kulat yang menyerang
  4. Waktu semburan yang sesuai
  5. Proses ‘decision making’ samada untuk mengulangi semburan racun kulat yang sama atau menukar kepada racun kulat yang lain jika tiada pemulihan dilihat pada pokok
  6. Penggunaan cuka kayu sebagai pencegahan atau kawalan serangan awal organik. 

Saya telah menulis artikel khusus berkenaan dengan ilmu racun dengan mendalam yang boleh dibaca di artikel ini. 

Penyakit Serangga Perosak:

Berdasarkan pengalaman saya, serangan serangga perosak jarang menyebabkan kematian kepada pokok durian kecuali serangan ‘stem borer’ atau ulat pengorek batang. 

Mari kita bincangkan satu persatu jenis-jenis serangga perosak yang biasa menyerang pokok durian dan cara-cara menghapuskannya. 

1. Teritip Daun
teritip daun
Kesan teritip (tompokan kuning) di sebelah atas daun
Kelihatan serangga teritip di sebelah bawah daun

Biasa menyerang daun pokok durian pada musim hujan dan panas. Daun sebelah atas terdapat kesan tompokan berwarna kuning. Apabila daun dilihat di sebelah bawah, kita akan melihat sisik-sisik kecil berwarna perang cerah. 

Serangga teritip ini akan melekat pada bawah daun dan menghisap cecair daun yang akan merencatkan klorofil pada daun. 

- Langkah Rawatan

Sembur dengan racun serangga white oil + abamectin atau white oil + dimethoate. Ulangi seminggu sekali. 

Harus saya terangkan disini bahawa dalam kebanyakan kes rawatan, daun pokok tidak akan sembuh. Selalunya pokok akan menggugurkan daun yang diserang dan kemudian akan mengeluarkan pucuk-pucuk yang baru. 

Oleh itu, jangan bimbang jika pokok menggugurkan hampir keseluruhan daun yang dijangkiti.

Nota: Terdapat 2 jenis kepekatan white oil yang dijual di kedai pertanian iaitu 99% (BRT Spray Oil) dan 72% (Albarol). Kedua-duanya boleh digunakan bergantung kepada bajet pekebun. 

2. Kutu Psyllid
kutu psyllid

Biasanya dapat dilihat menyerang pucuk-pucuk dan daun-daun muda pokok durian. Di kebun saya ia tidak menjadi ancaman yang besar kerana bilangannnya yang kecil. 

Serangan kutu ini dalam jumlah yang besar akan menyebabkan pucuk dan daun muda menjadi mengerekot dan akhirnya kering dan gugur.

Kutu psyllid dan larvanya menghisap cecair daun pokok dan bertelur pada lapisan tisu daun. Saiz larva ialah 1mm dan apabila dewasa akan berubah kepada kutu yang mempunyai ekor berbulu panjang bewarna putih. 

- Langkah Rawatan

Terdapat beberapa jenama racun serangga yang boleh digunakan untuk membasmi kutu psyllid. Senarai racun yang telah dicuba dan didapati berkesan ialah:

  1. Confidor (Bayer)
  2. Cypermethrine
  3. Abamectin
  4. Solomon (Bayer)

Beberapa pekebun durian juga telah memberitahu saya penggunaan racun serangga aerosol domestik seperti Bygon dan Ridsect juga berkesan. Pastikan racun serangga aerosol ialah dari jenis ‘water-based’.

Perlu difahami di sini ialah semburan yang pertama akan membunuh kutu psyllid dewasa dan bukan telurnya. Semburan perlu diulangi selepas 5 hari untuk menghapuskan larva yang telah menetas. 

3. Ulat Pengorek Batang

Pada pendapat saya, penyakit pokok durian yang paling merbahaya (disebabkan oleh serangga perosak) ialah ulat pengorek batang atau ‘stem-borer’.

Ulat pengoreng batang ialah larva beberapa spesis kumbang yang terdapat di dalam hutan atau ladang-ladang dan kebun. 

Dalam kebanyakan kes, penanam durian perlu memerhati dan membezakan antara batang pokok durian yang terkena serangan kulat kanker atau serangan stem-borer yang boleh dilihat sebagai sama pada mulanya. 

penyakit pokok durian

Sebagai panduan pembaca, perbezaan yang boleh digunakan untuk mengenalpasti serangan yang mana satu sedang berlaku ialah kewujudan lubang atau lubang-lubang pada permukaan batang samada mengeluarkan lelehan ataupun tidak.

Jika tiada lelehan atau cairan daripada lubang ini bermaksud serangan stem-borer. Namun begitu, ia bukanlah diagnosis yang 100% tepat. Apapun, rawatan dengan cara mengikis kulit pokok dan mendedahkan kaviti lubang akan memberikan petanda yang tepat. 

Untuk gambar kes di atas, selepas kulit dan bahagian kambium batang pokok dikikis, kita dapat melihat larva stem-borer tersebut (gambar bawah). Kita kemudiannya boleh meneruskan proses rawatan pokok dengan menggunakan racun serangga perosak yang sesuai.

stem borer
- Langkah Rawatan

Cara merawat penyakit pokok durian ini ialah dengan mengikis bahagian kulit dan kambium yang telah rosak menggunakan pisau, parang atau besi pengikis.

Kemudiannya, guna racun serangga dengan bahan aktif lambda-cyhalothrin. Diantara jenama dengan bahan aktif ini ialah Karate (Syngenta).

Terdapat kemungkinan ada larva-larva yang masih bersembunyi oleh itu aplikasikan racun ini di keseluruhan kawasan yang dijangkiti atau rosak. 

Kaedah yang lebih murah ialah dengan menyembur racun serangga aerosol water-based ke dalam lubang (tanpa mengikis). Kaedah ini agak berisiko kerana pokok mungkin mati disebabkan oleh semburan ke dalam batang yang berlebihan.   

 

4. Teritip Daun (spesis lain)

serangga teritip
Perosak ini berada di sebelah atas daun dan meninggalkan kesan-kesan pergerakan berwarna kuning pada permukaan daun

Serangga perosak ini baru saya jumpa pada anak-anak pokok durian di nurseri saya di kampung. Menyerupai teritip yang biasa cuma bezanya ialah serangga bersisik ini berada di atas permukaan daun dan bukannya dibawah seperti yang biasa. 

Saya telah menyembur white oil + wetting agent pada daun pokok-pokok yang dijangkiti dan akan memberikan update samada white oil berkesan menanggani jenis serangga teritip ini. 

Pembajaan Pokok Durian Yang Perlu Diketahui

Ramai bakal penanam durian atau penanam baru yang bertanyakan apakah baja yang terbaik untuk pokok durian membesar dengan sempurna dan mengeluarkan buah yang banyak. Disini saya akan berkongsi kaedah pembajaan pokok durian yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan kaedah tambahan yang saya praktikkan di kebun saya. 

Kaedah Pembajaan Disyorkan Oleh Jabatan Pertanian

Berikut ialah rutin pembajaan pokok durian yang disyorkan. Mari kita fahamkan bersama. 

jadual pembajaan pokok durian

Pada tahun pertama hingga pokok berumur 4 tahun, baja NPK yang diperlukan ialah 15:15:15. Pada tahun ke-5 iaitu ketika pokok (dengan pembesaran yang normal) dijangka mula berbuah, baja NPK yang diperlukan ialah 12:12:17:2. Mengapa terdapat perbezaan?

Ketika pokok dalam fasa matang dan persediaan untuk tahun pertama berbunga, baja dengan kandungan nitrogen (N) dan fosforus (P) dikurangkan kerana secara fisiologinya pokok tidak berada di fasa vegetatif tumbesaran lagi. 

NIlai potassium (K) diperlukan dalam jumlah yang lebih iaitu 17 disebabkan elemen ini digunakan oleh pokok untuk pengeluaran bunga, pembentukan dan pembesaran buah. 

Nilai 2 pula ialah nilai untuk Trace Elements atau TE. TE ialah apa-apa nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang kecil tetapi dalam ketiadaannya pokok tidak akan menghasilkan buah yang baik. Contoh TE yang biasanya dilabel oleh pengeluar baja ialah boron, magnesium atau sulfur. 

Dapat difahamkan bahawa kaedah ini menggunakan kedua-dua baja kompoun kimia NPK dan baja organik. Pembajaan sebaiknya diaplikasikan secara berselang seli. 

Kaedah Pembajaan Pokok Durian Di Kebun Saya

Untuk pokok-pokok saya kaedah pembajaan ini diubah dengan membuat penambahan. Tujuannya ialah untuk cuba meningkatkan pembesaran pokok, menguatkan pokok daripada serangan penyakit, merawat pokok yang sakit dan sebagai pengalaman kepada saya. Penambahan yang dilakukan ialah:

  1. Semburan foliar Fastgrow
  2. Semburan mono-potassium phosphate (MKP)
  3. Semburan cuka kayu
  4. Menabur neem cake
  5. Semburan plant booster dan Fish Amino Acid (FAA)
FastGrow

Fastgrow ialah ialah baja cecair foliar yang dikeluarkan oleh FastGrow Fertilizer Sdn. Bhd. Asalnya dirumuskan sebagai baja cecair untuk sawit tetapi kini telah dikembangkan untuk tanaman-tanaman lain termasuklah sayuran.

Apa yang membuatkan Fastgrow istimewa ialah ia mengaplikasikan teknologi kosmetik dimana bancuhan baja cecair ini boleh menyerap melalui batang dan dahan pokok.

Saya sudah menggunakan baja cecair foliar ini selama 2 tahun dan mendapati ia menggalakkan pertumbuhan tunas-tunas baru dengan cepat. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih belum lagi menghabiskan botol Fastgrow 1 liter pertama yang dibeli 2 tahun lepas. 

Berharga dalam lingkungan RM120.00 untuk sebotol 1 liter, penggunaannya amat jimat dengan arahan label 60ml untuk 20L air. 

Mono-potassium Phosphate - MKP

MKP merupakan sejenis garam. Jenama yang saya gunakan ialah Ag-Tech dan diimport dari Eropah. Mempunyai nilai NPK 0-52-43 baja ini memberi faedah kepada pokok dengan menggalakkan pertumbuhan akar dan pucuk baru. Untuk pokok dewasa yang sedang berbuah, MKP memberikan manfaat dengan penghasilan buah yang baik.

Kepekatan bancuhan yang saya gunakan untuk anak durian di bawah 1 tahun ialah 2.0 EC (electrical conductivity) diukur dengan alat EC meter.  

Untuk pokok durian yang berumur 1-2 tahun saya menggunakan kepekatan 4.5 EC.

Bancuhan terbaik ialah dengan menggunakan air suling (bacaan 0 EC) tetapi untuk operasi kebun dengan jumlah bancuhan yang besar, ini tidak praktikal. 

Persediaan dengan bancuhan air paip akan memberikan bacaan pada EC meter sebelum MKP dicampurkan kerana air paip mempunyai ketidaktulenan.

Aplikasi MKP adalah sebagai semburan foliar. Pembaca boleh merujuk cara untuk menyediakan larutan semburan MKP di artikel ini

Cuka Kayu

Cuka kayu tidak didefinasikan sebagai baja, ia lebih kepada vitamin untuk pokok. Cuka kayu dihasilkan daripada membakar kayu atau buluh di dalam relau atau tanur di mana cecair terkondensasi daripada stim yang terhasil dikumpul. Cecair ini disebut cuka kayu. 

Telah digunakan lebih 100 tahun di Jepun untuk kegunaan pertanian dan penternakan, cuka kayu berfungsi sebagai hormon pembesaran, meningkatkan imuniti tumbuhan dan mempunyai ciri-ciri anti-kulat. 

Kaedah kegunaan ialah dengan membancuhkan 1:300 isipadu air dan aplikasi ialah dengan cara semburan foliar. Untuk pokok-pokok durian yang pertama kali hendak disembur dengan cuka kayu, bancuhan sebaiknya perlu dicairkan lagi sebagai membiasakan pokok.   

Cuka kayu juga boleh digunakan sebagai semburan anti-kulat organik dengan cara memyediakannya pada kepekatan yang lebih tinggi iaitu 1:70 atau 1:100. 

 

liquid fertilizers
Cuka kayu (tiga dari kiri) dan Fastgrow (empat dari kiri)
Neem Cake

Sepertimana cuka kayu, neem cake bukanlah baja tetapi adalah ‘soil amendment’ atau perawat tanah. Dihasilkan daripada biji pokok neem, ia mempunyai ciri-ciri anti-serangga, merencatkan pertumbuhan kulat di dalam tanah, merencatkan nematod parasitik dan meningkatkan sistem pertahanan dalaman pokok.

Walaupun tidak diklasifikasikan sebagai baja, neem cake mempunyai analisis NPK 5-1-1 dan membantu meningkatkan kandungan bahan organik dalam tanah. 

Aplikasi adalah dengan cara membuat longkang di keliling radius kanopi pokok durian dan kemudian di tabur dan ditutup semula dengan tanah atau sungkupan. 

Video aplikasi neem cake yang saya lakukan pada pokok-pokok durian boleh dilihat di sini

neem cake
Neem cake (kiri) dan baja tinja ayam proses (kanan)
Plant Booster & FAA

Plant booster juga tidak dikategorikan sebagai baja tetapi penggalak pembesaran semulajadi. Resepi standard untuk membuat plant booster telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian beberapa tahun yang lepas dan boleh dipelajari online. 

Plant booster dihasilkan daripada proses penapaian beberapa bahan sayuran, telur, susu, buahan-buahan, gula perang dan yis. Merupakan cecair oren dan berkelodak serta berbau masam apabila siap untuk digunakan.  

FAA dihasilkan daripada ikan yang diperam dengan ditambah sedikit air, gula merah atau molasses dan serum EM daripada proses penapaian air basuhan beras. Kandungan asid amino yang tinggi hasil daripada pecahan molekul protein ikan memberikan manfaat yang baik untuk pembesaran pokok. 

Untuk kedua-dua plant booster dan FAA, cecair yang terhasil perlu dicarikan terlebih dahulu (biasanya 10ml untuk 1L air) untuk mengelakkan risiko overdos kepada anak benih pokok durian. 

Masa Terbaik Untuk Semburan Foliar

Apabila bercakap tentang pembajaan pokok durian, ramai yang faham dengan menabur baja NPK atau organik sahaja. Kaedah ini membolehkan pokok menyerap nutrien melalui akar. 

Pokok juga menyerap nutrien melalui daunnya. Oleh kerana kita telah banyak membincangkan berkenaan dengan semburan cecair foliar, ada baiknya jika saya berkongsi pengetahuan berkenaan perkara di atas.

Pihak Jabatan Pertanian telah menerangkan di dalam kursus-kursus pertanian yang dianjurkan oleh mereka dengan menyatakan masa yang terbaik untuk semburan foliar ialah ketika awal pagi semasa daun masih lagi basah dengan embun. 

Di Semenanjung Malaysia waktu ini adalah daripada awal pagi hingga pukul 8.30 pagi. 

Penjelasan untuk waktu semburan ini ialah kerana ketegangan permukaan dalam konteks pembasahan yang lebih bagus. 

Sebab lain ialah kerana liang-liang stomata berada dalam keadaan terbuka penuh yang membolehkan semburan foliar diserap dengan lebih menyeluruh oleh daun melalui stomata ke sistem pokok. 

 

stomata
Liang stomata dalam keadaan tutup

Pada pukul 9.00 pagi matahari sudah mulai menyinar dan menyebabkan permukaan daun mula panas. Ini seterusnya menyebabkan liang-liang stomata menutup. Reaksi ini ialah mekanisma pokok untuk mengurangkan kehilangan air melalui evaporasi. 

Penanam juga perlu memahami bahawa bilangan liang-liang stomata banyak terletak di bahagian bawah daun jika dibandingkan dengan bahagian atas daun oleh itu bawah daun perlu disembur dengan sempurna. 

Jika jumlah bancuhan foliar tidak cukup atau untuk mengurangkan kos baja cecair foliar maka penanam boleh menyembur bahagian bawah daun sahaja. 

Adakah Semburan Foliar Perlu Untuk Pokok Durian?

Pada pengalaman saya, semburan foliar adalah perlu. Ini disebabkan oleh faktor-faktor yang dibincangkan di bawah:

  1. Semburan foliar mempunyai sumbangan unsur-unsur nutrien yang tidak ada pada baja kompaun NPK granul
  2. Ketika musim kemarau/kering pembajaan secara taburan granul dan serbuk kurang berkesan
  3. Semburan foliar dapat menyokong untuk memberi nutrien kepada pokok yang ditanam di tanah berpH rendah (asid) atau berpH tinggi (alkali) sementara pH tanah diperbaiki  

Kebanyakan semburan cecair foliar bukanlah baja (makro nutrien) tetapi mikro nutrien, hormon penggalak tumbesaran, vitamin, amino asid dll. Elemen-elemen ini biasanya tidak terdapat di dalam kandungan baja kompoun NPK.

Keperluan yang kedua ialah ketika musim kemarau di mana pembajaan butiran NPK tidak berkesan kerana kekurangan hujan untuk melarutkan baja ke dalam tanah. Baja NPK yang berada di permukaan tanah yang lama akan teroksida dan mengurangkan keberkesanannya.

Sesetengah penanam mungkin akan menanam baja granul dengan membuat lubang-lubang poket atau longkang di keliling kanopi tetapi dengan taburan hujan yang rendah pada musim kemarau baja akan mengambil masa yang lama untuk larut dan terserap ke dalam tanah.

Tanah yang berasid (seperti kebanyakan kes tanah di Malaysia) akan merencatkan penyerapan nutrien oleh akar. 

Di artikel ini saya kongsikan keputusan ujian tanah termasuk ujian pH daripada sampel tanah saya yang dilakukan di MARDI Serdang. 

Semburan foliar NPK dapat membantu menyokong keperluan nutrien pokok ketika tanah distabilkan dengan kapur pertanian atau dolomite. 

Dalam kes semburan foliar MKP yang tidak mengandungi unsur nutrien Nitrogen, penanam boleh mencampurkan MKP dengan potassium nitrat (KNO3) untuk melengkapkan keperluan unsur utama N, P dan K.

Salah satu jenama KNO3 di pasaran
Pertimbangan Pembajaan Yang Lain

Kos pembajaan pokok durian ialah kos kedua terbesar selepas kos gaji pekerja untuk mana-mana kebun atau ladang. Bagi seorang penanam durian, titik keseimbangan perlu dicari antara pembelian baja NPK kimia yang berkos mahal dengan baja organik yang lebih murah.

Dalam kebanyakan kes, kedua-dua baja kimia dan organik digunakan secara berselang-seli dengan 60% adalah kimia dan 40% organik. Terdapat penanam-penanam yang cuba untuk mengaplikasikan penggunaan 30% kimia dan 70% organik (atau-semi-organik).

 

baja organik
Baja 100% organik yang saya gunakan sekarang (harga RM25)

Apabila merancang untuk mengaplikasikan pembajaan organik yang lebih, penanam perlu faham jumlah dan berat baja organik yang digunakan dalam setahun akan jauh lebih tinggi daripada jumlah baja kimia NPK untuk mendapatkan perkembangan yang sama pada pokok.

Untuk jangka waktu panjang, mengaplikasikan baja organik dan bahan pemulih tanah yang lain akan memperbaiki tanah dan tidak sahaja memberi nutrien pada pokok-pokok.

Bagi manfaat penanam-penanam baru, pokok durian terutamanya pokok-pokok yang masih muda amat sensitif kepada klorida dan lebih suka kepada potassium daripada sulphate-of-potash (SOP) dan bukan muriate-of-potash (MOP) yang lebih murah. 

Sebagai ‘rule of thumb’, penanam perlu peka dengan kehadiran unsur klorida di dalam kandungan baja sebelum membeli. Baja untuk pokok sawit dan pokok getah secara umumnya adalah tidak sesuai untuk pokok durian. 

Apakah rutin pembajaaan pokok durian yang anda lakukan sekarang? Kongsikan komen anda di ruang komen di bawah. 

Jenis Tanah Yang Sesuai Untuk Penanaman Durian

Kandungan bahan organik (OM), cation exchange capacity (CEC) dan kandungan nutrien tanah asli di kebun adalah penting untuk membesarkan anak-anak pokok durian dengan sihat. Jenis tanah yang tidak sesuai atau kurang sesuai akan menyebabkan anak pokok durian terbantut selepas 3 bulan penanaman. 
Sampel tanah pada teres
Pengenalan
Pokok durian boleh ditanam dengan jayanya pada jenis-jenis tanah yang berlainan, namum begitu pembesaran yang optimum dan pembuahan yang baik berlaku pada tanah subur, dalam (tanpa batuan), loam berpasir dengan saliran baik atau loam tanah liat yang kaya dengan bahan organik.
 
Tanah yang biasanya digunakan untuk penanaman pokok durian ialah jenis tanah alluvial yang berasal dari batuan basaltic tetapi pokok durian juga boleh membesar dengan baik pada tanah merah lateritic (seperti dalam kes saya) dengan syarat pembajaan dengan baja NPK dan rawatan dengan bahan organik dilakukan secara konsisten dan berjadual.
 
Ujian Tanah di MARDI Serdang
Julat pH tanah di antara 5.5 sehingga 6.8 diklasifikasikan sebagai ideal. Pada pH yang tinggi, kekurangan zat besi dan zink kebiasaannya dapat dilihat sementara pada pH yang rendah, terdapat beberapa nutrien yang tidak dapat diserap oleh akar oleh kerana nilai CEC yang rendah. Saya akan membincangkan berkenaan dengan perkara ini di perenggan-perenggan berikut.
 
Saya telah menghantar email kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI untuk meminta sebutharga bagi perkhidmatan ujian tanah yang ditawarkan dan prosedur persampelan. 

Dibawah ini ialah mukasurat pertama borang permohonan ujian MARDI.
 
 
jenis tanah
Borang ujian tanah MARDI Lab
Saya telah memilih untuk menguji sebahagian parameter ujian dibawah Major Elements, Trace Elements dan Soil Criteria seperti yang dapat dilihat di mukasurat kedua borang ini. MARDI Lab akan mengenakan cas bayaran mengikut jumlah ujian yang dipohon. Ini bermakna lebih banyak ujian lebih mahal harganya.
 
Laporan lengkap ujian diperolehi selepas 4 minggu sampel tanah dihantar. Harus diterangkan di sini bahawa makmal ini hanya menjalankan ujian tanah, penterjemahan parameter ujian, kesimpulan ujian beserta langkah-langkah penambahbaikan tanah perlu dibawa ke Jabatan Sains Tanah MARDI untuk perbincangan tambahan.
 
Perbincangan dengan Jabatan Sains Tanah MARDI ini adalah pilihan, tidak wajib dan tidak termasuk di dalam cas bayaran ujian tanah oleh MARDI Lab.
 
Borang lengkap MARDI Lab boleh dimuat turun di sini
 
Parameter ujian yang ditawarkan
 
Kebun saya mempunyai 3 jenis tanah yang berlainan ciri-ciri fizikal disebabkan oleh lokasi-lokasi yang berlainan. Sampel-sampel tanah ini diambil dan disediakan mengikut garispanduan MARDI Lab seperti dibawah:
 
  1. Berat sampel tanah yang dihantar adalah 200 gram atau lebih
  2. Sampel tanah perlu dihantar dalam keadaan kering dan tidak lembap atau basah.
  3. Sampel tanah perlu dihantar dalam bekas yang bertutup rapi dan berlabel.
Sebarang ketidakpatuhan dengan prosedur diatas akan menyebabkan penambahan tugas atau penggunaan alatan pakai-buang oleh MARDI Lab dan kemungkinan makmal akan mengenakan cas bayaran tambahan.
 
Lokasi Sampel Tanah #1: Pada Teres
 
Jenis tanah ini boleh dilihat pada semua teres di dalam kebun saya. Berciri fizikal warna oren, sedikit berpasir, mudah hancur dan apabila digengam mudah hancur dan rasa seperti roti lembut. mempunyai bau sedikit kimia dan tidak berbau seperti tanah hutan.
 
Tidak mempunyai kandungan organik yang tinggi disebabkan warna yang tidak gelap. Bertukar kepada ciri-ciri tanah liat (melekat) apabila basah menyebabkan ia berisiko menyimpan air yang berlebihan ketika hujan. Tanah jenis ini ialah tanah yang di bawah topsoil asal. Topsoil telah dialihkan ketika kerja-kerja membuat teres dilakukan oleh excavator.
 
 
 Lokasi Sampel Tanah #2: Pada Cerun Teres
 
Jenis tanah yang kedua ialah topsoil asal. Tanah ini terdapat pada cerun-cerun di antara teres-teres yang tidak dialihkan atau tidak ditolak semasa kerja pembersihan tanah dan membuat teres.
 
Berwarna agak kelabu dengan kandungan bahan organik yang lebih tinggi. Loam berpasir, mudah hancur bila digenggam dengan tangan. Mempunyai bau yang sama dengan tanah #1 tetapi kurang berbau kimia.
 
 
Lokasi Sampel #3: Pada Lembah
 
Mempunyai kandungan pasir yang paling tinggi jika dibandingkan dengan tanah jenis #1 dan #2 dengan kandungan bahan organik mereput yang paling tinggi juga bila dilihat dengan mata kasar. Berwarna gelap ketika lembap atau basah dan bertukar kepada kelabu ketika kering.
 
Tanah jenis ini bercampur dengan batuan-batuan kecil dan mempunyai kandungan kelodak.
 
Contoh keputusan sampel tanah dapat dilihat di bawah. Keputusan ini ialah untuk Sampel Tanah #1. Bergantung kepada parameter ujian yang dipohon oleh pelanggan, lampiran keputusan ini adalah berbeza.
Laporan ujian tanah (Page 1/3)
Ujian Parameter: Cation Exchange Capacity
Dapat dilihat daripada lampiran keputusan ini bahawa nilai CEC ialah 8.5 meq/100gm. Unit untuk nilai CEC yang digunakan oleh makmal ujian tanah ialah miliequivalent per 100 gram tanah keringan ketuhar.
 
Kation ialah ion-ion nutrien bercas positif pada molekul tanah yang akan tertarik dan bergerak ke permukaan akar. Nilai CEC juga berkait rapat dan berkadar terus dengan nilai pH. Semakin tinggi pH (menghampiri neutral iaitu 7), semakin tinggi bacaan CEC.
 
Tanah yang mempunyai nilai CEC yang tinggi secara amnya adalah lebih subur dan mampu menyimpan dan membekalkan lebih nutrien kepada pokok. Nilai CEC yang tinggi (>25) adalah penanda aras yang tanah itu mempunyai ciri-ciri lebih kepada tanah liat dan mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi. Ini menyebabkan ia dapat menyimpan banyak kation nutrien untuk diserap oleh akar pokok.
Tanah yang mempunyai nilai CEC yang rendah (<5) menunjukkan ia mengandungi pasir yang tinggi dengan kandungan organik yang rendah atau tiada kandungan organik dan tidak dapat memegang banyak kation. Implikasi kepada keadaan ini ialah pemindahan nutrien dari tanah ke akar pokok terlalu kurang atau terencat.
 
Dengan kata lain, akar tidak dapat memperolehi nutrien daripada jenis tanah ini atau pun melalui pembajaan.
 
Berdasarkan kepada hujah di atas, menabur baja dengan jumlah yang besar tidak akan berkadar terus dengan peningkatan serapan nutrien oleh akar pokok. Baja hanya akan melarut dan melecet dan membawa kepada pembaziran kos pembajaan.
 
Kesimpulan yang diperolehi ialah nilai CEC tanah saya di lokasi persampelan, ia berada di julat pertengahan rendah. Untuk memperbaiki parameter ini, terdapat 2 cara yang saya gunakan berdasarkan kepada pembacaan:
 
  1. Meningkatkan nilai pH tanah. Ini dapat dilakukan dengan menabur kapur pertanian pada diameter kanopi pokok. Aplikasi ini dilakukan setiap 6 bulan dan boleh juga ditambah kekerapan bergantung kepada kondisi semasa pokok.
  2. Aplikasi kompos siap atau sungkupan dengan tebal keliling kanopi pokok. Ini lama-kelamaan akan menambahkan kandungan bahan organik pada tanah.
Perawatan tanah pada lokasi #1 ini adalah paling penting kerana kesemua anak pokok-pokok durian saya ditanam di kawasan teres.
 
Kaitan pH Tanah Dengan Penyerapan Nutrien Tumbuhan

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, nilai CEC berkait rapat dengan jenis tanah dan juga nilai pH tanah tersebut. Nilai pH pula akan mempengaruhi ketersediaan nutrien-nutrien untuk diserap oleh akar.

ph_chart 1

Carta di atas menunjukkan perhubungan antara pH tanah dengan ketersediaan (availability) nutrien atau kebolehan akar menyerap nutrien. Dapat dilihat bahawa setiap nutrien mempunyai julat ketersediaan yang berbeza pada nilai pH yang berbeza. 

Daripada carta ini, kita boleh merumuskan bahawa nilai pH yang optimum iaitu nilai pH dimana kesemua nutrien berada dalam keadaan ketersediaan yang tinggi ialah pada pH 6.5.  

Parameter Tanah: Karbon
Tumbuhan memperolehi keperluan karbon untuk pembesaran melalui karbon dioksida yang terdapat di udara. Sebahagian kecil karbon diserap dari karbon organik yang terdapat di dalam tanah.
 
Karbon menyumbang kepada sebahagian besar bongkah pembinaan untuk pokok mengeluarkan daun, dahan dan akar baru.
 
Mempraktikkan sungkupan atau ‘mulching’ dan meletakkan kompos akan meningkatkan kandungan organik karbon di dalam tanah. Sisa hutan semulajadi yang mereput juga mempunyai kesan yang sama.
mulching
Daun-daun kering untuk tujuan 'mulching'
Tanah bakar iaitu produk sampingan pembakaran bahan organik boleh juga ditabur di sekeliling permukaan tanah untuk menambahkan karbon. Walaupun begitu, tanah bakar yang baru tidak digalakkan kerana pH nya yang beralkali. Jika tanah berasid tinggi maka ia boleh digunakan.
 
Saya biasanya menggunakan tanah bakar yang diambil daripada tempat pembakaran sisa tumbuhan di belakang rumah saya atau di kebun. 

Satu praktis yang baik ialah untuk tidak mencampurkan sampah domestik yang mengandungi plastik atau bahan bukan organik lain agar tanah bakar yang terhasil tidak tercemar dengan bahan sintetik atau kimia.
biochar soil
Tanah bakar yang dibuat di rumah
Parameter Tanah: Nitrogen, Potassium & Fosforus
Ketiga-tiga nutrien ini adalah elemen utama yang diperlukan oleh tumbuhan berbuah.
 
Sumber nitrogen diambil daripada tanah oleh pokok durian tetapi bagi tumbuhan jenis ‘nitrogen fixing’ seperti kekacang sumber nitrogen diambil daripada udara dan disimpan di dalam nod-nod akar.
 
Tanda-tanda kekurangan nitrogen akan menyebabkan klorosis pada daun oleh kerana tumbuhan menggunakan unsur ini untuk membina klorofil.
 
Keputusan ujian sampel tanah saya menunjukkan kandungan nitrogen sebanyak 0.21% yang terlalu sedikit.
 
Unsur potassium mempunyai banyak fungsi pada tumbuhan. Kegunaan terpenting ialah ia digunakan oleh tumbuhan untuk mengawal pembukaan dan penutupan stomata daun sekaligus mengawal pengambilan CO2.
 
Berdasarkan keputusan sampel tanah, kandungan potassium di dalam tanah hampir tidak wujud.
 
Situasi ini sama dengan kandungan fosforus. Unsur ini digunakan oleh tumbuhan untuk pembesaran akar dan membantu di dalam mengubah nutrien-nutrien lain kepada blok-blok pembinaan untuk pembesaran tumbuhan.

Cara-cara Meningkatkan Kandungan NPK
Cara rutin pertama untuk meningkatkan kandungan ketiga-tiga unsur ini di dalam tanah ialah dengan menabur baja granul NPK atau menabur baja organik. Kaedah lain ialah mengaplikasikan ‘soil amendments’ atau perawatan tanah.
 
Kaedah mudah untuk meningkatkan fosforus ialah dengan menabur ‘rock phosphate’. Jenis rock phosphate yang saya gunakan ialah CIRP atau Christmas Island Rock Phosphate. Rock phosphate lain yang boleh digunakan termasuklah ERP atau Egyption Rock Phosphate.
 
Satu kaedah lain yang saya gunakan tetapi agak jarang yang dapat meningkatkan kedua-dua potassium dan fosforus ialah dengan menabur MKP atau mono-potassium phosphate pada kanopi pokok.
 
Walaupun begitu, MKP disyorkan untuk diaplikasi dengan cara semburan foliar dan bukan baja tabur. Risiko overdos adalah tinggi apabila digunakan sebagai baja tabur kerana tiada garis panduan timbangan berat untuk menabur MKP.
 
Di artikel ini saya membincangkan bagaimana saya menyediakan bancuhan larutan MKP untuk semburan foliar. 
 
Aplikasi semburan foliar adalah lebih selamat kerana ukuran kepekatan bancuhan MKP dapat diukur dengan EC meter. Untuk pokok durian berumur 8 bulan ke bawah saya menggunakan 3.5 EC dan 4.5 EC untuk pokok durian berumur 12-18 bulan.
 
Saya akan meningkatkan kepekatan bancuhan sedikit demi sedikit selari dengan umur dan pembesaran pokok.
 
 
Perbezaan Antara Baja Kimia dan Baja Organik
Kesan penggunaan baja NPK atau semburan foliar kimia ke atas pokok dapat dilihat selepas 3-4 hari tetapi untuk baja organik kesannya hanya akan dapat dilihat selepas 3 minggu.
 
Harus difahami oleh setiap pekebun durian bahawa baja organik dengan kandungan nitrogen, potassium dan fosforus yang lemah berbanding baja NPK kompaun dan semburan foliar kimia bukan sahaja memberi makanan kepada pokok tetapi ia juga memberi makanan kepada microorganisma hidup di dalam tanah.
 
Baja organik juga memperbaiki struktur tanah, meningkatkan kandungan organik, memperbaiki pH tanah dan meningkatkan kebolehan tanah untuk menyimpan air.
 
Sebagai seorang penanam durian, saya akan sentiasa memperbaiki tanah dengan pelbagai sumber bahan organik dan humus untuk faedah jangkamasa panjang. 
 
Penggunaan baja kimia NPK dan semburan foliar akan diigunakan berselang-seli sebagai sumber nutrien segera untuk anak-anak pokok durian di kebun saya.
 
Jenis baja dan kaedah pembajaan yang saya gunakan dikebun sendiri boleh dibaca dengan terperinci di artikel ini
 
Apakah jenis tanah dikebun durian anda? Adakah anda menggunakan baja kimia NPK untuk anak-anak pokok durian berumur <1 tahun? Saya ingin mendengar pandangan anda di ruangan komen di bawah. 

2 Tanaman Penutup Bumi Terbaik Untuk Kebun Durian

Pembaca mungkin beranggapan bahawa tanah akan terdedah selepas pembersihan, penolakan tanah untuk membina teres dan kerja meratakan teres – benar, penutup bumi perlu ditanam segera.

Kerja pembersihan tanah dan membuat teres dikebun saya boleh dibaca di artikel ini

Saya mempunyai 2 jenis tanaman penutup bumi yang ditanam selepas kerja-kerja tanah dan membuat teres. Yang pertama ialah ‘cow grass’ atau Axonopus compressus yang biasa dilihat di padang sekolah-sekolah dan kawasan perumahan, juga di tepi jalan yang ditanam oleh pihak perbandaran. 

Penutup bumi yang kedua ialah suatu pokok legum iaitu kacang pintoi atau Arachis pintoi, tumbuhan yang cantik dengan daun berbentuk bujur dan mempunyai bunga berwarna kuning.
 
Cow grass diperolehi daripada nurseri di Sungai Buloh, Selangor dimana sebahagian besar rumput yang digunakan untuk projek perumahan dan kerja-kerja landscaping di Lembah Klang diperolehi.
 
Mengapa saya mendapatkan cow grass di sini bukan kerana terdapat banyak rumput yang dijual atau kerana harganya tetapi kerana terdapat beberapa nurseri yang menjual apa yang dinamakan sebagai ‘grass sod’.
Pekerja memotong sod cow grass menggunakan mesin
Kebiasaannya, rumput dibesarkan di dalam plastik segi empat tepat bersaiz 1 kaki X 2 kaki panjang beberapa minggu sebelum dijual. Masalah dengan rumput yang dibekalkan oleh nurseri dengan kaedah ini ialah tanah yang diletakkan di atas plastik ini sedikit dan tidak dalam.
 
Ini akan menimbulkan 3 masalah. Masalah pertama ialah tanah yang sedikit akan menyebabkan rumput mudah kering samada apabila melalui perjalanan jauh, diletakkan di dalam but kereta yang panas atau saya menunda penanaman rumput kerana sebab-sebab tertentu.
 
Masalah lain ialah semasa mengangkut dan menanam rumput yang dibekalkan dalam plastik ialah ia mudah pecah dan terkoyak.
Sekeping sod
Sod cow grass dipotong segar daripada tanah ketika membeli. Tanah yang melekat pada rumput juga lebih tebal. Ia memberikan saya ‘safety margin’ jika saya perlu menangguhkan penanaman rumput selama beberapa hari agar rumput tidak kering dan mati.
 
Keburukan membeli sod cow grass ialah ianya lebih berat untuk luas rumput yang sama dan pihak nurseri perlu diberitahu terlebih dahulu sebelum datang ke nurseri untuk mengambil sod-sod ini kerana pekerja mengambil masa untuk memotongnya. Harga untuk setiap sod cow grass ialah RM1.20 ketika blog ini ditulis.
 
Kelebihan penggunaan cow grass adalah seperti berikut:
1.  Jenis rumput yang paling murah dijual
2. Merebak dengan cepat dan tidak tinggi (kurang memesin rumput)
3. Daya tahan kemarau yang baik
Jenis-jenis rumput lain yang dijual ialah rumput karpet Jepun, rumput Bermuda, rumput Zoysia dan rumput Mutiara – hijau dan berbelang (variegated)
Sod cow grass yang siap ditanam di cerun
Penanaman rumput dilakukan oleh beberapa orang pekerja saya. Disebabkan kawasan penanaman yang luas dan penghantaran sod rumput perlu dilakukan dalam beberapa trip, strategi penanaman diperlukan.
 
Pertimbangan untuk penanaman:
 
Kawasan cerun atau kawasan yang tinggi hakisan hujan ditanam dahulu.
 
Tanah keliling pangkal anak pokok durian juga ditanam dahulu untuk menstabilkan tanah dan menyejukkan akar anak pokok.
 
Sod rumput dipotong kepada empat bahagian yang sama besar. Tujuannya untuk memastikan rumput merebak dengan cepat dan mengurangkan rumput membesar secara menegak. Apa yang diperlukan ketika ini ialah pembesaran secara mendatar.
 
 

Saya telah mengaturkan masa penanaman untuk selari dengan permulaan musim hujan di Malaysia agar penyiraman tidak perlu dilakukan dengan kerap untuk mengelakkan rumput kering, tetapi dalam masa yang sama juga hujan tidak terlalu lebat yang boleh menghanyutkan sod-sod rumput (terutamanya di cerun).

Tanaman penutup bumi yang kedua ialah kacang pintoi atau Arachis pintoi. Berdasarkan kepada pembacaan dan research saya di dalam internet, pokok ini tidak dijual di mana-mana nurseri di Malaysia. Biji benihnya juga tidak dijual walaupun di dalam internet.
 
Saya telah menghantar email kepada penjual biji benih dan nurseri di Thailand, Miami dan Amerika Selatan tetapi mereka tidak mepunyai stok atau telah berhenti menjualnya.
 
Walaupun begitu, kacang pintoi ini telah saya temui tumbuh liar di tepi jalan di Tapah dan Chenderiang. Saya tidak tahu bagaimana kacang pintoi ini boleh tumbuh di kawasan-kawasan ini tetapi saya merasakan pokok ini pernah dijual di nurseri-nurseri atau ditanam oleh individu-individu tertentu sebelum ini.
Kacang pintoi yang tumbuh liar di tepi jalan
Kelebihan menanam pokok kacang pintoi adalah:
1. Pokok jenis legum yang menyimpan nitrogen
2. Daya tahan kemarau yang tinggi apabila sudah bertapak
3. Mempunyai ciri pokok lanskap dengan bunga berwarna kuning
4. Tumbuh rapat ke tanah (kurang keperluan untuk memesin)
Gambar menunjukkan keratan yang telah saya besarkan dari pokok kacang pintoi yang dikutip. Plug-plug kacang pintoi ini buleh dipindahkan ke kebun selepas 2 minggu keratan dihasilkan.
 
Saya telah menyediakan 100+ keratan walaupun begitu saya menjangkakan saya memerlukan hampir 1000 plug keratan untuk menutup kawasan tanah dikebun.
Penutup Bumi Yang Tidak Sesuai Untuk Kebun Durian
Meneruskan perbincangan, terdapat tanaman penutup bumi komersil yang lain iaitu:
1. Mucuna bracteata (MB)
2. Calopogonium mucunoides (CM)
 
Kedua-dua tanaman penutup bumi ini tidak asing bagi pengusaha ladang sawit dan boleh didapati dalam bentuk biji benih. MB digunakan secara meluas di ladang-ladang sawit di Malaysia. Ia membesar dengan amat cepat (10-15 cm sehari) dan memerlukan frekuensi pemesinan rumput yang kerap.
 
Jika aktiviti memesin tidak dibuat secara berkala (mingguan), ia akan menjadi berlapis-lapis yang mencecah paras lutut. Keadaan ini mengundang ular dan binatang berbisa lain untuk bersarang.
MB ditanam secara meluas di ladang-ladang sawit
Sebagai pengusaha kebun durian berskala kecil dengan sumber tenaga kerja yang terhad, saya tidak mampu untuk menghabiskan masa dan tenaga untuk memesin dengan tahap kekerapan setiap minggu. MB dilihat tidak sesuai untuk menjadi tanaman penutup bumi di kebun durian.
 
CM sepertimana MB adalah tanaman penutup bumi yang benihnya mudah didapati di kedai-kedai pertanian. Seperti MB, tanaman legum ini membesar dengan menjalar dan juga memanjat. Batang dan daunnya diliputi dengan rerambut yang boleh menimbulkan kesan miang jika tergosok pada kulit.
CM juga berfungsi sebagai penutup bumi
Kerja-kerja fizikal akan menjadi tidak selesa di kebun yang diliputi oleh tanaman ini.
 
CM yang mempunyai ciri-ciri memanjat juga akan menimbulkan gangguan kepada anak-anak pokok durian. Ini memerlukan penjagaan yang berterusan supaya anak-anak pokok durian tidak dipanjat dan dilitupi oleh tanaman CM.

Selepas membincangkan pilihan-pilihan yang ada, dapat disimpulkan bahawa cow grass dan kacang pintoi adalah pilihan yang paling sesuai untuk dijadikan tanaman penutup bumi di sebuah kebun durian. 

Sebagai rujukan pembaca, Jabatan Pertanian telah mengeluarkan garis panduan Edisi 2020 yang juga menyentuh keperluan untuk tanaman tutup bumi. 

penutup bumi

Garis panduan ini boleh dibaca dan dimuat turun di sini.

Adakah anda menanam tanaman penutup bumi di kebun sendiri? Jika tidak mengapa? Sila komen di ruangan di bawah. 

6 Cara Memilih Benih Pokok Durian – wajib diketahui

Anak benih durian di nurseri
Anak benih durian dijual di nurseri

Perkara pertama seorang penanam durian perlu melakukan dengan betul ialah apabila memilih benih pokok durian untuk ditanam.
Isu ini bukan tentang harga samada mahal atau murah tetapi lebih kepada pemilihan jenis klon anak benih yang hendak ditanam dan kebolehupayaan anak benih itu untuk hidup dan membesar.

Kesilapan yang biasanya terjadi (dan ia terjadi dengan kerap pada pemerhatian saya) ialah apabila membeli anak benih dari klon yang tidak dalam perancangan penanam. 

Bayangkan, hanya apabila pokok durian berbuah penanam mengetahui anak benih yang ditanam 4-5 tahun dahulu rupanya bukan klon yang dikehendakinya. 

Telah banyak wang, masa dan sumber-sumber lain dihabiskan hanya untuk mengetahui anak benih yang dibelinya dahulu ialah benih D24 dan bukannya D197 Musang King. 

Kesilapan semasa membeli anak benih oleh bakal penanam diburukkan lagi oleh komuniti penjual yang tidak berpengalaman atau orang tengah yang menjual anak-anak benih yang diambil daripada sumber yang tidak diketahui atau daripada nurseri-nurseri yang tidak diketahui kesahihannya. 

Individu-individu sebegini berniaga hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Saya menasihatkan bakal-bakal penanam jangan membeli anak benih di pasar-pasar malam atau melalui online (online seller yang tiada nurseri sendiri- agent/dropshipper).

Menyentuh cara-cara untuk mengenalpasti anak-anak benih dari klon-klon tertentu, sesetengah klon anak benih dapat dikenalpastikan daripada bentuk, tekstur atau warna daun. 

Contohnya ialah Musang King yang mempunyai hujung daun berbentuk cangkuk pada daun dewasa dan berombak di tepi pada daun muda. 

Contoh lain ialah anak benih D200 Duri Hitam yang mempunyai dahan-dahan yang melentok ke bawah. Ciri-ciri ini dapat membantu bakal penanam untuk mengenalpasti kesahihan anak benih yang hendak dibeli. 

Walau bagaimanapun, isunya ialah terdapat klon-klon berlainan yang menunjukkan ciri-ciri fizikal pada daun yang agak sama dan sukar untuk ditentukan. Ada juga klon yang tidak mempunyai apa-apa ciri yang unik. 

Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT)

Cara terbaik untuk bakal penanam mendapatkan anak benih yang betul ialah dengan membeli anak benih daripada nurseri-nurseri yang tergolong di dalam senarai pensijilan SPBT. Pensijilan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. 

Skim pensijilan SPBT ini tidak hanya dikeluarkan untuk anak-anak benih pokok durian sahaja tetapi juga untuk buah-buahan tropika yang lain seperti mangga, nangka, cempedak dan manggis. Dengan kata lain, skim ini diaplikasikan untuk tanaman buahan yang mempunyai kultivar-kultivar yang berlainan. 

Pihak Jabatan Pertanian akan menentusahkan klon/kultivar anak benih pokok durian dengan cara merekodkan sumber scion pokok dewasa yang akan digunakan untuk cantuman oleh nurseri-nurseri. 

Harus diketahui bahawa pensijilan ini adalah tidak wajib bagi pihak pengusaha nurseri. 

Senarai nurseri-nurseri berpandukan negeri yang mempunyai pensijilan SPBT boleh di dapati di laman web Jabatan Pertanian. Senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. 

Bagi saya, anak-anak benih dibeli daripada nurseri di Kajang, Muar, Bidor dan Kuala Kangsar yang kesemuanya menyertai pensijilan SPBT. 

Saya juga pernah membeli 2 anak benih Musang King daripada Putra Mart, nurseri yang diusahakan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang. 

Nurseri ini tidak mempunyai pensijilan SPBT tetapi pada pemerhatian dan reputasi UPM, mereka boleh dipercayai. 

Saya juga ingin menyatakan di ruangan ini bahawa tidak semua nurseri SPBT menggunakan polibeg berlogo SPBT Jabatan Pertanian dan ia juga tidak bermakna nurseri-nurseri yang menjual anak-anak benih di dalam polibeg berlogo SPBT adalah nurseri yang mendapat pensijilan SPBT.  

Polibeg 'standard' SPBT
Kenapa Beli Anak Benih Pokok Durian Cantuman?

Di Malaysia sebagaimana juga di negara-negara pengeluar durian di dunia, wujud 3 jenis kategori buah durian iaitu durian ‘kampung’, durian klon dan durian hutan.

Durian kampung ialah durian yang dihasilkan oleh pokok-pokok durian yang ditanam daripada biji. Biji ini pula terhasil daripada proses pendebungaan silang pokok-pokok durian kampung yang lain. 

Durian kampung dari aspek komersil tidak mempunyai rasa, warna, bentuk buah dan saiz buah yang konsisten. Kebanyakannya mempunyai biji yang besar dengan isi yang nipis. Ia juga mempunyai warna isi yang pucat berwarna keputihan atau ‘cream’. Sesetengahnya mempunyai isi yang agak basah. 

Disebabkan ciri-ciri ini, durian kampung mempunyai nilai komersil yang rendah. Ia tidak mempunyai standard kualiti yang seragam malahan penjual buah durian kampung juga tidak boleh menjangkakan isinya sehinggalah buah dibuka untuk dilihat oleh pembeli. 

Walaupun begitu, terdapat buah durian kampung yang mempunyai standard jangkaan yang konsisten contohnya durian kampung Batu Kurau dan durian kampung di sesetengah tempat di Pahang. Durian jenis ini juga mempunyai ciri-ciri dan rasa yang mirip kepada durian klon. 

Apa yang membezakan durian kampung jenis ini ialah penstandardan. Jika buahnya didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dan dibiakkan secara cantuman, ia juga akan menjadi durian klon dengan nama yang khusus.

 

anak benih durian
Anak benih durian MDUR88, D145 Beserah dan Tembaga Layang

Seperti yang telah diperkatakan, durian klon dibiakkan secara cantuman, mempunyai nilai komersil yang lebih tinggi, rasa yang lebih baik dan konsisten, warna isi yang konsisten dan berat, bentuk yang juga konsisten. 

Di Malaysia, durian klon ialah durian yang mempunyai nama pendaftaran bermula dengan huruf ‘D’. Terdapat juga klon yang tidak mempunyai nama yang bermula dengan ‘D’ hanya kerana ia tidak didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Contohnya ialah klon-klon di Pulau Pinang. 

Durian klon dihasilkan oleh pokok-pokok durian yang dibiakkan daripada scion yang diambil daripada pokok dewasa yang diketahui nama klonnya. Scion ini akan dicantumkan dengan ‘rootstock’ atau pokok penanti kampung atau hutan. Pembiakan cara ini disebut pembiakan ‘asexual’. 

Scion yang diambil daripada pokok durian klon dewasa yang diketahui namanya

Scion-scion ini akan melalui proses cantuman dengan rootstock durian kampung yang mempunyai daya rintangan terhadap penyakit akar, tahan kemarau dan kebolehan untuk beradaptasi dengan keadaan tanah sekeliling. 

Harus dinyatakan, penggunaan roostock durian kampung adalah piawaian biasa untuk proses cantuman namun rootstock yang terbaik ialah daripada durian hutan (durio graveolens, durio oxyleyanus dll.) iaitu mana-mana durian yang tidak tergolong di dalam sub-spesis durio zibethinus.  

Durian hutan yang dijual di tepi jalan

Durian hutan ketika ini agar sukar untuk ditemui pokoknya. Ia masih terdapat di kawasan hutan dalam di Semenanjung Malaysia. Di Sarawak pokoknya masih boleh di dapati di kawasan kampung di pinggiran hutan. 

Pengurangan populasi durian hutan mungkin disebabkan oleh pembukaan tanah-tanah hutan yang baru untuk pembangunan dan ladang tanaman komoditi dan tanaman kontan. 

Kajian kertas-kertas penyelidikan menunjukkan spesis bukan durio zibethinus berdaya rintang terhadap kulat P. palmivora kerana sifatnya yang hidup di kawasan kelembapan tinggi dan berair. 

Daripada aspek rasa isi, durian hutan mempunyai rasa yang agak janggal dengan laporan orang-orang yang pernah merasanya menyatakan kesan seperti mabuk dan pening kepala jika dimakan dalam jumlah yang banyak.  

Pada ciri-ciri fizikal, ia lebih kecil, mempunyai duri yang panjang dan berpusing serta kulit berwarna hijau. 

Jenis-jenis Teknik Cantuman Anak Benih

Terdapat beberapa jenis teknik cantuman yang digunakan oleh nurseri dan pencantum individu. Teknik-teknik ini adalah:

  1. Cantuman mata tunas
  2. Cantuman baji
  3. Cantuman kaki ganda
  4. Cantuman dewasa

Teknik pertama iaitu cantuman mata tunas ialah yang paling biasa di mana 90% daripada anak benih pokok durian yang dijual di nurseri-nurseri di biakkan dengan kaedah ini. 

Cantuman mata tunas dibuat dengan cara memasukkan scion pendek yang mempunyai mata tunas yang masih belum pecah. Ia kelihatan seperti sebiji beras. Seperti yang dapat dilihat di bawah, terdapat 2 mata tunas dengan mata tunas atas tidak boleh digunakan lagi kerana telah pecah. 

2 keadaan mata tunas yang berbeza

Bahagian scion yang termasuk mata tunas yang belum pecah ini dipotong pendek dan seterusnya dipotong separuh (arah memanjang). Bahagian ini akan dipadankan dengan rootstock yang lapisan kambiumnya telah didedahkan dengan cara menyiat kulit. 

Apa yang terhasil ialah bahagian kambium pada rootstock yang bercantum dengan bahagian kambium pada scion (yang mempunyai 1 mata tunas).  

Scion dan rootstock yang telah dipadankan ini akan dililit menggunakan parafilm dengan bahagian mata tunasnya dibiarkan terdedah. Jika cantuman ini berjaya, mata tunas akan pecah selepas seminggu dicantum dan akan terus membesar. 

Dalam masa beberapa minggu mata tunas ini akan menjadi batang utama anak benih pokok durian. 

Batang rootstock yang terletak di bahagian atas cantuman dipotong atau dalam kebanyakan keadaan akan kering dan mati. Mana-mana tunas baru yang keluar daripada batang rootstock perlu dibuang kerana tunas-tunas ini ialah tunas rootstock yang membawa genetik rootstock yang tidak dikehendaki. 

Genetik mata tunas daripada scion akan membawa genetik pokok dimana scion itu diambil. 

Di Thailand, cantuman baji merupakan teknik yang digunakan secara meluas di mana 90% pembiakan anak benih durian menggunakan teknik cantuman baji. 

Teknik ini berbeza di mana keseluruhan keratan scion digunakan. Sebahagian batang rootstock akan dipotong dan kemudiannya diameternya akan dihiris untuk membentuk bukaan ‘V’. Scion akan diselitkan pada bukaan dan kemudiannya cantuman akan diikat. 

Kaedah ketiga ialah cantuman kaki ganda. Caranya ialah dengan mencantumkan 2 atau 3 roostock dengan salah satu rootstock telah dicantumkan terlebih dahulu samada melalui teknik pertama atau kedua. 

Lapisan kulit kesemua roostock yang hendak dicantum akan dihiris untuk mendedahkan kambium. Proses seterusnya ialah dengan mencantumkan kesemua rootstock sebelum dililit dengan parafilm. 

Cantuman kaki ganda (2 kaki) anak benih di barisan hadapan

Secara teorinya, kelebihan cantuman jenis ini ialah anak benih yang mempunyai set akar yang berganda akan membolehkannya menyerap nutrien dan air dengan kadar yang lebih tinggi. Ketahanan terhadap kemarau juga secara logiknya lebih baik. 

Harga anak benih kaki ganda dijual secara premium iaitu lebih mahal jika dibandingkan dengan anak benih cantuman mata tunas dan baji.

Saiz Anak Benih Pokok Durian Untuk Dibeli

Kebanyakan masanya, pertimbangan saiz anak benih yang hendak dibeli dipengaruhi oleh faktor kos yang terlibat. Lebih besar saiz anak benih maka lebih mahal harganya. 

Faktor-faktor lain yang perlu dipertimbangkan ialah kesesuaian pengangkutan yang sedia ada dan kemudahan untuk membawa anak benih apabila sampai di kebun ke lokasi lubang penanaman. 

Saiz anak benih diukur daripada ketinggiannya. Tinggi diukur daripada tempat cantuman dibuat sehingga ke tunas yang teratas pada batang utama. Ramai penanam baru berpendapat tinggi diukur daripada paras tanah ke tunas teratas. Pemahaman ini adalah tidak tepat.

Bakal penanam dengan modal yang lebih besar akan memilih anak benih dengan saiz melebihi 4 kaki tinggi yang disebut sebagai APM atau Advanced Planting Material

Sebab-sebab pemilihan saiz APM ini ialah:

  1. Daya tahan penyakit yang lebih tinggi
  2. Tidak mudah dipanjat dan dilitupi oleh semak dan pokok menjalar hutan
  3. Penyesuaian kepada keadaan kebun yang lebih cepat
  4. Mencapai tahap matang lebih cepat 
  5. Daya tahan kepada kemarau yang lebih baik kerana mempunyai jaringan akar yang luas

Saya ingin menyatakan disini bahawa kos yang terlibat untuk pembelian pokok-pokok bersaiz APM adalah lebih tinggi. Harga (bergantung kepada jenis klon) bermula daripada RM120 sepokok. 

Dalam konteks kebun saya sendiri, saya mempunyai campuran kedua-dua anak benih pokok durian bersaiz biasa dan juga bersaiz APM. 

Benih APM di barisan belakang dengan perbandingan saiz benih biasa dihadapan

Selepas mengambil kira pertimbangan yang dibincangkan di atas, bakal penanam apabila berada di nurseri perlu memilih anak benih pokok durian dengan pemerhatian yang berikut:

  1. Daun yang tidak berpenyakit terutamanya tanda-tanda serangan kulat. Di artikel ini saya bincangkan tentang penyakit-penyakit pokok durian dengan mendalam
  2. Pangkal rootstock yang besar/tebal dan tidak mempunyai dahan-dahan yang kering atau mati (elakkan membeli anak benih yang kurus)
  3. Daun matang berwarna hijau gelap yang menandakan pokok mempunyai nutrien yang cukup
  4. Polybeg yang tidak pecah 
  5. Pokok mempunyai tunas-tunas muda yang keluar di hampir setiap dahan dan batang utama. Ketiadaan tunas mungkin disebabkan oleh serangan kulat hawar daun atau hawar pucuk
  6. Anak benih mempunyai ciri-ciri klon yang dapat dikenalpasti pada fizikal daun dll.  

Sebagai penanam atau bakal penanam, apakah jenis anak benih pokok durian yang telah anda tanam atau merancang untuk membeli? Kongsikan pendapat anda di ruangan bawah. 

2 Cara Hapus Pokok Buluh Di Kebun Durian (Tanpa Menggali)

Pada peringkat awal saya mempunyai 5 rumpun buluh di dalam kebun. Semasa pembersihan tanah dan membuat teres, 1 rumpun telah ditinggalkan untuk hidup. Rumpun ini ditinggalkan sebagai sumber buluh untuk membuat infrastruktur atau bahan kegunaan kebun (kayu pancang dll.) pada masa hadapan.

Artikel ini membincangkan cara hapus pokok buluh yang kembali bertunas dan membesar tanpa menggunakan excavator atau backhoe.

Buluh ada kegunaan, kenapa hapuskan?
Ramai yang berpendapat buluh mempunyai kegunaan yang banyak dan boleh dikomersilkan. Saya telah meninggalkan 1 rumpun untuk hidup dan memusnahkan yang lain atas sebab:
 
  1. Ia memberikan persaingan kepada anak-anak pokok durian untuk mendapatkan air dan sumber nutrien untuk pembesaran pokok.
  2. Rumpun buluh yang besar dan matang akan melindungi anak-anak pokok durian daripada mendapatkan cahaya matahari dan membantutkan pembesaran pokok.
  3. Kebun kelihatan tidak kemas, tidak menarik dan memberikan pendapat kepada pelawat-pelawat bahawa kebun ini tidak terjaga.
  4. Ia membawa risiko keselamatan kerana rumpun-rumpun buluh kebiasaannya menjadi sarang ular dan binatang-binatng berbisa yang lain.
Rumpun-rumpun buluh yang ada di kebun saya bukan daripada spesis buluh yang kecil. Ia adalah buluh hutan, berdiameter besar dan mempunyai saiz rumpun 4-6 meter untuk rumpun yang matang.
 
Selepas 2 tahun mengerjakan tanah ini, rumpun-rumpun buluh yang baru dan sedang membesar dengan pantas ini harus dimusnahkan sebelum ia menjadi tidak terkawal.
 
Saya tidak akan membincangkan cara hapus pokok buluh dengan menggali rizom atau menggunakan parang dan memesin kerana kaedah-kaedah ini terlalu memenatkan dan berisiko. 
Penggunaan racun sodium chlorate
Kaedah pertama ialah menggunakan racun khusus untuk membunuh pokok buluh. Racun ini boleh dibeli di kedai-kedai input pertanian atau di pejabat pertanian daerah. Bahan aktif racun ini ialah sodium chlorate. 
 
Arahan pada label ialah untuk membancuh 1kg (1 paket) racun kepada 2 liter air dan diaplikasikan dengan cara semburan. Warna kehijauan pada bancuhan saya di bawah ialah di sebabkan oleh lumut daripada sumber air saya.
Bancuhan racun buluh dan air takungan hujan
Saya mengubahsuai kaedah aplikasi racun dengan hanya menjirus bancuhan pada pangkal pokok buluh. Sebabnya ialah kaedah ini lebih selamat oleh kerana tiada wap racun yang tersebar di udara yang mungkin disedut oleh saya walaupun saya memakai mask. 

Racun ini akan memberikan kesan permulaan pada pangkal buluh.
Jirus bancuhan racun ke pangkal buluh
Sebelum menjirus bancuhan racun, pastikan tiada anak-anak pokok durian atau pokok-pokok buahan yang terletak terlalu dekat. 
 
Jika rumpun buluh itu berada di cerun (dalam kes saya), pastikan tiada pokok-pokok buahan lain di bawah cerun. Racun ini akan mengalir dan menyerap ke bawah dan akan membunuh pokok-pokok yang lain.
 
Jika ada pokok-pokok buahan lain yang telah ditanam berdekatan, maka jirusan dilakukan perlahan-lahan atau penanam boleh mencuba kaedah lain yang akan diterangkan kemudian.
 
Pastikan untuk membasahkan pangkal buluh sebanyak yang mungkin dengan bancuhan racun. Rumpun buluh ini akan mati perlahan-lahan dan selepas hampir 2 minggu ia akan kelihatan begini.
Pokok buluh yang telah mati
Aktiviti yang biasanya dilakukan selepas ini ialah untuk membakar rumpun buluh yang telah kering ini. Jika dibiarkan, buluh akan mengambil masa yang lama untuk mereput.
 
Menabur hampas kelapa
Kaedah lain ialah dengan menggunakan hampas kelapa yang ditaburkan dengan tebal pada pangkal rumpun buluh. 
 
Kaedah aplikasi ini memerlukan jumlah hampas kelapa yang banyak dan cara untuk memperolehi hampas kelapa dalam jumlah yang banyak ialah dengan mencarinya di kedai-kedai runcit barang basah atau penjual santan kelapa.
 
Saya tidak membayar apa-apa untuk hampas kelapa ini cuma apabila pulang ke rumah, ia perlu diasingkan daripada sampah-sampah plastik atau kertas dan diletakkan di dalam guni kemudian diikat. 
 
Kebiasaannya peruncit akan memberikan hampas dalam beg plastik sampah yang mudah koyak. 
Hampas kelapa ditabur pada pangkal buluh
Ketika blog ini ditulis,saya baru sahaja menaburkan hampas kelapa ke atas pangkal rumpun buluh untuk membuktikan teori orang-orang kampung berkenaan kaedah ini. Semakin banyak kuantiti hampas kelapa yang ditaburkan adalah semakin baik.
 
Satu kebimbangan kaedah ini ialah kemungkinan babi hutan akan tertarik dengan bau hampas kelapa dan akan masuk ke kebun.
cara hapus pokok buluh
Satu lagi pangkal buluh ditaburkan dengan hampas kelapa
Kesannya dapat dilihat selepas 5 atau 7 hari seperti yang dinasihatkan kepada saya dengan syarat ada hujan. Tidak dapat dipastikan kenapa hampas kelapa menjadi racun kepada rumpun buluh tetapi saya merasakan ia ada kaitan dengan saki baki minyak kelapa pada hampas itu.
 
Saya akan berkongsi pemerhatian berkenaan dengan kaedah ini selepas lawatan ke kebun yang akan datang.
 
Kemaskini pada 11/11/2020:
 
Lawatan lanjutan ke kebun selepas menabur hampas kelapa pada sebulan yang lalu menunjukkan cara hapus pokok buluh sebegini tidak berkesan. 
 
Mungkin juga hampas kelapa yang ditabur dimakan oleh babi hutan sebelum kaedah ini dapat memberikan kesan positif. 
 
Cara hapus pokok buluh dengan menggali pangkal?
Ada beberapa sebab mengapa dan sebab yang pertama ialah ia tidak ergonomik untuk dilakukan. Dalam kes kebun saya, rumpun buluh yang kembali hidup terletak di cerun-cerun teres.
 
Untuk saya berdiri di sebelah rumpun buluh dan mengerjakannya dengan cangkul, pijakan kaki saya di cerun adalah tidak stabil. Ini mewujudkan risiko kerana saya mungkin tergelincir dan terjatuh ke teres yang bawah.
 
Sebab yang kedua ialah pangkal buluh adalah besar dan keras. Pangkal rizom ini perlu dipecah-pecahkan kepada bahagian kecil sebelum ia dapat digerak dan dialihkan daripada dalam tanah.
 
Untuk memecahkan pangkal rizom buluh, kapak atau chainsaw perlu digunakan. Sekali lagi, pijakan kaki yang tidak stabil membuatkan aktiviti ini berisiko.
 
Sebab yang ketiga ialah walaupun pangkal rizom buluh dapat dipecahkan, wujud risiko tidak semua pecahan rizom buluh digali dan dibuang. Kemungkinan ada saki baki rizom yang tertinggal walaupun kecil. Rizom buluh akan kembali mengeluarkan tunas, mula merebak dan membesar.
 
Menggali dan membuang pangkal buluh menyebabkan tanah pada cerun terdedah kepada hakisan oleh hujan. Ini adalah sebab keempat mengapa saya tidak membuang rumpun buluh dengan cara menggali.
 
Pangkal buluh masih berdaya hidup walaupun ia tidak kelihatan mengeluarkan tunas-tunas baru. Kebiasaannya ia akan menunjukkan kehidupan dan mengeluarkan tunas baru pada musim hujan.
 
Pokok buluh yang ada di kebun saya bukan jenis buluh lemang yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. 
 
Apakah jenis buluh yang ada di kebun anda dan adakah ia dibiarkan hidup atau dihapuskan? Sila komen diruangan di bawah. Sekian. 

3 Langkah Bagaimana Membina Jalan Ladang

jalan ladang
Jalan ladang yang telah siap

Semasa mula mengerjakan tanah saya, tidak terdapat jalan masuk ke tanah tersebut. Yang ada ialah jalan berbatu yang menyambungkan jalan utama (pekan Tapah – Cameron Highlands) ke sempadan tanah saya, digunakan oleh penduduk Orang Asli untuk berulang alik ke perkampungan mereka. Jalan berbatu itu terletak di dalam tanah pemilik lain.

Tugas saya ialah untuk membina jalan ladang yang menyambungkan jalan berbatu yang sedia ada ke sempadan tanah kebun. Pelan dan langkah-langkah termasuk kos yang terlibat saya kongsikan disini.  

Kerja Ukur Jalan oleh Juru Ukur

Seorang juru ukur tempatan kenalan saya telah di ambil untuk melakukan ukuran. Objektifnya ialah untuk mengukur jarak daripada jalan berbatu sedia ada ke sempadan tanah kebun saya. Ukuran ini akan di bawa kepada pemilik tanah sebelah untuk perbincangan dengan mereka di Kuala Lumpur.

Pemilik tanah bersebelahan ialah sebuah syarikat hartanah.

Sememangnya mereka akan bertanyakan cadangan lokasi simpang, jarak simpang ke sempadan tanah saya dan cadangan laluan. Ukuran menunjukkan jarak laluan jalan ladang ialah 56 m panjang sementara cadangan lebar laluan ialah 3m untuk membenarkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui.

Pelan tanah kebun durian dan sekitarnya

Carta di atas menunjukkan pelan tanah. Hijau ialah tanah milik saya manakala garisan kuning ialah cadangan laluan jalan menghubungkan simpang-T jalan berbatu sedia ada. Abaikan warna oren iaitu sebahagian tanah pemilik bersebelahan.

Kesemua maklumat diserahkan kepada pemilik tanah sebelah di dalam bentuk lukisan teknikal dan skematik sebagai rekod rasmi perbincangan

proposed road access plan

Saya telah membuat pembacaan sebelum perbincangan dengan pihak pemilik tanah sebelah (terdapat 3 sesi perbincangan dengan mereka). Pemahaman mendalam diperlukan untuk kemungkinan cadangan saya tidak dipersetujui oleh mereka.

Walau bagaimanapun, semasa perbincangan saya memberikan 2 komitmen iaitu:

  1. Sepraktikal yang mungkin, cadangan laluan jalan ladang akan melalui jarak paling dekat
  2. Tiada pokok-pokok durian atau pokok-pokok hutan yang matang akan ditebang
Peruntukan Laluan di dalam Kanun Tanah Negara

Di Semenanjung Malaysia, akta tertinggi berkenaan dengan hal ehwal tanah ialah Kanun Tanah Negara 1965 yang tidak terguna pakai untuk Sabah dan Sarawak.

Satu peruntukan di dalam kanun tersebut ialah Akta 56 iaitu Hak Lalu Lalang Pentadbir Tanah. Akta ini adalah peruntukan keluar/masuk ke atas sesuatu tanah ke ‘hentian awam’. 

Di bawah Seksyen 387 kanun ini, hentian awam ditakrifkan sebagai suatu pantai, tebing sungai, stesen keretapi atau jalan awam.

Peruntukan ini bertujuan untuk membenarkan suatu tanah yang dimiliki oleh seseorang digunakan oleh seseorang yang lain untuk tujuan masuk/keluar daripadanya ke suatu hentian awam.

Selari dengan Seksyen 390(1) Kanun Tanah Negara, pihak Berkuasa Negeri, pemilik tanah atau penghuni (penduduk kampung) sesuatu tanah diperuntukkan hak untuk memohon kepada Pentadbir Tanah untuk mereka diberikan hak lalu lalang menggunakan Borang 28A Kanun Tanah Negara dalam kes tanah mereka tidak mempunyai laluan terus ke hentian awam melainkan mereka menceroboh tanah bersempadanan yang tidak dimiliki oleh mereka.

Rujukan bacaan Kanun Tanah Negara 1965 boleh diperolehi di sini iaitu di portal web rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Perolehan Sumber Batu Kuari
Batu gravel diperolehi daripada kuari berdekatan yang terletak di pekan Kampar. Kuari ini membekalkan beberapa jenis batuan atau produk kuari yang dikategorikan seperti di bawah:
Saya tidak akan membincangkan satu persatu produk kuari yang ditawarkan oleh kuari tersebut tetapi untuk mengetahuan umum, jenis 3/4 agregat ialah batu bersudut tajam, berwarna keputihan dengan bintik hitam yang digunakan untuk pembuatan bangunan dan jalan raya.
 
Saya hanya berminat dengan jenis batu crusher run 2″ yang kebiasaannya digunakan untuk membuat jalan kebun/ladang di Malaysia.
 
Sebagai penjelasan, perbezaan di antara jenis batu crusher run 2″ dan crusher run 2″ (ballast) ialah crusher run 2″ (ballast) merupakan jenis batu crusher run 2″ yang telah dibersihkan.
 
Dibersihkan di sini bermaksud tidak bercampur atau tidak mempunyai batuan kecil atau debu batu. Ini juga membezakan harga per tan di antara 2 jenis batuan ini.
 
Perlu dimaklumkan bahawa harga-harga yang ditunjukkan di dalam jadual di atas adalah harga tapak kuari bermaksud ia tidak termasuk kos pengangkutan. 
 
Oleh kerana saya tidak dapat mencari syarikat lori disebabkan kesuntukan masa dan untuk mengelakkan risiko lain, saya telah menggunakan pihak kuari untuk melakukan operasi pengangkutan dan penghantaran.
 
Kos tambahan untuk penyediaan pengangkutan dibincangkan di bawah. Tarikh dan masa penghantaran ditetapkan. Masa penghantaran ditetapkan seawal pagi yang mungkin sebelum kedatangan backhoe di kebun saya.
 
Syarikat sewa backhoe di perlukan untuk membawa peralatan rigging dan lashing sebagai persediaan jika lori kuari yang berat tersangkut di jalan batu sedia ada yang pada masa itu dalam keadaan lembut dan berlumpur.
Lori tipper 6-tayar memunggah keluar muatan batu
Kerja Pembersihan Tanah & Levelling Batuan Jalan
Seorang kontraktor yang dicadangkan oleh orang-orang tempatan telah dilantik untuk membuat kerja-kerja tersebut selepas rundingan harga. Harga untuk sehari ketika itu adalah MYR 370.00. Kerja dianggarkan siap selepas 3 hari.
 
Sebagaimana kerja-kerja tapak yang lain, pemandu backhoe dinasihatkan untuk datang melihat kawasan tanah dan berkongsi sebarang isu yang mungkin berlaku.
 
Kos-Kos Untuk Pembinaan Jalan Ladang

Terdapat beberapa elemen yang menentukan jumlah kos yang terlibat. Untuk perolehan dan kos pengangkutan batu, jadual di bawah dirujuk:

Jumlah muatan batu crusher run 2″ yang diangkut ialah 5 lori dengan perbezaan berat batu yang dibawa untuk setiap lori. Ini adalah kerana kuari telah menggunakan beberapa lori yang berbeza untuk setiap muatan.
 
Walaupun lori yang sama digunakan untuk berulang-alik mengangkut batu, berat batu yang dibawa ke tanah saya tetap tidak akan sama kerana pemunggahan batu daripada hopper kuari ke dalam lori dibuat oleh operator kuari secara kasar sahaja.
 
Walaupun begitu, harga invois akan dibayar mengikut berat batuan yang dibawa oleh setiap muatan lori dan tidak dikira berdasarkan bilangan muatan. Setiap muatan akan mempunyai kiraan harga dan invois yang berasingan.
Perbezaan warna batu disebabkan oleh keadaan kering dan basah
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, harga crusher run 2″ ialah MYR 18.00 per MT tidak termasuk kos pengangkutan. Jika termasuk kos pengangkutan, harganya ialah MYR 26.00 per MT.
 
Harga untuk sewaan backhoe ialah MYR 370.00 X 3 hari berjumlah MYR 1,110.00. Upah untuk juru ukur pula ialah MYR650.00
 
Kesimpulannya, jumlah kos untuk kerja-kerja membuat jalan kebun saya ialah MYR 3,476.00
 
Maklumat Tambahan Untuk Pertimbangan
Harga crusher run 2″ termasuk pengangkutan adalah MYR 26.00 per MT. Harga ini adalah untuk lori tipper 6-tayar. Harga untuk lori tipper 10-tayar pula lebih murah iaitu MYR 24.00 per MT.
 
Saya tidak memesan pihak kuari untuk mengangkut batu ke kebun saya menggunakan lori tipper 10-tayar kerana khuatir risiko lori tipper 10-tayar dengan muatan yang lebih berat akan memendapkan jalan batu yang sedia ada dan tersangkut. 

Dengan kata lain juga, saya tidak mahu jalan batu sedia ada yang dimiliki dan diselenggara oleh pemilik tanah bersebelahan rosak.
 
Satu kawasan lapang berbatu juga telah diratakan untuk dijadikan sebagai kawasan lot parkir kereta.

Ketebalan crusher run 2″ tidak dipertimbangkan secara teliti untuk menentukan jumlah muatan. Ini adalah kerana tanah untuk jalan ladang ini tidak diratakan dengan sempurna. Ini menyebabkan ketebalan crusher run berubah-ubah untuk membuat laluan baru ini rata.
 
Selepas setahun jalan kebun ini mungkin perlu ditop-up dengan crusher run tambahan kerana tiada pemampatan (compaction) tanah dilakukan. Pemampatan hanya dilakukan selepas crusher run diratakan oleh backhoe. 
 
Saya membayangkan laluan masuk ini akan mendap sedikit disebabkan musim hujan dan penggunaan berterusan pada masa hadapan. Jalan ladang dikebun saya ketika dalam proses pembinaan dikongsikan di dalam siaran Youtube ini

Jika artikel ini bermanfaat kepada anda sila subscribe, share atau komen diruangan bawah. Sekian.