3 Langkah Bagaimana Membina Jalan Ladang

jalan ladang
Jalan ladang yang telah siap

Semasa mula mengerjakan tanah saya, tidak terdapat jalan masuk ke tanah tersebut. Yang ada ialah jalan berbatu yang menyambungkan jalan utama (pekan Tapah – Cameron Highlands) ke sempadan tanah saya, digunakan oleh penduduk Orang Asli untuk berulang alik ke perkampungan mereka. Jalan berbatu itu terletak di dalam tanah pemilik lain.

Tugas saya ialah untuk membina jalan ladang yang menyambungkan jalan berbatu yang sedia ada ke sempadan tanah kebun. Pelan dan langkah-langkah termasuk kos yang terlibat saya kongsikan disini.  

Seorang juru ukur tempatan kenalan saya telah di ambil untuk melakukan ukuran. Objektifnya ialah untuk mengukur jarak daripada jalan berbatu sedia ada ke sempadan tanah kebun saya. Ukuran ini akan di bawa kepada pemilik tanah sebelah untuk perbincangan dengan mereka di Kuala Lumpur.

Pemilik tanah bersebelahan ialah sebuah syarikat hartanah.

Sememangnya mereka akan bertanyakan cadangan lokasi simpang, jarak simpang ke sempadan tanah saya dan cadangan laluan. Ukuran menunjukkan jarak laluan jalan ladang ialah 56 m panjang sementara cadangan lebar laluan ialah 3m untuk membenarkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui.

Pelan tanah kebun durian dan sekitarnya

Carta di atas menunjukkan pelan tanah. Hijau ialah tanah milik saya manakala garisan kuning ialah cadangan laluan jalan menghubungkan simpang-T jalan berbatu sedia ada. Abaikan warna oren iaitu sebahagian tanah pemilik bersebelahan.

Kesemua maklumat diserahkan kepada pemilik tanah sebelah di dalam bentuk lukisan teknikal dan skematik sebagai rekod rasmi perbincangan

proposed road access plan

Saya telah membuat pembacaan sebelum perbincangan dengan pihak pemilik tanah sebelah (terdapat 3 sesi perbincangan dengan mereka). Pemahaman mendalam diperlukan untuk kemungkinan cadangan saya tidak dipersetujui oleh mereka.

Walau bagaimanapun, semasa perbincangan saya memberikan 2 komitmen iaitu:

  1. Sepraktikal yang mungkin, cadangan laluan jalan ladang akan melalui jarak paling dekat
  2. Tiada pokok-pokok durian atau pokok-pokok hutan yang matang akan ditebang
Peruntukan Laluan di dalam Kanun Tanah Negara

Di Semenanjung Malaysia, akta tertinggi berkenaan dengan hal ehwal tanah ialah Kanun Tanah Negara 1965 yang tidak terguna pakai untuk Sabah dan Sarawak.

Satu peruntukan di dalam kanun tersebut ialah Akta 56 iaitu Hak Lalu Lalang Pentadbir Tanah. Akta ini adalah peruntukan keluar/masuk ke atas sesuatu tanah ke ‘hentian awam’. 

Di bawah Seksyen 387 kanun ini, hentian awam ditakrifkan sebagai suatu pantai, tebing sungai, stesen keretapi atau jalan awam.

Peruntukan ini bertujuan untuk membenarkan suatu tanah yang dimiliki oleh seseorang digunakan oleh seseorang yang lain untuk tujuan masuk/keluar daripadanya ke suatu hentian awam.

Selari dengan Seksyen 390(1) Kanun Tanah Negara, pihak Berkuasa Negeri, pemilik tanah atau penghuni (penduduk kampung) sesuatu tanah diperuntukkan hak untuk memohon kepada Pentadbir Tanah untuk mereka diberikan hak lalu lalang menggunakan Borang 28A Kanun Tanah Negara dalam kes tanah mereka tidak mempunyai laluan terus ke hentian awam melainkan mereka menceroboh tanah bersempadanan yang tidak dimiliki oleh mereka.

Rujukan bacaan Kanun Tanah Negara 1965 boleh diperolehi di sini iaitu di portal web rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Perolehan Sumber Batu Kuari
Batu gravel diperolehi daripada kuari berdekatan yang terletak di pekan Kampar. Kuari ini membekalkan beberapa jenis batuan atau produk kuari yang dikategorikan seperti di bawah:
Saya tidak akan membincangkan satu persatu produk kuari yang ditawarkan oleh kuari tersebut tetapi untuk mengetahuan umum, jenis 3/4 agregat ialah batu bersudut tajam, berwarna keputihan dengan bintik hitam yang digunakan untuk pembuatan bangunan dan jalan raya.
 
Saya hanya berminat dengan jenis batu crusher run 2″ yang kebiasaannya digunakan untuk membuat jalan kebun/ladang di Malaysia.
 
Sebagai penjelasan, perbezaan di antara jenis batu crusher run 2″ dan crusher run 2″ (ballast) ialah crusher run 2″ (ballast) merupakan jenis batu crusher run 2″ yang telah dibersihkan.
 
Dibersihkan di sini bermaksud tidak bercampur atau tidak mempunyai batuan kecil atau debu batu. Ini juga membezakan harga per tan di antara 2 jenis batuan ini.
 
Perlu dimaklumkan bahawa harga-harga yang ditunjukkan di dalam jadual di atas adalah harga tapak kuari bermaksud ia tidak termasuk kos pengangkutan. 
 
Oleh kerana saya tidak dapat mencari syarikat lori disebabkan kesuntukan masa dan untuk mengelakkan risiko lain, saya telah menggunakan pihak kuari untuk melakukan operasi pengangkutan dan penghantaran.
 
Kos tambahan untuk penyediaan pengangkutan dibincangkan di bawah. Tarikh dan masa penghantaran ditetapkan. Masa penghantaran ditetapkan seawal pagi yang mungkin sebelum kedatangan backhoe di kebun saya.
 
Syarikat sewa backhoe di perlukan untuk membawa peralatan rigging dan lashing sebagai persediaan jika lori kuari yang berat tersangkut di jalan batu sedia ada yang pada masa itu dalam keadaan lembut dan berlumpur.
Lori tipper 6-tayar memunggah keluar muatan batu
Kerja Pembersihan Tanah & Levelling Batuan Jalan
Seorang kontraktor yang dicadangkan oleh orang-orang tempatan telah dilantik untuk membuat kerja-kerja tersebut selepas rundingan harga. Harga untuk sehari ketika itu adalah MYR 370.00. Kerja dianggarkan siap selepas 3 hari.
 
Sebagaimana kerja-kerja tapak yang lain, pemandu backhoe dinasihatkan untuk datang melihat kawasan tanah dan berkongsi sebarang isu yang mungkin berlaku.
 
Kos-Kos Untuk Pembinaan Jalan Ladang

Terdapat beberapa elemen yang menentukan jumlah kos yang terlibat. Untuk perolehan dan kos pengangkutan batu, jadual di bawah dirujuk:

Jumlah muatan batu crusher run 2″ yang diangkut ialah 5 lori dengan perbezaan berat batu yang dibawa untuk setiap lori. Ini adalah kerana kuari telah menggunakan beberapa lori yang berbeza untuk setiap muatan.
 
Walaupun lori yang sama digunakan untuk berulang-alik mengangkut batu, berat batu yang dibawa ke tanah saya tetap tidak akan sama kerana pemunggahan batu daripada hopper kuari ke dalam lori dibuat oleh operator kuari secara kasar sahaja.
 
Walaupun begitu, harga invois akan dibayar mengikut berat batuan yang dibawa oleh setiap muatan lori dan tidak dikira berdasarkan bilangan muatan. Setiap muatan akan mempunyai kiraan harga dan invois yang berasingan.
Perbezaan warna batu disebabkan oleh keadaan kering dan basah
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, harga crusher run 2″ ialah MYR 18.00 per MT tidak termasuk kos pengangkutan. Jika termasuk kos pengangkutan, harganya ialah MYR 26.00 per MT.
 
Harga untuk sewaan backhoe ialah MYR 370.00 X 3 hari berjumlah MYR 1,110.00. Upah untuk juru ukur pula ialah MYR650.00
 
Kesimpulannya, jumlah kos untuk kerja-kerja membuat jalan kebun saya ialah MYR 3,476.00
 
Maklumat Tambahan Untuk Pertimbangan
Harga crusher run 2″ termasuk pengangkutan adalah MYR 26.00 per MT. Harga ini adalah untuk lori tipper 6-tayar. Harga untuk lori tipper 10-tayar pula lebih murah iaitu MYR 24.00 per MT.
 
Saya tidak memesan pihak kuari untuk mengangkut batu ke kebun saya menggunakan lori tipper 10-tayar kerana khuatir risiko lori tipper 10-tayar dengan muatan yang lebih berat akan memendapkan jalan batu yang sedia ada dan tersangkut. 

Dengan kata lain juga, saya tidak mahu jalan batu sedia ada yang dimiliki dan diselenggara oleh pemilik tanah bersebelahan rosak.
 
Satu kawasan lapang berbatu juga telah diratakan untuk dijadikan sebagai kawasan lot parkir kereta.

Ketebalan crusher run 2″ tidak dipertimbangkan secara teliti untuk menentukan jumlah muatan. Ini adalah kerana tanah untuk jalan ladang ini tidak diratakan dengan sempurna. Ini menyebabkan ketebalan crusher run berubah-ubah untuk membuat laluan baru ini rata.
 
Selepas setahun jalan kebun ini mungkin perlu ditop-up dengan crusher run tambahan kerana tiada pemampatan (compaction) tanah dilakukan. Pemampatan hanya dilakukan selepas crusher run diratakan oleh backhoe. 
 
Saya membayangkan laluan masuk ini akan mendap sedikit disebabkan musim hujan dan penggunaan berterusan pada masa hadapan. Jalan ladang dikebun saya ketika dalam proses pembinaan dikongsikan di dalam siaran Youtube ini

Jika artikel ini bermanfaat kepada anda sila subscribe, share atau komen diruangan bawah. Sekian. 
 
Share this

4 thoughts on “3 Langkah Bagaimana Membina Jalan Ladang

  • June 15, 2021 at 12:41 am
    Permalink

    Tkasih..kongsi pengelaman..kalau boleh tunjukan cara atau layout buat jalan atas bukit..perlu zip zat atau lurus..

    Reply
    • June 28, 2021 at 4:45 pm
      Permalink

      Samada zig-zag atau lurus bergantung kepada kecerunan tuan. Teres biasanya lurus, setiap teres disambung kan kpd teres-teres yang lain dengan satu jalan utama bermula dari bawah ke atas bukit. Jika kecerunan bukit itu terlalu tinggi, maka jalan utama yg menyambungkan teres-teres yang mendatar/lurus itu akan jadi terlalu tinggi utk kenderaan naik. Maka kaedah ini tidak praktikal.

      Jika bukit yg hendak ditanam berkecerunan tinggi, maka kaedah yg terbaik ialah dgn membuat teres yg zig-zag bermakna setiap teres akan disambung dengan teres-teres yg berikutnya secara terus dan tidak mempunyai jalan utama yg menyambungkan teres-teres ini.

      Reply
  • January 24, 2022 at 2:41 am
    Permalink

    saya pun baru beli tanah di tapah dan nak tau mana nak beli batu2 untuk dibuat jalan ke kebun. Boleh tuan share contact company nak beli batu tu. tq

    Reply
    • March 15, 2022 at 8:40 am
      Permalink

      Salam Tuan,
      Boleh cari batu crusher run mcm yg saya beli tu dari Temoh Kuari. Boleh cari nombor telefon dari internet.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *