6 Cara Memilih Benih Pokok Durian – wajib diketahui

Anak benih durian di nurseri
Anak benih durian dijual di nurseri

Perkara pertama seorang penanam durian perlu melakukan dengan betul ialah apabila memilih benih pokok durian untuk ditanam.
Isu ini bukan tentang harga samada mahal atau murah tetapi lebih kepada pemilihan jenis klon anak benih yang hendak ditanam dan kebolehupayaan anak benih itu untuk hidup dan membesar.

Kesilapan yang biasanya terjadi (dan ia terjadi dengan kerap pada pemerhatian saya) ialah apabila membeli anak benih dari klon yang tidak dalam perancangan penanam. 

Bayangkan, hanya apabila pokok durian berbuah penanam mengetahui anak benih yang ditanam 4-5 tahun dahulu rupanya bukan klon yang dikehendakinya. 

Telah banyak wang, masa dan sumber-sumber lain dihabiskan hanya untuk mengetahui anak benih yang dibelinya dahulu ialah benih D24 dan bukannya D197 Musang King. 

Kesilapan semasa membeli anak benih oleh bakal penanam diburukkan lagi oleh komuniti penjual yang tidak berpengalaman atau orang tengah yang menjual anak-anak benih yang diambil daripada sumber yang tidak diketahui atau daripada nurseri-nurseri yang tidak diketahui kesahihannya. 

Individu-individu sebegini berniaga hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata. Saya menasihatkan bakal-bakal penanam jangan membeli anak benih di pasar-pasar malam atau melalui online (online seller yang tiada nurseri sendiri- agent/dropshipper).

Menyentuh cara-cara untuk mengenalpasti anak-anak benih dari klon-klon tertentu, sesetengah klon anak benih dapat dikenalpastikan daripada bentuk, tekstur atau warna daun. 

Contohnya ialah Musang King yang mempunyai hujung daun berbentuk cangkuk pada daun dewasa dan berombak di tepi pada daun muda. 

Contoh lain ialah anak benih D200 Duri Hitam yang mempunyai dahan-dahan yang melentok ke bawah. Ciri-ciri ini dapat membantu bakal penanam untuk mengenalpasti kesahihan anak benih yang hendak dibeli. 

Walau bagaimanapun, isunya ialah terdapat klon-klon berlainan yang menunjukkan ciri-ciri fizikal pada daun yang agak sama dan sukar untuk ditentukan. Ada juga klon yang tidak mempunyai apa-apa ciri yang unik. 

Cara terbaik untuk bakal penanam mendapatkan anak benih yang betul ialah dengan membeli anak benih daripada nurseri-nurseri yang tergolong di dalam senarai pensijilan SPBT. Pensijilan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. 

Skim pensijilan SPBT ini tidak hanya dikeluarkan untuk anak-anak benih pokok durian sahaja tetapi juga untuk buah-buahan tropika yang lain seperti mangga, nangka, cempedak dan manggis. Dengan kata lain, skim ini diaplikasikan untuk tanaman buahan yang mempunyai kultivar-kultivar yang berlainan. 

Pihak Jabatan Pertanian akan menentusahkan klon/kultivar anak benih pokok durian dengan cara merekodkan sumber scion pokok dewasa yang akan digunakan untuk cantuman oleh nurseri-nurseri. 

Harus diketahui bahawa pensijilan ini adalah tidak wajib bagi pihak pengusaha nurseri. 

Senarai nurseri-nurseri berpandukan negeri yang mempunyai pensijilan SPBT boleh di dapati di laman web Jabatan Pertanian. Senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. 

Bagi saya, anak-anak benih dibeli daripada nurseri di Kajang, Muar, Bidor dan Kuala Kangsar yang kesemuanya menyertai pensijilan SPBT. 

Saya juga pernah membeli 2 anak benih Musang King daripada Putra Mart, nurseri yang diusahakan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang. 

Nurseri ini tidak mempunyai pensijilan SPBT tetapi pada pemerhatian dan reputasi UPM, mereka boleh dipercayai. 

Saya juga ingin menyatakan di ruangan ini bahawa tidak semua nurseri SPBT menggunakan polibeg berlogo SPBT Jabatan Pertanian dan ia juga tidak bermakna nurseri-nurseri yang menjual anak-anak benih di dalam polibeg berlogo SPBT adalah nurseri yang mendapat pensijilan SPBT.  

Polibeg 'standard' SPBT
Kenapa Beli Anak Benih Pokok Durian Cantuman?

Di Malaysia sebagaimana juga di negara-negara pengeluar durian di dunia, wujud 3 jenis kategori buah durian iaitu durian ‘kampung’, durian klon dan durian hutan.

Durian kampung ialah durian yang dihasilkan oleh pokok-pokok durian yang ditanam daripada biji. Biji ini pula terhasil daripada proses pendebungaan silang pokok-pokok durian kampung yang lain. 

Durian kampung dari aspek komersil tidak mempunyai rasa, warna, bentuk buah dan saiz buah yang konsisten. Kebanyakannya mempunyai biji yang besar dengan isi yang nipis. Ia juga mempunyai warna isi yang pucat berwarna keputihan atau ‘cream’. Sesetengahnya mempunyai isi yang agak basah. 

Disebabkan ciri-ciri ini, durian kampung mempunyai nilai komersil yang rendah. Ia tidak mempunyai standard kualiti yang seragam malahan penjual buah durian kampung juga tidak boleh menjangkakan isinya sehinggalah buah dibuka untuk dilihat oleh pembeli. 

Walaupun begitu, terdapat buah durian kampung yang mempunyai standard jangkaan yang konsisten contohnya durian kampung Batu Kurau dan durian kampung di sesetengah tempat di Pahang. Durian jenis ini juga mempunyai ciri-ciri dan rasa yang mirip kepada durian klon. 

Apa yang membezakan durian kampung jenis ini ialah penstandardan. Jika buahnya didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dan dibiakkan secara cantuman, ia juga akan menjadi durian klon dengan nama yang khusus.

 

anak benih durian
Anak benih durian MDUR88, D145 Beserah dan Tembaga Layang

Seperti yang telah diperkatakan, durian klon dibiakkan secara cantuman, mempunyai nilai komersil yang lebih tinggi, rasa yang lebih baik dan konsisten, warna isi yang konsisten dan berat, bentuk yang juga konsisten. 

Di Malaysia, durian klon ialah durian yang mempunyai nama pendaftaran bermula dengan huruf ‘D’. Terdapat juga klon yang tidak mempunyai nama yang bermula dengan ‘D’ hanya kerana ia tidak didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Contohnya ialah klon-klon di Pulau Pinang. 

Durian klon dihasilkan oleh pokok-pokok durian yang dibiakkan daripada scion yang diambil daripada pokok dewasa yang diketahui nama klonnya. Scion ini akan dicantumkan dengan ‘rootstock’ atau pokok penanti kampung atau hutan. Pembiakan cara ini disebut pembiakan ‘asexual’. 

Scion yang diambil daripada pokok durian klon dewasa yang diketahui namanya

Scion-scion ini akan melalui proses cantuman dengan rootstock durian kampung yang mempunyai daya rintangan terhadap penyakit akar, tahan kemarau dan kebolehan untuk beradaptasi dengan keadaan tanah sekeliling. 

Harus dinyatakan, penggunaan roostock durian kampung adalah piawaian biasa untuk proses cantuman namun rootstock yang terbaik ialah daripada durian hutan (durio graveolens, durio oxyleyanus dll.) iaitu mana-mana durian yang tidak tergolong di dalam sub-spesis durio zibethinus.  

Durian hutan yang dijual di tepi jalan

Durian hutan ketika ini agar sukar untuk ditemui pokoknya. Ia masih terdapat di kawasan hutan dalam di Semenanjung Malaysia. Di Sarawak pokoknya masih boleh di dapati di kawasan kampung di pinggiran hutan. 

Pengurangan populasi durian hutan mungkin disebabkan oleh pembukaan tanah-tanah hutan yang baru untuk pembangunan dan ladang tanaman komoditi dan tanaman kontan. 

Kajian kertas-kertas penyelidikan menunjukkan spesis bukan durio zibethinus berdaya rintang terhadap kulat P. palmivora kerana sifatnya yang hidup di kawasan kelembapan tinggi dan berair. 

Daripada aspek rasa isi, durian hutan mempunyai rasa yang agak janggal dengan laporan orang-orang yang pernah merasanya menyatakan kesan seperti mabuk dan pening kepala jika dimakan dalam jumlah yang banyak.  

Pada ciri-ciri fizikal, ia lebih kecil, mempunyai duri yang panjang dan berpusing serta kulit berwarna hijau. 

Jenis-jenis Teknik Cantuman Anak Benih

Terdapat beberapa jenis teknik cantuman yang digunakan oleh nurseri dan pencantum individu. Teknik-teknik ini adalah:

  1. Cantuman mata tunas
  2. Cantuman baji
  3. Cantuman kaki ganda
  4. Cantuman dewasa

Teknik pertama iaitu cantuman mata tunas ialah yang paling biasa di mana 90% daripada anak benih pokok durian yang dijual di nurseri-nurseri di biakkan dengan kaedah ini. 

Cantuman mata tunas dibuat dengan cara memasukkan scion pendek yang mempunyai mata tunas yang masih belum pecah. Ia kelihatan seperti sebiji beras. Seperti yang dapat dilihat di bawah, terdapat 2 mata tunas dengan mata tunas atas tidak boleh digunakan lagi kerana telah pecah. 

2 keadaan mata tunas yang berbeza

Bahagian scion yang termasuk mata tunas yang belum pecah ini dipotong pendek dan seterusnya dipotong separuh (arah memanjang). Bahagian ini akan dipadankan dengan rootstock yang lapisan kambiumnya telah didedahkan dengan cara menyiat kulit. 

Apa yang terhasil ialah bahagian kambium pada rootstock yang bercantum dengan bahagian kambium pada scion (yang mempunyai 1 mata tunas).  

Scion dan rootstock yang telah dipadankan ini akan dililit menggunakan parafilm dengan bahagian mata tunasnya dibiarkan terdedah. Jika cantuman ini berjaya, mata tunas akan pecah selepas seminggu dicantum dan akan terus membesar. 

Dalam masa beberapa minggu mata tunas ini akan menjadi batang utama anak benih pokok durian. 

Batang rootstock yang terletak di bahagian atas cantuman dipotong atau dalam kebanyakan keadaan akan kering dan mati. Mana-mana tunas baru yang keluar daripada batang rootstock perlu dibuang kerana tunas-tunas ini ialah tunas rootstock yang membawa genetik rootstock yang tidak dikehendaki. 

Genetik mata tunas daripada scion akan membawa genetik pokok dimana scion itu diambil. 

Di Thailand, cantuman baji merupakan teknik yang digunakan secara meluas di mana 90% pembiakan anak benih durian menggunakan teknik cantuman baji. 

Teknik ini berbeza di mana keseluruhan keratan scion digunakan. Sebahagian batang rootstock akan dipotong dan kemudiannya diameternya akan dihiris untuk membentuk bukaan ‘V’. Scion akan diselitkan pada bukaan dan kemudiannya cantuman akan diikat. 

Kaedah ketiga ialah cantuman kaki ganda. Caranya ialah dengan mencantumkan 2 atau 3 roostock dengan salah satu rootstock telah dicantumkan terlebih dahulu samada melalui teknik pertama atau kedua. 

Lapisan kulit kesemua roostock yang hendak dicantum akan dihiris untuk mendedahkan kambium. Proses seterusnya ialah dengan mencantumkan kesemua rootstock sebelum dililit dengan parafilm. 

Cantuman kaki ganda (2 kaki) anak benih di barisan hadapan

Secara teorinya, kelebihan cantuman jenis ini ialah anak benih yang mempunyai set akar yang berganda akan membolehkannya menyerap nutrien dan air dengan kadar yang lebih tinggi. Ketahanan terhadap kemarau juga secara logiknya lebih baik. 

Harga anak benih kaki ganda dijual secara premium iaitu lebih mahal jika dibandingkan dengan anak benih cantuman mata tunas dan baji.

Saiz Anak Benih Pokok Durian Untuk Dibeli

Kebanyakan masanya, pertimbangan saiz anak benih yang hendak dibeli dipengaruhi oleh faktor kos yang terlibat. Lebih besar saiz anak benih maka lebih mahal harganya. 

Faktor-faktor lain yang perlu dipertimbangkan ialah kesesuaian pengangkutan yang sedia ada dan kemudahan untuk membawa anak benih apabila sampai di kebun ke lokasi lubang penanaman. 

Saiz anak benih diukur daripada ketinggiannya. Tinggi diukur daripada tempat cantuman dibuat sehingga ke tunas yang teratas pada batang utama. Ramai penanam baru berpendapat tinggi diukur daripada paras tanah ke tunas teratas. Pemahaman ini adalah tidak tepat.

Bakal penanam dengan modal yang lebih besar akan memilih anak benih dengan saiz melebihi 4 kaki tinggi yang disebut sebagai APM atau Advanced Planting Material

Sebab-sebab pemilihan saiz APM ini ialah:

  1. Daya tahan penyakit yang lebih tinggi
  2. Tidak mudah dipanjat dan dilitupi oleh semak dan pokok menjalar hutan
  3. Penyesuaian kepada keadaan kebun yang lebih cepat
  4. Mencapai tahap matang lebih cepat 
  5. Daya tahan kepada kemarau yang lebih baik kerana mempunyai jaringan akar yang luas

Saya ingin menyatakan disini bahawa kos yang terlibat untuk pembelian pokok-pokok bersaiz APM adalah lebih tinggi. Harga (bergantung kepada jenis klon) bermula daripada RM120 sepokok. 

Dalam konteks kebun saya sendiri, saya mempunyai campuran kedua-dua anak benih pokok durian bersaiz biasa dan juga bersaiz APM. 

Benih APM di barisan belakang dengan perbandingan saiz benih biasa dihadapan

Selepas mengambil kira pertimbangan yang dibincangkan di atas, bakal penanam apabila berada di nurseri perlu memilih anak benih pokok durian dengan pemerhatian yang berikut:

  1. Daun yang tidak berpenyakit terutamanya tanda-tanda serangan kulat. Di artikel ini saya bincangkan tentang penyakit-penyakit pokok durian dengan mendalam
  2. Pangkal rootstock yang besar/tebal dan tidak mempunyai dahan-dahan yang kering atau mati (elakkan membeli anak benih yang kurus)
  3. Daun matang berwarna hijau gelap yang menandakan pokok mempunyai nutrien yang cukup
  4. Polybeg yang tidak pecah 
  5. Pokok mempunyai tunas-tunas muda yang keluar di hampir setiap dahan dan batang utama. Ketiadaan tunas mungkin disebabkan oleh serangan kulat hawar daun atau hawar pucuk
  6. Anak benih mempunyai ciri-ciri klon yang dapat dikenalpasti pada fizikal daun dll.  

Sebagai penanam atau bakal penanam, apakah jenis anak benih pokok durian yang telah anda tanam atau merancang untuk membeli? Kongsikan pendapat anda di ruangan bawah. 

Share this

6 thoughts on “6 Cara Memilih Benih Pokok Durian – wajib diketahui

  • January 24, 2021 at 8:21 am
    Permalink

    Saya baru hendak menanam pokok durian tapi saya tak faham bagaimana cara menanam pokok tersebut ada yg kata sebelum tanam pokok durian perlu dibuang akar halus yg terdapat dibawah sekali dalam polibag agar memudahkan akar yg baru boleh cepat tumbuh ke bawah.betul ke cara itu perlu dibuang akar halus tersebut.

    Reply
    • January 25, 2021 at 5:19 pm
      Permalink

      Akar samada disebelah bawah polybeg ataupun disebelah tepi polybeg tidak perlu dibuang. Perkara yang paling penting untuk dibuat kepada akar selepas polybeg dipisahkan daripada rootball ialah untuk menggaru akar2 yang ada (bawah dan tepi) supaya akar-akar itu terkeluar sedikit daripada tanah polybeg (putus sikit2 tidak mengapa)

      Ini sebenarnya step penting sebelum tanam (tidak termasuk planting hole prep.) untuk memberitahu akar ia sudah bebas didlm tanah dan membolehkan akar bergerak keluar. Saya pernah menanam bbrp anak pokok durian (kemudiannya tidak sihat/bantut). Selepas setahun sy gali sy dapati akar masih berpusing didalam tanah polybeg asal walaupun pokok sudah setahun di atas tanah. Bayangkan…

      Reply
  • February 11, 2021 at 1:48 pm
    Permalink

    Excellent blog you have here but I was wanting to know if you knew of any community forums
    that cover the same topics talked about in this article?
    I’d really love to be a part of community where
    I can get opinions from other experienced
    individuals that share the same interest. If you have any
    recommendations, please let me know. Thanks a lot!

    Reply
    • February 11, 2021 at 4:25 pm
      Permalink

      Hi. Thanks for reading my blog. There is an FB group by the name of PERSATUAN PENANAM DURIAN MALAYSIA (PPDM) that I normally read and answer questions on. Most of the folks there a beginners to be honest (learning the ropes of durian planting, setting up durian orchards, queries about diseases and pest attacks etc.) but I normally regard 3 guys by the name of Andy Lee (Raub), Wan Ali Akashah (Tg. Malim) and Jess Min Lo (Sabah) as the authority in that group (they have gorgeous orchards and their trees are superb). You could follow them and ask questions.

      Reply
  • July 21, 2021 at 12:13 am
    Permalink

    Saya ada menanam benih durian
    kawin dan batu kurau serta telah siap membuat kaki ganda dua/tiga…
    Sekarang saya mahu mendapatkan sion musang king dan duri hitam..
    Dimana boleh mendapatkannya?

    Reply
    • July 22, 2021 at 6:59 am
      Permalink

      Salam,

      Untuk mendapatkan sion, tuan perlu pergi ke kebun durian yang tuan kenal tuannya dan pokok induk yang dikenalpasti jenis klonnya. Sebaiknya untuk mengelakkan kesilapan, cari pokok induk yang telah ditentusahkan klonnya dgn jabatan pertanian.

      Pada saya untuk sion musang king tidak kritikal utk mencari klon yg disahkan oleh jabatan pertanian kerana pokok musang king mudah dikenalpasti. Utk duri hitam pula, ada jenis-jenis klon siam yg daunnya menyerupai daun Duri Hitam. Apapun, kepercayaan kpd tuan pokok itu perlu ada terlebih dahulu. Kalau dpt melihat buah yg pokoknya hendak diambil sion adalah yg terbaik.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *