6 Ilmu Penting Berkenaan Racun Kulat & Racun Serangga

racun kulat

Pada artikel ini saya akan berkongsikan tentang ilmu racun. Pengetahuan mengenai racun samada racun kulat atau racun serangga adalah di antara ilmu terpenting untuk seseorang penanam durian. 

Dalam tahun pertama selepas menanam anak pokok, para pekebun akan menghadapi serangan serangga dan penyakit kulat yang adakalanya kronik terutamanya kepada anak-anak pokok durian klon yang agak manja. Di artikel ini saya telah bincangkan tentang penyakit-penyakit pokok durian. 

Motivasi pekebun juga akan menjadi lemah dan mula berputus asa kerana anak pokok durian yang dahulunya cantik, daun yang hijau dan mengeluarkan tunas yang banyak kini menunjukkan tanda-tanda sakit.

Saya akan kongsikan pengalaman di lapangan dan melalui pembacaan saya di artikel ini. 

Sepanjang hayat seseorang penanam mengerjakan kebun atau ladang duriannya, dia akan menggunakan 3 jenis kategori racun: 

jenis-jenis racun

Untuk artikel ini, saya tidak akan membincangkan mengenai racun rumpai kerana saya tidak menggunakan racun rumpai di kebun saya dan pada hemat saya ilmu racun serangga dan racun kulat lebih penting untuk dibincangkan di sini. 

- Apakah Racun Sistemik?

Racun sistemik ialah racun yang bila disembur akan diserap oleh tisu-tisu pokok melalui daun dan bergerak ke dalam sistem pokok. 

Ia akan memberikan pertahanan kepada pokok terhadap serangan kulat yang telah menembusi permukaan daun, bunga, dahan dan ranting pokok. 

Untuk racun serangga sistemik pula, fungsinya adalah sama. Serangga perosak akan mati apabila daun atau mana-mana bahagian pokok dimakan atau dihisap jusnya. 

Oleh itu, jangan berasa hairan apabila kumbang, bena putih, kutu thrips dll. tidak mati serta-merta apabila racun disembur terus kepadanya.

- Apakah Racun Sentuh?

Seperti namanya, racun sentuh berfungsi dengan cara menghapuskan fisiologi kulat (spora, miselium dll) apabila ia disentuh.

Kesan racun ini bersifat lokal dan permukaan kulat yang tidak terkena semburan tidak akan mati.   

Racun sentuh lebih berfungsi untuk memberikan perlindungan umum kepada pokok selagi sisa baki racun masih ada dipermukaan daun atau bahagian pokok. 

Oleh itu, untuk aplikasi racun sentuh pekebun disyorkan untuk mencampurkan pelekat/wetting agent/adjuvant bagi mengekalkan sisa baki racun dengan lebih lama terutamanya pada musim hujan. 

Pelekat yang biasa saya gunakan ialah jenama FARMPOL.  

- Keperluan Kombinasi Racun Berlainan

Seorang penanam akan membeli jenis racun yang bersesuaian dengan jenis penyakit atau serangga perosak yang menyerang pokoknya.

Walaupun begitu, pemahaman yang penting untuk seorang penanam ialah satu jenis jenama racun atau jenis bahan aktif yang sama tidak boleh digunakan secara berterusan (saban minggu dan bulan).

Ini kerana, lama-kelamaan penyakit atau serangga perosak akan membina ketahanan/kekebalan terhadap bahan aktif racun tersebut.  

kedai racun serangga
Kedai bahan input pertanian dengan pelbagai jenis jenama racun

Adalah amat penting untuk seorang penanam mempunyai stok racun dengan bahan-bahan aktif yang berbeza di dalam stor kebunnya. Ini untuk membolehkan ‘rotation’ racun.

Secara umum untuk racun serangga, penanam perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3 jenis racun yang berbeza. Dalam konteks racun kulat pula, kombinasi bahan aktif sentuh (contact) dan bahan aktif sistemik perlu di ‘rotate’ oleh penanam.  

Apa yang saya praktikkan adalah seperti di bawah:

Infografik di atas adalah contoh kombinasi racun untuk jenis jangkitan kulat dan serangga perosak. Ini tidak termasuk serangga perosak dan penyakit kulat yang lain (contohnya; kulat akar putih dan cendawan angin).

Paling bagus ialah untuk mempunyai racun kulat jenis sentuh dan sistemik yang digunakan secara rotation di kebun. 

 

Penyediaan Bancuhan Racun

Alat-alat yang saya gunakan untuk membancuh racun ialah:

  1. Digital scale (untuk menimbang berat racun kulat)
  2. Picagari (untuk mengukur isipadu racun serangga)
  3. Bekas-bekas plastik yang sesuai (berskala)
  4. Sudu plastik

Saya tidak menggunakan sudu atau bekas timbangan yang biasanya diberikan oleh pengeluar racun kerana timbangan dengan digital scale adalah lebih tepat.

Sebab yang kedua ialah seringkali berat yang saya perlukan mengikut arahan label dan isipadu bancuhan tidak dapat diukur dengan skala yang terdapat pada sudu atau bekas timbangan. Contohnya berat 1.5g @ 11g dan sebagainya. 

- Pengiraan Berat & Isipadu

Katakan kita hendak menyediakan larutan bancuhan racun serangga white oil (jenama BRT Spray Oil) untuk satu tong spray berisipadu 16L. 

Arahan seperti yang tertera pada label ialah:

racun kulat

Dengan ini bancuhan perlu disediakan seperti berikut. AMARAN! Terdapat kiraan matematik dibawah 🙂

Kaedah kiraan ini terpakai untuk kedua-dua penyediaan racun cecair (menggunakan isipadu) dan racun serbuk/granul (menggunakan berat). 

Prosedur Meracun

Saya merasakan tidak kritikal untuk membincangkan berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan termasuk pemakaian PPE (personal protective equipment) yang perlu diamalkan oleh pekebun dan pekerja-pekerjanya. 

Langkah-langkah ini penanam sedia maklum. 

Lebih penting ialah untuk membincangkan masa yang sesuai untuk semburan racun. 

Racun jenis sistemik perlu disembur pada awal pagi hingga ke pukul 9.00 pagi. Ini adalah kerana pada waktu ini, liang-liang stomata daun membuka dengan maksimum untuk membolehkan penyerapan racun sistemik yang optimum. 

Ia juga bertujuan untuk mengelakkan kesan panas pada daun dan bahagian pokok. 

Untuk racun serangga pula, waktu yang paling sesuai ialah sebelah pagi juga kerana ketika ini serangga perosak masih belum cergas atau “alert”. Walaupun begitu, semburan boleh dibuat pada sebelah petang. 

Keserasian Campuran Racun

Soalan ini sering ditanya oleh para pekebun. Ini adalah kerana pekebun akan cuba mengurangkan masa dan tenaga untuk meracun dengan cara membancuh 2 racun yang berbeza di dalam tangki yang sama untuk membolehkan proses semburan dilakukan sekaligus. 

Terdapat 2 kombinasi untuk keserasian campuran:

  1. Racun dengan racun
  2. Racun dengan baja foliar
Untuk kombinasi yang pertama, rekomendasi jadual di bawah perlu dijadikan panduan bagi seorang penanam:
keserasian racun
Jadual 1 : sumber dari bumikita.id

Nota:

  1. Racun A (racun kulat atau racun serangga)
  2. Racun B (racun kulat atau racun serangga)

Produk racun yang paling biasa dan digunakan dengan meluas sebagai bahan yang dibancuhkan dengan air untuk aplikasi semburan ialah: 

  1.  WP = wettable powder
  2.  SL = soluble liquid
  3.  SC = soluble concentrate
  4.  EC =emulsifiable concentrate
  5. EW = emulsion, oil in water 

Terbaru, formulasi bukan serbuk tanpa pelarut merbahaya atau kurang pelarut merbahaya dan lebih stabil ialah:

  1. SC = soluble concentrate
  2. CS = capsule suspensions
  3. WG = wettable granules
  4. OD = oil dispersion (contohnya Solomon – Bayer)

Tidak semua singkatan definisi diterangkan di sini namun begitu jenis formulasi racun yang biasa terdapat dan boleh dibeli di kedai-kedai pertanian telah diterangkan. 

- Contoh Penggunaan Jadual 1

Katakan pokok durian kita diserang oleh 2 serangga perosak iaitu ulat pengorek buah dan kutu psyllid pada waktu yang sama. Racun ulat pengorek buah ialah Cypermethrine dan racun untuk kutu psyllid ialah BRT Spray Oil seperti gambar di bawah.

racun serangga & kulat

Untuk menjimatkan masa dan mengurangkan tenaga kerja, pekebun bercadang untuk membancuh kedua-dua racun ini sekaligus di dalam satu sprayer. Adakah ini dibolehkan?

Mari kita kaji……

Berpandukan pada label di setiap bekas racun, kita tahu bahawa :

white oil
Label pada racun BRT Spray Oil menunjukkan ia adalah formulasi EC
Label pada racun Cypermethrine menunjukkan ia adalah formulasi EW

Dengan ini kita dapat menyimpulkan bahawa mengikut rekomendasi Jadual 1 di atas, dua racun ini tidak boleh dicampur. Maka dengan itu, penanam perlu menyembur kedua-dua racun ini menggunakan tong semburan yang berlainan. 

Ini juga akan menyebabkan kedua-dua racun ini seboleh-bolehnya dijarakkan tempoh penyemburannya (selang beberapa hari). 

- Nota Tambahan

Pada pengalaman saya, kebanyakan racun serangga berkemungkinan tidak boleh dicampur (single mixing sahaja). Ini berlainan dengan racun kulat yang kebanyakannya boleh dicampur (double mix).

Mengapa saya katakan begini? 

Ini adalah kerana kebanyakan racun kulat merupakan formulasi WP (wettable powder) atau WG (wettable granule), dengan kata lain ia dalam bentuk serbuk atau granul dan memenuhi rekomendasi Jadual 1 di atas.

Kita juga dapat menyimpulkan, kombinasi racun serangga dan racun kulat boleh dicampur ke dalam tong semburan yang sama kerana kebanyakan racun serangga merupakan formulasi emulsi atau minyak. 

Berbeza pula dengan keserasian racun kulat/serangga dengan baja foliar, keserasian perlu dipastikan dengan merujuk kepada khidmat nasihat pengeluar baja foliar tersebut. 

Dalam kebanyakan kes yang berdasarkan kepada pengalaman saya yang terdahulu berhubung dengan pengeluar baja foliar, campuran foliar dan racun kulat dibolehkan dalam satu tong semburan. 

Harga Racun

Apabila berada di kedai racun atau kedai input pertanian, pekebun akan melihat pelbagai jenis racun dengan harga daripada RM30+ hinggalah kepada yang berharga hampir RM200 sebotol/pek. 

Kenapakah harga-harga racun ini mempunyai perbezaan yang jauh? Penjelasannya ialah:

  1. Jenama racun dikeluarkan oleh pengeluar racun atau konglomerat kimia pertanian, contohnya Bayer, Syngenta dan Monsanto.
  2. Racun diformulasi dengan kepekatan bahan aktif yang tinggi nisbah berbanding perawis lengainya. 
  3. Racun diformulasi dengan dua atau lebih bahan aktif. 

Penentuan racun mana yang hendak dibeli oleh pekebun bergantung kepada bajet kewangan, jenis penyakit pokok, jenis serangan serangga perosak dan pengalaman pekebun. 

Ia juga secara tidak langsung dipengaruhi oleh keperluan kombinasi racun yang telah saya jelaskan sebelum ini. 

Penggunaan Racun & Pensijilan MyGAP

MyGAP

Adalah tidak lengkap jika saya tidak mengaitkan pemahaman dan penggunaan racun dengan inisiatif MyGAP. 

Malaysian Good Agricultural Practice atau MyGAP ialah pensijilan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian & Industri Makanan kepada sektor tanaman yang memenuhi audit dan kriteria MyGAP.

Terdapat 9 faedah pensijilan MyGAP. Daripada jumlah ini, 4 adalah berkaitan dengan penggunaan dan kawalan racun iaitu :

  1. Menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan kerana kandungan residu racun makhluk perosak adalah di paras yang dibenarkan
  2. Mengurangkan pencemaran alam sekitar
  3. Mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak
  4.  Mengutamakan kaedah kawalan makhluk perosak bersepadu

Kepada pekebun-pekebun yang berniat untuk memperolehi pensijilan MyGAP, maklumat lanjut tentang syarat-syarat, penggunaan racun di kebun/ladang dan audit yang berkaitan boleh didapati di laman web kementerian di sini.

Pembaca boleh memuat turun Buku Ringkasan Maklumat Residu Racun Perosak Dalam Tanaman Makanan untuk mengetahui had residu racun maksimum untuk racun kulat dan racun serangga yang biasa dijual di pasaran. 

Diharapkan dengan artikel ini, pembaca dapat memahami dan memperolehi pengetahuan berguna tentang racun bukan sahaja di kebun durian tetapi di kebun-kebun lain juga. 

Jika ada persoalan atau isi kandungan yang tidak tepat di dalam artikel ini, pembaca dipersilakan untuk meninggalkan komen di bawah. Sekian. 

Share this

14 thoughts on “6 Ilmu Penting Berkenaan Racun Kulat & Racun Serangga

  • July 7, 2021 at 11:04 am
    Permalink

    Assalamualaikum tuan,
    Bolehkah tuan berikan contoh² racun serangga yg bertindak secara sistemik. Setakat pengetahuan saya yg cetek ilmu ni hanya tahu furadan sahaja bertindak secara sistemik. Walau bagaimanapun penggunaan furadan tak digalakkan dalam bidang pertanian. Sebelum ni ada terbaca perawis aktif imidacloprid bertindak secara sistemik tapi bila tengok promosi dari penjual di Shopee mengatakan ianya bertindak secara sentuh jadi saya keliru dengan informasi yang diberi penjual.
    Terima kasih atas penjelasan dari tuan. Banyak manfaat yang saya dapat dari artikel² tuan.

    Reply
    • July 9, 2021 at 1:01 am
      Permalink

      Waalaikum salam,

      Racun Solomon daripada Bayer mempunyai 2 bahan aktif iaitu:
      1. Imidacloprid : bertindak secara sistemik dan sentuhan
      2. Beta-cyfluthrin : bertindak secara sentuhan dan keracunan perut

      Dgn kata lain, penjual tidak memberitahu maklumat yang lengkap. Kebanyakan racun serangga mempunyai tindak balas secara sentuhan dan keracunan perut. Amat jarang yang sistemik. Harap penjelasan saya dpt membuang kekeliruan tuan.

      Reply
      • July 13, 2021 at 12:01 pm
        Permalink

        Terima kasih banyak penjelasan tuan. Kalau imidacloprid bertindak secara sistemik ini bermakna pokok menyerap racun ini masuk ke dalam batang dan daun. Inikah yg dimaksudkan imidacloprid bertindak secara sistemik?

        Saya menjalankan penanaman durian secara separuh masa. Cuma 2 minggu sekali baru dapat balik kampung dan melawat kebun. Kadang kadang sebulan sekali baru dapat menjenguk tanaman. Tiada sesiapa yang boleh diharapkan untuk membuat semburan racun serangga dan kulat secara berkala dikampung. Jadi saya berniat nak cari racun serangga yang bertindak secara sistemik supaya masalah serangga dapat dibasmi secara efektif. Sebelum ni saya guna furadan untuk semua anak pokok durian yang ditanam. Nampak adalah dapat mengurangkan serangan serangga. Tapi bila lihat komen orang tentang bahaya penggunaan furadan saya macam nak tukar kepada racun serangga yang lebih selamat tapi tak tahu mana satu yang bertindak sama macam furadan. Kalau boleh nak cari racun yang boleh pokok serap masuk ke dalam batang dan daun dan kesannya yang lebih berpanjangan. Apa pun terima kasih sekali lagi atas penjelasan tuan. Saya amat menghargainya.

        Reply
        • July 17, 2021 at 1:54 pm
          Permalink

          Tuan Maizal,

          Yer, imidacloprid akan masuk ke dalam sistem pokok dan berada disitu untuk tempoh masa yg tertentu.

          Reply
  • July 7, 2021 at 2:16 pm
    Permalink

    Tn, boleh saya tau mengapa EC dan EW tak boleh campur

    Reply
    • July 9, 2021 at 2:49 pm
      Permalink

      Saya tidak pasti mengapa, mungkin jika dicampur akan berlaku tindakbalas kimia atau perubahan pH bancuhan yang akan memudaratkan pokok.

      Reply
  • October 12, 2021 at 12:45 pm
    Permalink

    Tuan bahan active copper EW boleh campur dengan metaly Ew racun kulat dgn racun.

    Reply
    • October 31, 2021 at 1:09 pm
      Permalink

      Saya tidak berapa faham soalan tuan Faizal. Boleh terangkan semula?

      Reply
  • October 12, 2021 at 2:10 pm
    Permalink

    Nak tanya, kalau saya campur foliar + racun serangga + racun kulat sekali gus boleh ke ?

    Reply
    • October 31, 2021 at 1:08 pm
      Permalink

      Racun kulat + racun serangga perlu rujuk pada jadual didalam artikel saya. Baja foliar saya biasanya hanya campur bersama racun kulat sahaja dan tidak bersama racun serangga.

      Reply
  • November 9, 2021 at 12:00 pm
    Permalink

    Salam tuan,
    Saya selalunya membancuh koktel racun(campur racun serangga,kulat & foliar).
    Ini bagi menjimatkan masa.
    Soalan saya adakah campuran sebegini memberi kesan pada pokok & buah?

    Reply
    • November 11, 2021 at 7:32 am
      Permalink

      Boleh campur tp mesti ikut peraturan dalam artikel saya. Cuma praktis saya, saya foliar spray berasingan (untuk selamat). Jimat masa dan tenaga itu betul.

      Reply
  • December 9, 2021 at 11:11 am
    Permalink

    Salam tuan,
    Boleh tak racun serangga code OD + WP racun kulat? Sebab dalam jadual tuan tak ada tulis

    Reply
    • December 16, 2021 at 8:44 am
      Permalink

      OD ialah Oil Dispersion. Berdasarkan kepada pembacaan sy sebelum ini kaedah penyediaan OD sebelum semburan ialah dilarutkan di dalam air. Jadi dengan ini, OD dan WP boleh dicampurkan sekali.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *